BAB 32

2.4K 126 61
                                    

"HANA! Sayang!"

Hana mempercepatkan langkahnya. Panggilan tersebut lansung tidak dihiraukan. Kakinya laju meninggalkan Haq di belakang.

"Sayangggg..."

Lelaki itu terus mengukir sengih tatkala isterinya itu mula memberhentikan langkahnya. Hana menoleh ke arahnya dengan wajah yang cemberut. Terus tubuh itu didekati. Lengan wanita itu dipaut.

"Marah ke?"

Pegangan tangan Haq yang berada di lengannya dileraikan. Hana memeluk tubuh. "Jangan cakap dengan saya. Saya merajuk."

Haq mengangkat kedua tangannya. "Okay, abang faham Hana marah. Tapi, takkan kita nak buat drama tengah jalan ni pulak?"

Mata Hana terus meliar memandang ke segenap ruangan lobi hotel tersebut. Tak ada siapa pun yang pandang. Tapi disebabkan rasa malu tu masih menebal dalam diri, dia pun tak boleh nak berdrama kat sini. Wanita itu mendengus. Rasa sakit hati perlu diredakan. Kakinya laju melangkah ke arah lif.

Sebaik sahaja pintu lif dibuka, terus dia meloloskan diri masuk ke dalam lif tersebut. Diikuti oleh Haq di belakang. Sampai sahaja di tingkat tujuh, mereka berdua mula keluar. Kaki Hana masih lagi laju melangkah meninggalkan suaminya di belakang.

Sampai sahaja di depan pintu bilik mereka, baru Hana teringat yang dia tak pegang kad akses bilik tersebut melainkan Haq. Dah satu hal kena tunggu suami dia. Haq pula sengaja jalan lambat-lambat ke arahnya.

"Awak! Cepatlah!"

Haq mula mempercepatkan langkahnya apabila suara itu sudah mula memanggil. Bibir lelaki itu masih lagi mengukir sengih.

"Eh, kenapa tak masuk?" Soalan itu sengaja ditanya. Padahal dia tahu jawapannya. Kad akses bilik tersebut berada di tangannya sekarang.

Hana sengaja tidak menjawab. Dia tahu Haq sengaja nak menyakatnya. Hati dia tengah panas ni. Tak pasal-pasal ada yang kena nanti.

Melihatkan air muka Hana yang masam itu hampir membuat Haq tergelak. Terus dia mengakses kad tersebut apabila dua pasang mata itu sudah mencerlung tajam ke arahnya.

"Silakan masuk puan besar."

Hana langsung tidak endahkan kata tersebut. Sebaik sahaja kakinya melangkah masuk ke dalam kamar hotel, dia terus melabuhkan punggung di atas sofa di ruang tamu.

"Nah."

Kepalanya menoleh ke kiri. Botol air mineral yang sejuk itu diambil dari tangan Haq. Terus penutup dibuka lalu air itu diminum. Rasa lega bila air sejuk tersebut masuk ke dalam tekaknya. Hatinya yang panas tu pun jadi sejuk buat seketika. Tiba-tiba sofa yang diduduki terasa berat. Haq turut melabuhkan punggung di situ.

"Ish, sibuk je nak duduk sini. Pergi," ujar wanita itu. Dia memang sengaja nak halau Haq. Orang nak tenangkan hati pun susah.

Haq hanya jongket kedua bahunya. Tak kisah langsung dengan permintaan Hana tersebut. Badan disandarkan pada sofa. Nikmatnya rasa bila dapat rehat sebentar setelah hampir sehari berjalan tanpa henti. Kaki pun dah lenguh dibuatnya.

Hana melarikan pandangannya. Haq ni memang tak ada usaha nak pujuk dia ke?

"Hana." Suara garau itu mula memanggil.

"Apa?" Pandangan dialihkan kepada Haq semula. Terbeliak matanya apabila lelaki itu sedang mengangkat telefon untuk merakam dirinya.

"Ma, pa, tengok. Ada orang merajuk. Yan, Haider tengok ibu awak merajuk ni. Tak nak cakap dengan baba."

"Eii, janganlah." Tangannya terus menutup kamera telefon tersebut daripada terus merakam dirinya.

"Ha! Tak sempat. Abang dah rekod."

KESEMPATAN BAGIMUWhere stories live. Discover now