Bab 32

44.7K 1.7K 69
                                    


        Azan Subuh yang berkumandang dari masjid kawasan perumahannya menyedarkan Maira daripada tidur. Perlahan-lahan dia membuka mata.

Samar-samar sahaja cahaya dari lampu tidur di sebelah katil menerangi bilik itu.

Sunyi. Hanya kedengaran dengkuran halus sahaja. Dekat di telinganya. Maira mendongak. Terus dia tergamam. Wajah lelaki itu begitu dekat. Bibir lelaki itu hampir mengenai dahinya. Maira dapat rasakan tangan lelaki itu juga merangkul kemas tubuhnya. Kepalanya pula beralaskan lengan lelaki itu.

Maira memejamkan mata kembali. Menarik nafas dalam. Dia suka bau ini. Bau yang sangat menenangkannya. Bau lelaki itu! Automatik tangan Maira naik memeluk kemas batang tubuh Firash. Mukanya disembamkan kembali ke dada lelaki itu.

Maira tahu dia sudah gila. Dia tahu itu Firash, bukan bantal peluk. Tapi hatinya tidak memberi kerjasama dengan otaknya ketika ini. Hati dia mahu terus berada dalam pelukan lelaki itu. Dan kali ini Maira memilih untuk mendengar kata hatinya.

Bunyi alarm daripada telefon bimbit Firash menyentakkan Maira. Alarm subuh lelaki itu. Segera Maira memejamkan mata rapat-rapat. Berpura-pura masih lena. Malu sekiranya lelaki itu tahu dia sudah terjaga. Pergerakan kecil dari Firash yang sudah terjaga membuatkan Maira jadi kaku dalam pelukan lelaki itu.

Firash tersedar apabila bunyi alarm telefonnya menampar telinga. Perlahan-lahan matanya dibuka. Terbuntang luas mata Firash melihatkan Maira yang sedang terlena dalam pelukannya. Wanita itu juga sedang memeluk kemas tubuhnya ketika ini. Firash terkedu. Tiba-tiba otaknya terasa tidak berfungsi. Tidak tahu apa yang harus dilakukan. Lama dia membiarkan mereka dalam keadaan begitu.

Perlahan-lahan Firash mengampu kepala Maira. Diletakkan kepala wanita itu ke atas bantal dengan penuh berhati-hati. Bimbang wanita itu tersedar. Tangan Maira juga dileraikan daripada terus memeluk tubuhnya. Pelukannya ditubuh Maira juga dirungkaikan dengan penuh berhati-hati. Firash tidak mahu dituduh mengambil kesempatan. Dia tidak mahu wanita itu semakin membencinya.

Langkah diatur ke bilik air. Ingin membersihkan diri sebelum menunaikan solat subuh. Membiarkan Maira menyambung lena terlebih dahulu. Sebentar lagi dia akan mengejut wanita itu.

Mendengarkan pintu bilik air yang sudah ditutup, perlahan-lahan Maira membuka mata. Tangan naik memegang dada yang terasa mahu pecah. Gila. Dia memang sudah gila. Boleh dia berpura-pura tidur sebentar tadi?

Maira bangun dari katil. Katil dikemas sementara menunggu Firash keluar dari bilik air. Dia berpaling apabila mendengarkan pintu bilik air dibuka. Terjengul wajah segar Firash.

Firash yang baru melangkah keluar dari bilik air itu terkejut apabila melihatkan Maira sedang mengemaskan katil. Sangkanya wanita itu masih diulit lena.

"Tunggu saya, tau. Jangan solat lagi" ringkas sahaja ayat yang keluar dari mulut Maira. Sebelum dia mencapai tuala dan melangkah masuk ke dalam bilik air.

Firash hanya mengangguk perlahan. Langkah diatur ke ruang solat di bilik itu. Dua sejadah dibentang mengadap kiblat.

Usai membersihkan diri, Maira mengambil tempat di belakang Firash. Dia tidak mahu melepaskan peluang. Dia tidak mahu mensia-siakan sisa masa yang ada ini. Ibu dan abah kata dia adalah wanita yang beruntung kerana dapat berimamkan lelaki ini. Jadi dia ingin memanfaatkan masa yang ada. Masa yang berbaki dua bulan lebih sahaja lagi. Memikirkan hal itu, hati Maira jadi sakit. Dua bulan lebih je lagi?

Selesai mengaminkan doa, Firash berpaling ke belakang. Tangan dihulur. Maira menyambut perlahan. Wajah tunduk mengucup tangan itu. Tiada SOP bersalam daripada ibu hari ini. Kekok..Masing-masing segera melipat sejadah yang digunakan. Tiada sebarang suara yang keluar daripada mulut mereka berdua.

CINTA TAK BERSYARAT (COMPLETED)Where stories live. Discover now