“Euria.”
Sayup-sayup terdengar namaku diseru. Mata ingin dibuka, tetapi terasa begitu berat. Badan bagai tak boleh bergerak. Telinga terasa berdesing.
“Euria!”
Kali ini, suara itu lebih menggesa. Kelopak mata cuba dibuka perlahan-lahan. Cahaya yang menusuk ke dalam mata buatkan kelopak mataku kembali tertutup. Tangan cuba menghalang cahaya daripada menerobos ke retina.
Sebaik sahaja mata dibuka sepenuhnya, wajah Zryan dengan riak cemas menjadi pandangan mataku. Titik peluh kelihatan jelas di dahi lelaki itu.
“Euria? Kau okey?” soal Zryan.
“Zr... Zryan?”
“Kau boleh bangun tak? Kita kena cepat sebelum mereka bangun balik,” ujarnya.
Serentak itu, aku lihat sekeliling. Kelihatan beberapa manusia terbaring lemah di lantai. Semuanya tidak bergerak. Baru aku sedar bahawa aku masih berada di tempat yang sama sewaktu pengsan tadi.
Zryan membantu aku untuk bangun. Kami bergerak ke arah pintu untuk keluar daripada kawasan airport. Zryan beritahu, kami akan ke kenderaannya.
Sewaktu dalam perjalanan, aku dapat lihat orang ramai dalam keadaan yang sedikit huru-hara. Aku pasti ada orang hubungi pihak atasan kerana bunyi tembakan yang kuat tadi. Aku ingin bertanya, tetapi Zryan lebih awal arahkan aku untuk senyap.
Kami bergerak hingga sampai ke sebuah kereta yang diparking sedikit tersorok. Beberapa saat kemudian, kami berdua telah meluncur keluar daripada kawasan airport.
Hanya sayup-sayup sahaja bunyi radio yang kedengaran di antara aku dan Zryan. Masing-masing diam tanpa sebarang patah perkataan yang keluar. Aku merenung pemandangan di luar tingkap.
“Kau okey, Euria? Lama juga kau tak sedarkan diri tadi,” tanya Zryan, memecahkan sunyi di antara kami.
Aku hanya angguk. “Kau? Okey?” tanyaku pula. Dari tadi asyik Zryan sahaja yang tanya kondisi diri aku. Baru kali ni aku ada kesempatan untuk tanyakan keadaan dia. Lihat dari fizikal lelaki itu, memang kelihatan beberapa luka di wajah akibat pergaduhan tadi. Tapi dia juga masih kelihatan bertenaga.
“Aku tak perlu risau. Keselamatan kau lagi penting,” katanya perlahan.
Aku guling mata ke atas. “Kau ingat kau tu apa? Robot? Kau tu manusia, Zryan. Keselamatan kau pun penting juga.” Aku berdecit. Berlagak macam ada sembilan nyawa!
Zryan senyum kecil, mengerling aku yang berada di sebelahnya kemudian sambung pada pemanduan.
“Kenapa kau senyum?” tanya aku apabila perasan senyuman terukir cantik di bibir lelaki itu.
“Risau juga kau dengan aku.” Zryan ketawa kecil.
“Bukan risau. Aku tak nak kena soal siasat kalau kau mati,” kataku selamba.
“Budak ni...” Terdengar suara Zryan menggumam perlahan.
Kemudian kami berdua kembali ditemani dengan sepi tanpa ada yang bersuara. Masing-masing lebih selesa untuk berdiam diri. Zryan lebih fokus kepada pemanduannya, manakala aku hanya merenung ke luar tingkap kereta.
Walaupun aku kelihatan senyap, tetapi tidak dengan akal fikiran aku yang sedang bingit. Pelbagai perkara sedang aku fikirkan. Lebih-lebih lagi tentang memori yang menjelma saat aku tidak sedarkan diri tadi.
Aku tidak tahu kenapa memori hitam itu kembali menyinggah fikiran. Seketika aku teringatkan sesuatu.
“Berapa tarikh hari ni?” soal aku.
Zryan memberi isyarat untuk melihat skrin di keretanya. Di situ tertera waktu dan tarikh. Aku merenung seketika ke arah tarikh pada hari ini.
“Kenapa dengan tarikh hari ni?” Zryan di sebelah bertanya. Mungkin pelik apabila aku senyap tanpa berkata apa-apa.
“Hari ni hari lahir aku,” balasku senada. Tiada aura ceria dalam suaraku. Hanya menatap jalan di hadapan.
Lelaki di sebelah aku terdiam setelah itu. “Oh...” Hanya itu yang menyapa pendengaran aku. Aku faham, dengan situasi begini memang tidaklah dia mahu mengucapkan ucapan hari lahir. Seakan-akan tak hormat dengan situasi aku sekarang.
Aku menghela nafas kecil. Fikiranku melayang pula tentang mimpi tadi. Patutlah memori itu kembali mengetuk minda setelah lama aku tidak mimpikan kejadian itu. Rupanya dalam tiga hari lagi, sudah genap dua tahun memori buruk itu berlaku.
Juga... genap dua tahun aku hidup tanpa ibu dan ayah di sisi.
Mengenangkan hal itu, tiba-tiba terasa sebak di dada. Setelah hidup tanpa ibu dan ayah memang menjadi perubahan besar dalam hidup aku. Hari-hari yang selama ini ditemani dengan gelak tawa mereka hilang serta-merta.
Hanya tinggal kesunyian yang menemani aku setiap masa. Tambahan pula, aku perlu sembunyikan kelebihanku ini daripada di ketahui oleh orang lain. Mengikut pesanan terakhir arwah ibu dan ayah.
Tetapi sebulan yang lalu, hidupku kembali berubah. Bahkan, lebih teruk jadinya. Nyawa aku menjadi taruhan. Diri aku diburu. Ya, sejak sebulan yang lalu aku perasan bahawa aku sentiasa terasa diperhatikan. Aku fikirkan itu faktor kerana terlalu kesunyian hingga menyebabkan fikiran aku melayang sebegitu sekali.
Rupanya, memang benar aku telah diperhatikan oleh mereka. Hinggalah tiga hari lepas mereka berani membuka langkah untuk menangkap aku.
“Euria?”
Aku menoleh saat Zryan memanggil. Hilang terus khayalan aku tadi.
“Ya?”
“Aku minta maaf sebab semua benda berlaku hari ni,” ujar Zryan.
Aku senyum tawar. Mesti dia rasa bersalah kerana hari ini merupakan hari ulang tahunku. Sejujurnya aku sendiri terlupa tentang tarikh hari ini. Bagiku itu semua tak penting.
“Tak apa. Bukan salah kau pun. Aku tak kisah langsung dengan hari ulang tahun aku sendiri. Tak penting.”
Aku pandang Zryan di sebelah.
“Ya?” Zryan menjungkit kening. Seakan tahu aku mahu tanyakan sesuatu.
“Apa maksud kau tadi? Aku ialah misi kau?” Kini aku serius menunggu jawapan daripada lelaki itu. Aku yakin Zryan boleh menjawab segala persoalan aku yang berlegar di dalam kepala.
Sebab dia tahu. Dia tahu rahsia terbesar yang aku simpan seorang diri.

ANDA SEDANG MEMBACA
target
Science FictionMenjadi buruan. Rahsia terbongkar. Semuanya berlaku dalam sekelip mata. "Jangan beritahu siapa-siapa tentang apa yang ada dalam diri kamu."