bab 25

5 2 0
                                    

Segalanya berlaku dengan pantas. Aku dan Zryan masing-masing terpelanting akibat serangan bom tadi. Debu dan asap kembali berterbangan.

Tiba-tiba terasa bahu aku diangkat oleh beberapa orang manusia. Aku berdecit apabila gerangan yang mengangkatku itu adalah musuh. Akhirnya mereka dapat menjumpai aku.

“Jangan!” jeritku sambil cuba meleraikan genggaman mereka. Di kepalaku saat ini hanya fikirkan Zryan. Aku perlu cari dia!

Dengan keajaiban, Eiman muncul sambil berlari ke arahku. Dia menumbuk dan tewaskan musuh yang cuba menyentuh aku. Dengan bantuannya, aku bebas daripada cengkaman mereka.

Sempat aku menendang kepala musuh akibat geram dengan perlakuan mereka.

“Eiman, Zryan... dia...” Aku tak dapat habiskan kata. Mataku mula berair. Aku tak tahu di mana dia tercampak pergi.

Aku pasti keadaan Zryan amat teruk kerana bom tadi tepat menghentam di mana tempatnya berdiri.

Mata Eiman membulat. “No.” Dia segera berlari ke arah kepulan debu yang masih tebal. Aku turut mencari tubuh Zryan walaupun keadaan semakin sukar.

Apabila ada musuh yang cuba menangkapku, pantas aku menembak menggunakan taser pemberian Zryan. Aku tiada masa untuk berlawan dengan mereka saat ini.

Tidak jauh dari tempat aku berdiri, aku dapat lihat tubuh seseorang yang terbaring lemah di lantai. Jantungku berdegup kencang. Fikiran menidakkan benda negatif yang berlegar di kepala.

“Zryan!”

Aku tunduk mendapatkan lelaki itu. Serentak itu, mataku berair apabila melihat keadaan Zryan yang tidak berdaya. Wajahnya penuh dengan cecair merah dan kesan luka. Warna kulitnya hampir tidak kelihatan kerana debu yang melekat di wajahnya.

Mata Zryan yang layu itu menatap wajahku. Lagi membuatkan hatiku bagai dirobek.

“Tak, tak, tak. Bangun Zryan...”

“Euria...” perlahan saja suara Zryan kedengaran di telingaku.

Eiman yang melihat keadaan itu segera berlari mendapatkan kami. Wajahnya berubah tegang. Rahangnya diketap erat. Dia mencapai lengan Zryan lalu memeriksa nadi lelaki itu.

Kemudian dia memegang wajah Zryan. Memastikan lelaki itu masih sedar daripada terus pengsan.

“Kita kena bawa Zryan keluar,” ujarku perlahan. Di fikiranku hanya mahu dapatkan seseorang yang boleh rawat dia sekarang.

Eiman angguk kepala. Dia merangkul kepala Zryan lalu menampar perlahan. “Jangan kau berani tutup mata.”

Belum sempat Eiman mahu mengangkat tubuh lelaki itu, pantas Zryan menahan tangan Eiman. Dia menggeleng kepala perlahan.

“Pergi...” arahnya.

Aku terkedu. “Zryan, jangan jadi bebal boleh tak? Takkan kita orang nak tinggal kau kat sini?” Aku mengesat air mata yang mula mengalir.

“Eiman, bawa Euria pergi. Selamatkan dia.” Zryan membisik perlahan ke arah Eiman. Dia mengenggam erat tangan rakannya itu.

“Zryan, jangan merepeklah,” marah aku. Apa dia fikir sekarang ni?

Biji matanya bertembung dengan aku. “Kita tak akan berjaya keluar kalau bawa aku...”

Aku merenungnya dalam. Aku tahu, dengan keadaan Zryan macam ni pasti kami susah untuk cari jalan keluar. Tapi apa aku kisah? Aku mahu dia selamat!

Bang! Bunyi das tembakan kedengaran lagi. Semakin lama semakin kuat bunyi pekikan musuh agar cepat mencari kami.

“Pergi... sebelum mereka jumpa Euria.” ujar Zryan lagi. Badannya semakin lemah. Pegangan di tangan juga semakin longgar.

Eiman seakan buntu. Dia mengeluh kasar. Dapat aku lihat di matanya yang tidak nekad untuk tinggalkan rakan pasukannya di sini.

Aku geleng kepala laju. “Tak, kita kena keluar sama-sama. Kau boleh, Zryan. Aku dengan Eiman akan tolong kau.” Aku sudah bersedia untuk bantu mengangkat Zryan.

Macam mana aku nak tinggalkan lelaki yang dah banyak membantu aku? Yang dah selamatkan nyawa aku berkali-kali? Takkan sekali pun aku tak boleh nak selamatkan nyawanya pula?

Zryan tetap menghalang. Matanya kini tepat merenung ke dalam biji mataku yang sudah basah dengan air mata.

Aku mendekatkan wajahku apabila dia ingin katakan sesuatu.

“Kalau kau sayang aku... pergi...”

Semakin lebat air mataku jatuh. Mata dipejam erat. Perlahan-lahan aku anggukkan kepala. Aku terpaksa.

Demi Zryan.

Bam! Bunyi runtuhan yang jatuh menghempap lantai memenuhi ruang tersebut. Bunyi larian tapak kaki musuh mula mendekati kami.

“Mereka dah sampai. Kita kena pergi sekarang, Euria!” ujar Eiman lalu menarik lenganku.

Dengan hati yang tidak rela, aku turut bangun apabila Eiman menarik aku untuk bergerak dari situ.

“Itu mereka! Kat sana!” Jeritan musuh semakin galak. Nampaknya mereka tidak berputus asa untuk mendapatkan aku.

Aku menoleh ke arah Zryan. Pedih hati aku apabila terpaksa meninggalkan Zryan yang berada dalam keadaan lemah dan terbaring di atas lantai. Tubuhnya sudah tidak bergerak lagi. Kaku di situ.

Aku menahan tangisan daripada terus mengalir lagi. Ikutkan hati, aku mahu lari semula mendapatkan dia, tapi aku perlu keluar daripada sini. Seperti permintaannya.

Maafkan aku, Zryan...

targetWhere stories live. Discover now