SEBELUM memberi makan nasi dan lauk buat ibu berpantang yang keguguran, aku sediakan buah kuini untuk Imelda kerana buah tersebut sejuk dan berangin. Sesuai buat ibu berpantang yang keguguran seperti Imelda. Berdasarkan carian yang aku perolehi dari internet.
Jemari halus Imelda digenggam kemas untuk aku memimpinnya dari sofa ruang tamu ke meja makan. Spontan, bibirku tersenyum kemas tatkala dia membalas kemas genggaman aku walau tanpa memandangku dengan wajah dinginnya.
"Melda makan buah dulu selepas itu baru makan nasi, ya?" kataku lembut padanya.
Imelda hanya diam, tidak membalas hingga punggungnya dilabuhkan ke atas kerusi di depan meja makan.
"Abang suapkan."
Sebuah kerusi ditarik mendekat dengan kerusi yang diduduki oleh Imelda dan aku duduk menghadapnya yang lurus memandang ke hadapan itu.
Sepotong buah kuini diambil lalu disuap ke dalam mulutnya setelah basmalah dibaca buatnya. Mujurlah wanita itu hanya menurut saja. Hanya mulut tidak mengeluarkan sebarang kosa kata tapi tingkah yang menjadi tindak balasnya.
Selesai menyuapnya, aku mengambil pinggan untuk diletakkan ke dalam singki. Masuk saja ke dalam dapur, mama datang menyeruku.
"Kenapa, ma?" sedang tangan membasuh pinggan, aku menyahut panggilan mama seraya menanyakan sebabnya dia memanggilku.
"Nanti pakaikan Melda stoking. Kaki dia togel saja tu. Takut nanti sejuk pula. Nah, stokingnya." sepasang stoking dihulurkan kepadaku.
Usai mengelap tangan di kain yang tersangkut di tepi singki, aku menyambut hulurannya. Aku meminta diri dengan senyum manis di bibir lalu melangkah keluar dari dapur.
Langkah diatur ke arah Imelda yang masih duduk. Pergerakannya terhad. Sudah dipesan agar dia tidak digalakkan untuk terlalu banyak bergerak atas sebab masih dalam proses pemulihan.
Sebaik tiba di depannya, aku duduk mencangkung di depannya.
"Sayang, angkat kaki. Abang nak pakaikan stoking. Nanti kaki sejuk." pintaku.
Dia mendengus kasar. "Tak nak. Aku bukannya bayi. Bayi pun dah mam-"
"Imelda. Tak elok cakap kasar. Kita boleh cuba lagi selepas ini, kan? Dah. Angkat sikit kaki. Abang nak pakaikan stoking."
"Aku cakap tak nak!" bentaknya geram sembari berpaling ke arahku. Wajahku direnungnya tajam.
Saat ini, aku tidak dapat bersabar lagi. Jika terlalu banyak berlembut, nanti kepalaku pula yang dipijak-pijaknya. Lantas, aku berdiri di hadapannya dengan wajah tegang. Gigi terkacip-kacip. Rahang ditegangkan.
"Abang dah penat tau bersabar dengan Melda. Jangan sampai sabar abang hilang sekarang juga di rumah mama. Pakai stoking ni dan ikut cakap abang sebelum abang paksa Melda dengan cara kasar sebab memang itu saja pilihan yang ada. Nak?"
Imelda tayang wajah tidak puas hati. Nak tak nak, dia terpaksa turutkan saja. Akhirnya, dia mengikut cakapku. Lekas aku kembali ke posisi yang sama seperti tadi.
"Suruh pakai stoking saja. Susah betul nak dengar cakap orang. Macam mana nak jadi mama budak nanti? Perangai macam budak-budak." desisku perlahan. Sama ada Imelda dengar atau tidak, aku tidak kisah. Tapi lagi bagus jika dia dengar. Biar dia juga sedar akan khilaf diri untuk diperbaiki.
"Aku nak tidur."
Aku bangun berdiri lalu tanpa banyak bunyi, tubuhnya terus dicempung. Serentak itu, tangannya dipautkan ke leherku agar tidak jatuh.
Jantungku berdetak abnormal secara drastik. Mungkin disebabkan posisi kami sedekat ini yang sudah lama aku tidak rasai. Jujur, aku sangat rindukan segala detik manis kami bersama. Berdua.
"Awalnya. Pagi lagi ni, sayang."
Kepalanya dilentokkan ke bahuku. Membuatkan aku sedikit tersentak. Nafasnya menampar lembut kulit leherku. Apabila aku mengintai sedikit wajahnya, sepasang mata indahnya sudah terpejam rapat.
