Aku memandang suasana pagi di sebalik tingkap kereta teksi yang dipandu oleh lelaki tua. Pelbagai perkara aku cuba lakukan untuk meredakan rasa gelisah ini. Sekali sekala mata melihat skrin telefon. Aku tak pasti apa yang aku tunggu, tapi separuh hatiku berharap ada mesej baharu seperti yang aku dapat semalam.
Lapangan terbang KLIA menjamah retina. Ya, di sini lokasi yang aku tuju. Kenapa aku berada di sini? Semua kerana satu mesej yang telah aku dapat semalam.
Aku pegang dada sendiri. Cuba menenangkan diri yang masih dihantui perasaan takut. Setelah aku dapat menstabilkan diri, lekas aku mengunci semua pintu rumah. Semua tingkap aku tutup rapat sebelum bergerak ke bilik air dan menunaikan solat maghrib. Masih tinggal beberapa minit sahaja sebelum masuk waktu isyak.
Telapak tangan diusap ke wajah. Mengaminkan doa yang telah aku pohon pada Tuhan sekalian alam. Betul orang kata, hanya dengan mengadu pada Allah, segala rasa resah gelisah terus hilang bagai ditiup angin. Hati aku mulai tenang apabila mengalunkan zikir dan selawat. Seketika, aku hanyut dalam menghayati alunan zikir.
Selesai melipat telekung dan sejadah, aku membaringkan tubuh ke atas katil. Betapa leganya saat badan aku menyentuh tilam yang empuk itu. Baru sedar hari ini begitu memenatkan. Tambahan pula dengan masalah aku yang menjadi sasaran seseorang.
Krukk...
Perut sendiri dipegang. Ah... baru teringat yang aku belum lagi makan malam. Punya sibuk melarikan diri, hingga hilang terus rasa lapar petang tadi. Melihatkan jarum jam yang sudah menunjukkan lewat malam, aku mematikan niat untuk mengisi perut.
Tak apalah, esok aku sarapan makanan berat sikit. Malam ni aku betul-betul tak larat nak keluar mencari makan.
Ting.
Bunyi notifikasi daripada telefon pintarku membuatkan mata yang ingin terlelap terbuka kembali. Tangan pantas mencapai telefon yang berada di atas tilam.
Satu mesej. Daripada nombor tidak dikenali. Dengan ragu-ragu aku membuka aplikasi tersebut, ingin membaca dengan jelas mesej yang diterima.
You are in danger. Don’t trust anyone.
KLIA. To be safe.Habis sahaja membaca ayat terakhir, hatiku pantas berdegup laju. Tangan menggeletar.
Siapa yang hanyar mesej ni? Macam mana dia dapat nombor aku?
Aku pandang sekeliling. Entah kenapa berasa tidak senang duduk. Mata membaca semula mesej yang diberi. Satu perkataan yang menjadi sasaran aku.
Klia. Klia? Untuk selamat?
Kenapa dengan tempat tu? Ada apa di sana? Selamatkah aku kalau pergi ke sana? Atau ini semua adalah perangkap oleh lelaki yang mengejar aku petang tadi?
Argh! Aku buntu. Mata yang tadi mahu lelap, kini terasa segar kembali. Terus tidak mampu untuk merehatkan badan.
Apa perlu aku buat sekarang?
“Sampai sini boleh ya, cik?” Suara pemandu teksi mematikan lamunan aku. Pantas aku melihat ke luar tingkap. Aku sudah berada di pintu masuk utama lapangan terbang. Pakcik tua itu berpaling memandang aku yang berada di tempat penumpang.
Aku angguk kepala. Tangan menghulurkan beberapa keping not bagi bayaran kos tambang. Selesai bayaran, segera aku keluar dan mengambil bagasiku yang diletakkan di bonet belakang. Segalanya dilakukan dengan pantas.
Tiada isi di dalam bagasi aku. Hanya bawa untuk menyamar sebagai pelancong. Aku boleh berlakon seperti seseorang yang sedang menunggu masa penerbangan kapal terbangnya.
Aku melepasi pintu utama. Segenap ruang yang luas itu dipandang. Biasa. Tiada perasaan aneh yang muncul. Macam biasa, ramai manusia yang lalu lalang di kawasan ini. Ada yang bersama keluarga, kawan-kawan, berseorangan dan juga sedang berlari mengejar penerbangan yang hampir berlepas.
Aku mengenakan pakaian biasa agar tidak menarik perhatian. Tudung shawl kelabu bersama sweatshirt hitam. Tidak lupa juga topi bagi mengelakkan wajahku terdedah.
Aku tak tahu apa yang perlu dibuat di sini. Aku tak tahu siapa yang menghantar mesej itu. Sama ada orang yang boleh selamatkan aku, atau sebaliknya. Entah apa yang menghasut, aku nekad untuk mengikut kata mesej itu ke sini. Walaupun masih ada perasaan ragu-ragu.
Tapi, jika orang itu boleh selamatkan aku, aku masih ada peluang, kan?
Aku bergerak ke arah sebuah kedai serbaneka yang terletak tidak jauh dari tempat aku berdiri. Mahu membeli beberapa makanan bagi mengalas perut. Daripada semalam perut aku kosong tanpa diisi apa-apa makanan.
Aku masih perlu berhati-hati. Musuh yang menarget aku mungkin boleh jejak aku dengan menggunakan nombor telefon sama seperti manusia yang menghantar mesej kepadaku.
Aku hela nafas kasar. Kenapa aku kena hadap situasi ni? Inikah ujian jika mempunyai kelebihan seperti yang aku ada sekarang? Kalau aku perlu hadap situasi seperti sekarang, aku tak ingin langsung ada kelebihan ni.
Serentak itu kepala digelengkan. Mulut beristighfar perlahan. Jangan persoalkan takdir. Ada sebab kenapa Allah uji aku macam ni.
“Aku tak jumpa dia lagi.”
Suara garau di belakang menarik perhatian aku. Dari hujung mata, aku mengintai figura lelaki yang tinggi bersama topi dan cermin mata gelap. Matanya melilau seperti sedang mencari seseorang.
Serentak itu jantungku berdegup pantas. Cepat-cepat aku alihkan pandangan ke hadapan. Dia! Dia lelaki yang sama mengejar aku tiga hari lepas. Sampai ke sini dia dapat ekori aku?

ANDA SEDANG MEMBACA
target
Science FictionMenjadi buruan. Rahsia terbongkar. Semuanya berlaku dalam sekelip mata. "Jangan beritahu siapa-siapa tentang apa yang ada dalam diri kamu."