“Sampai bila aku kena sembunyi daripada mereka?” Aku lontarkan soalan apabila Zryan mula mendekatiku setelah selesai mendaftar dua bilik hotel.
Selepas menukar kereta, Zryan sempat membawa aku pergi membeli beberapa keperluan asas. Aku minta untuk mengambil saja pakaian daripada rumah, tetapi mengenangkan aku dalam buruan, rumah adalah tempat yang tidak selamat untuk aku pergi.
Zryan memandang aku sekilas. Kami sama-sama berjalan ke arah lif dobi sambil membawa bag pakaian. Semua barang asas yang dibeli tadi aku sumbatkan ke dalam bagasi. Berguna juga aku membawa bag tu.
“Aku tak pasti. Tapi kau jangan risau. Kami dah dapat alihkan perhatian mereka,” kata Zryan apabila pintu lif tertutup rapat.
Aku jungkit kening. Minta penjelasan.
“Dua orang ejen kami telah diarahkan untuk menyamar seperti kita. Mereka akan alihkan perhatian musuh. Buat masa sekarang, aku dapat maklumat musuh sedang memburu mereka.” Zryan hadiahkan senyuman kecil, menunjukkan riak gembira kerana rancangan mereka berjaya.
Aku angguk kecil. “Tapi... tak bahayakan nyawa mereka ke?” Mengingatkan kejadian yang telah aku alami, mungkin pihak musuh akan bertindak lebih ganas untuk dapatkan aku. Apa agaknya reaksi musuh jika mangsa yang ditangkap adalah bukan target mereka?
Zryan mengorak senyuman. “Mereka dilahirkan untuk lalui kehidupan macam tu.”
Wajah Zryan ditatap. Entah kenapa ayat terakhirnya bagai terselit sesuatu perasaan yang dipendam olehnya. Matanya merenung sayu ke hadapan. Aku yakin fikiran Zryan sudah jauh melayang pada sesuatu yang membuatkan lelaki itu muram sebegini. Kisah silam, mungkin.
Saat pintu lif terbuka, kami sama-sama melangkah keluar dan mencari nombor bilik yang sudah didaftar. Melihatkan seni bina bangunan hotel ini, aku tak rasa hotel ini adalah hotel bajet ataupun hotel mewah. Biasa-biasa.
“Bilik kita bersebelahan ke?” soalku.
“Kalau kau nak sebilik pun boleh,” balas lelaki itu selamba.
“Kalau nak rasa penumbuk aku, buatlah.”
Zryan ketawa kecil. Tak sangka begini rupanya perangainya. Sewaktu kali pertama Zryan datang menyelamatkan aku, wajahnya tiada langsung senyuman. Kalau orang lain yang melihat, nak tegur pun tak berani! Wajah macam nak terkam orang. Aku sendiri takut nak berterima kasih.
Betul orang kata. Jangan judge orang hanya dengan wajahnya. Yang handsome tak semestinya baik, yang hodoh tak semestinya jahat. Macam Zryan, perangai dia kena dengan wajah dia yang suka buat orang sakit hati. Kadang rasa nak hempuk guna bag.
“Bilik kita berdua connection room. Kalau kau perlukan apa-apa, ketuk je pintu.” Zryan membuka pintu bilik hotel. Ruangan bilik tersebut boleh tahan besar. Sesuai untuk tinggal seorang.
Di dinding bilik hotel itu, terdapat sebuah pintu untuk masuk ke bilik hotel sebelah. Aku yakin itu adalah penghalang untuk masuk ke bilik yang didaftar oleh Zryan.
“Ini bilik kau. Bilik aku kat sebelah.”
Setelah itu, Zryan menghulurkan kad bilik lalu membawa barangnga keluar. Dalam beberapa minit, terdengar pintu penghalang itu diketuk. Aku memulas tombol pintu dan kelihatan wajah Zryan.
Aku menjenguk ke dalam bilik lelaki itu. Sama sahaja. Hanya susunan perabot sahaja yang melawan arah.
“Okey?” Zryan soal.
Aku angguk. “Okey. Harap tak ada apa yang berlaku. Aku dah penat nak lari lagi,” keluh aku perlahan.
“Lemah. Baru lari sikit dah mengeluh,” kutuk Zryan. Dia sudah berada di atas katil, mengeluarkan barangnya.
“Bukan tulah maksud aku! Lari kali ni libatkan nyawa tahu?”
Zryan ketawa lagi. Suka benar dia apabila gaduh mulut dengan aku. Aku masih berdiri di muka pintu, memandang dia yang sedang mengemas pakaian.
“Zryan.”
“Hm.” Dia masih tekun melipat baju tanpa memandang ke arahku.
“Lepas habis misi ni, apa kau akan buat?”
Kerja yang dilakukannya berhenti serta merta. Zryan mengalihkan pandangannya ke arahku. Baju yang sudah siap dilipat, diletakkan ke atas meja berdekatan dengan televisyen.
“Qada’ tidur.”
Aku buat muka toya.
“Apa? Betullah. Ingat tak penat ke selesaikan misi?”
“Macam mana kau boleh terlibat dengan organisasi macam ni?” Jujur. Aku sendiri terkejut apabila Zryan beritahu benda sebegini memang wujud. Paling tak sangka, aku akan terlibat sama.
Dua tahun aku diam dan bersembunyi daripada orang ramai, tapi ada dua organisasi yang cuba mencari maklumat aku. Sangat... speechless.
“Barang-barang kau cukup? Ada nak beli lagi?” Laju saja Zryan menukar topik.
Aku mengeluh, faham dia cuba untuk elak daripada menjawab soalan aku. Walaupun begitu, aku masih mengangguk sebagai balasan.
“Cukup.” Gila tak cukup? Kebanyakkan barang tadi semua dia yang pilih. Suruh ambil ni, ambil itu. Aku tuan punya badan pun tak perlu barang-barang yang tak berguna tu.
Zryan bangkit daripada katil dan mendekati aku. “Dah nak petang, kau rehatlah. Apa-apa tak cukup beritahu aku. Pintu ni aku tak akan tutup, apa-apa buka je pintu kau.”
Aku kerling jam di skrin telefon. Ya, sudah hampir lewat petang. Baru terasa penat dan lelah pagi tadi.
“Okey. Kau tak pergi mana-mana kan?”
“Tak.”
“Sebelum aku buka pintu nak kena ketuk dulu ke?”
“Suka hati.”
Aku angguk dan mula masuk ke kawasan bilikku. “Kalau nak keluar bagitahu tau,” kataku lagi.
Kini Zryan menatap wajahku. “Just rest, Euria. Apa-apa aku inform pada kau.”
“Okey,” balas aku. Masih memgang tombol pintu.
“Hm.”
“Bai.”
“Ya, bai.” Malas-malas Zryan membalas.
Setelah itu, aku menarik tombol untuk menutup pintu. Aku pandang segenap ruang. Masa untuk berehat!

ANDA SEDANG MEMBACA
target
Fiksi IlmiahMenjadi buruan. Rahsia terbongkar. Semuanya berlaku dalam sekelip mata. "Jangan beritahu siapa-siapa tentang apa yang ada dalam diri kamu."