"Tolong, temankan aku. Aku betul-betul penat. Tak cukup tenaga. Lagipun, tiada apa yang aku boleh buat pun." suaranya serba merayu kepadaku.
"Hm. Kita pergi-"
"Tak nak keluar. Nak baring. Nak tidur. Aku penat. Tolonglah, Haz." Suaranya yang kedengaran lirih itu membuatkan bicaraku juga terbantut.
Tubuhnya diletakkan lembut ke atas tilam katil yang empuk itu. Rambutnya yang hampir menutupi wajahnya itu diselak lalu disebakkan ke belakang.
"Kita buat arcylic diamond painting, nak? Abang pergi belikan di kedai."
Ada saja kedai yang menjual set arclyic diamond painting kit itu sekarang. Tidak perlu berlama lagi menanti jika dibeli menerusi dalam talian.
Matanya dipejamkan sebelum tubuh mengiring membelakangiku.
"Hm. Nanti dah ada, kejut aku."
Refleks, aku tersenyum manis. Gembira akan persetujuan yang diberikan olehnya.
"Okay. Tunggu kejap. Kejap lagi abang sampai." Pesanku lalu berjalan keluar dari kamar.
Semasa berselisih dengan mama, sempat aku memberitahu kepadanya bahawa aku ingin membelikan sesuatu buat Imelda.
Mentua aku itu hanya senyum manis melihatkan wajah bersinarku. Teruja ingin meluangkan masa bersama dengan wanita kesayanganku.
Setelah selesai membeli beberapa barang yang aku janjikan pada Imelda, lilin dan beberapa buah novel juga dibelikan andai jika bacaannya sudah habis. Aku akan sentiasa menambah yang baharu buatnya setiap minggu atau bulan.
Keluaran novel terbaru oleh pelbagai penulis kegemarannya juga tidak pernah berhenti malah akan sentiasa ada kerana terlalu banyak.
Kereta Audi milikku kembali dipandu pulang semula ke rumah. Dengan hati yang senang, aku memakirkan kereta di bawah garaj rumah.
Langkah diorak ke kamar tidurnya sebelum aku berura umtuk menolak pintu yang terkatup kemas itu. Namun terbantut pula apabila tiba-tiba ada panggilan yang masuk.
Apabila dilihat, terpapar nama along, abang ipar aku. Terus panggilan dijawab.
"Ada apa, long?"
"Aku dengan mama tiada di rumah ini. Imelda seorang saja di rumah itu. Kami terpaksa ke hospital sebab urgent. Tunang aku kena warded. Mama cakap kau keluar. Lambat lagi ke balik?"
"Dah sampai. " balasku sepatah.
"Hah, eloklah. Kunci semua pintu, tingkap. Sebab kami biasanya sebelum keluar rumah kunci tingkap sekali. Kau tahu kan tingkap rumah kami ada pagar besi?"
Kepala aku jatuh sekali. "Tahu. Nanti aku kunci semua. Aku nak tengok Imelda dulu."
"Okay. Take care. Apa-apa call along atau mama. Papa outstation dengan kawan-kawan dia. "
"Noted. Assalamualaikum." Talian diputuskan.
Sudah aku sedia maklum bahawa di rumah ini jarang berpenghuni melainkan Imelda seorang saja yang sentiasa setia bersendirian di rumah kerana keengganannya untuk bersiap dan bertemu dengan ramai orang.
Papa pula memang sejenis lelaki yang susah lekat di rumah demi mencari nafkah buat isteri dan anak-anaknya.
Perlahan-lahan aku menolak pintu bilik Imelda seraya memasukinya. Dikunci sebelum tubuh dipusingkan.
Tapi tidak semena-mena kaki aku bagai terpasak di lantai sebaik melihat gerangan yang berpakaian baju T biru tua dan seluar hitam dengan rambut yang disisir kemas sedang mengacukan sebilah pisau di leher isteriku.
Tubuh aku kaku. Jantungku berubah rentak. Bibirku menggelar malahan darah terasa menyerbu ke wajah. Pegangan barang di tanganku terlepas jatuh mengucup lantai kamar.
"Haz?" Seru Imelda dengan suara bergetar. Matanya bergenang dengan mutiara jernih.
"Imelda.."
YOU ARE READING
Ryan's Queen | BAKAL TERBIT
Romance[COMPLETED] 2nd story Song: Setia by Elizabeth Tan ft Faizal Tahir Tidak saling mengenali. Tidak juga saling mengetahui akan kewujudan masing-masing. Namun disebabkan sebuah konsentrasi, buatkan mereka bertemu secara realiti. Hingga berjaya mencamba...