AZAN subuh yang berkumandang dari surau berdekatan membuatkan Hana terbangun. Wanita itu membuka kelopak matanya sedikit demi sedikit. Dengan perlahan dia bangkit. Semestinya perkara pertama yang dibuat adalah mencapai telefon pintarnya. Dahinya berkerut apabila iPhone X itu langsung tidak menyala. Kemungkinan habis bateri. Kaki mula turun dari katil lalu melangkah ke arah soket plag. Telefonnya mula dicas.
Selepas itu, dia mula melangkah ke bilik air untuk membersihkan diri. Selesai sahaja membersihkan diri dan menunaikan solat subuh, wanita itu mula melangkah keluar dari bilik. Rutinnya seperti biasa, menyediakan sarapan untuk seisi rumah itu.
Sedang dia menyediakan apa yang patut, jam di dapur rumah itu dikerling. Sudah pukul 6:40 pagi. Dia berasa sedikit pelik apabila Haq tidak muncul di tingkat bawah rumah itu. Sepatutnya waktu-waktu begini, lelaki itu sudah berada depan matanya. Menemaninya di dapur walaupun tak dipinta.
Sebaik sahaja sarapan sudah tersedia, kakinya mula naik ke tingkat atas. Anak-anaknya sudah bangun terlebih dahulu tadi dan kini sedang bersiap. Hana juga turut sama menyiapkan diri untuk ke tempat kerja.
"Ibu, mana baba?" Soalan pertama yang dihadapnya pagi itu sebaik sahaja selesai bersiap. Anak sulungnya muncul di muka pintu biliknya.
"Baba tak ada kat bawah ke?" Soalnya kembali.
"Tak ada." Tiba-tiba muncul Haider di situ.
Hana sudah mengerut kening. Kakinya terus melangkah ke arah bilik kerja Haq. Dia cuba untuk mengetuk tetapi tidak menerima sebarang balasan. Dengan perlahan tombol pintu dipulas. Terbeliak matanya tatkala melihat bilik lelaki itu yang kosong tidak berpenghuni.
Seingatnya, sepatutnya malam tadi Haq sudah pulang dari outstation. Lelaki itu ada maklumkan kepadanya yang dia sudah mula bergerak pulang dari Ipoh pada jam dua belas tengah malam. Dan semestinya dia hanya biarkan chat tersebut tidak berbalas.
"Kereta baba ada tak?" Soalan itu ditanya. Haq pergi ke sana dengan kenderaannya sendiri.
Anak-anaknya hanya menggelengkan kepala sebagai jawapan. "Tadi Yan turun bawah tak nampak pun kereta baba."
Semakin berkerut dahi Hana. Maknanya, Haq tidak sampai ke rumah mereka malam tadi. Patutlah bayang Haq langsung dia tidak nampak dari subuh tadi. Habis tu, lelaki itu pergi ke mana?
Tiba-tiba Hana baru tergerak hati untuk mengambil telefon pintarnya yang dicas tadi. Sebaik sahaja telefon itu dihidupkan, penuh skrin telefonnya dengan notifikasi miscalled sejak pukul tiga pagi. Dia mengerut kening. Semua panggilan yang dibuat daripada keluarga mentuanya. Papa, mama, Bahran dan juga Batrisya. Entah kenapa dia rasa tak sedap hati. Sedang otaknya ligat berfikir, ketika itu jugalah handphone miliknya menjerit. Dengan segera panggilan daripada Puan Sarimah dijawab.
"Assalamualaikum, Hana."
Hana menjawab salam tersebut. "Ya, ma."
"Kenapa Hana tak jawab call?" Dengan lemah lembut mama bertanya.
"Err.. bateri habis, ma."
Kedengaran suara orang tua itu mengeluh di seberang talian. "Tak apalah. Benda bukan boleh elak. Hana kerja ke hari ni?"
"Kerja," jawabnya ringkas.
"Hm.. kalau tak pergi kerja tak apa ke? Hari ni?"
"Kenapa ma?"
"Datang hospital ya? Nanti mama send location."
Serta-merta jantungnya berdegup kencang tatkala mendengar permintaan yang baru sahaja keluar dari mulut ibu mentuanya.
YOU ARE READING
KESEMPATAN BAGIMU
RomanceBagi seorang HANA HUMAIRA, lelaki bernama BAIHAQI itu merupakan cinta pertamanya. Kehadiran lelaki itu bagaikan cahaya yang menerangi hari-harinya. Ketika Haq menawarkannya untuk hidup bersama, tanpa berfikir panjang dia menerima lamaran tersebut. ...