Setelah doktor memeriksa keadaanku, aku telah diberi kebenaran untuk pulang petang nanti. Eiman juga sudah minta diri. Katanya, dia akan datang semula untuk jemput aku balik. Walaupun sudah ditegah banyak kali, dia tetap ingin menjemputku.
Aku mula mengemas barang milikku yang tidak seberapa. Kebanyakkan makanan aje, itu pun sebab dibawa oleh Eiman. Nak bagi aku gemuk agaknya.
Entah kenapa aku teruja untuk pulang. Mungkin sebab dah lama tak balik ke rumah, rasa rindu makin menebal.
Kini aku dah boleh hidup normal seperti sebelum ini. Tiada lagi orang-orang yang mengintip setiap pergerakanku lagi. Eiman janji akan beritahu juga tentang kesemuannya.
Setelah selesai solat asar, aku terus turun ke bahagian lobi hospital. Eiman beritahu tunggu dia di situ sementara dia dalam perjalanan.
Dalam kira-kira lima minit, sebuah kereta hitam berhenti tepat di hadapan aku. Keluar seorang lelaki daripada kenderaan tersebut.
Saat mataku tertumpu padanya, jantungku berubah rentak. Mata membulat melihat susuk tubuh yang aku rindu untuk bersemuka bersamanya lagi.
“Assalamualaikum, Euria.”
Aku senyum lebar. Tak dapat aku gambarkan perasaanku sekarang. Gembira, sedih, teruja, semua ada. Apa maksudnya?
“Waalaikumussalam. Zryan!” jeritku teruja.
Dia melangkah mendekati aku dengan senyuman lebar. Semakin dia hampiri, semakin berdebar jantung aku. Ya Allah, aku sangkakan tak akan dapat lihat lagi senyumannya itu.
“Rindu aku?” tanyanya.
“Zryan... kau hidup lagi.”
“Jahatnya, kau ingat aku dah mati ke?” katanya seakan berjauh hati.
Aku ketawa melihat wajah cemberutnya. Memanglah! Haritu terbaring macam dah tengah nazak.
Aku pandang wajahnya. Ya Allah, kalau ikutkan hati, mahu saja aku peluk dirinya.
“Terima kasih sebab selamatkan aku.”
Dia senyum. “Sama-sama kasih. Sekarang semua dah berakhir.”
Aku angguk.
“Jom.” Zryan bantu membawa barang aku masuk ke dalam kereta miliknya. Aku turut mengangkat sekali.
“Kita nak pergi mana?” tanya aku setelah kereta meninggalkan kawasan hospital.
“HQ agensi kami. Tuan Armand nak jumpa kau,” balasnya.
Keningku terjungkit. “Jumpa? Kenapa? Aku masih dalam bahaya ke?”
“Tak, Euria. Kau dah selamat sekarang. Tak ada benda yang perlu risau sekarang.”
“Habis, kenapa tuan kau nak jumpa aku?”
Zryan tidak membalas, melainkan dia hanya mengangkat bahu. Membiarkan aku membuat andaian sendiri. Tetapi, dapat aku lihat ada sesuatu yang dia cuba sorokkan dari riak wajahnya.
Memakan masa dalam beberapa minit, akhirnya kami berdua tiba di sebuah bangunan organisasi yang agak tersorok daripada kawasan perumahan dan orang ramai.
Aku hanya mengikut saja langkah Zryan membawaku ke tempat Tuan Armand.
Sampai saja di hadapan pintu gelangsar, aku lihat Zryan meletakkan tapak tangannya ke atas sebuah skrin dan automatik pintu gelangsar itu terbuka.
Dapat aku lihat keadaan di dalam yang tak ubah seperti sebuah bilik yang tidak semua orang boleh masuk. Masih ada beberapa orang ejen di dalam bilik ini.
“Tuan,” sapa Zryan pada seorang lelaki yang agak berusia. Walaupun begitu, tubuhnya tetap nampak cergas dan sihat.
Aku rasa itulah ketua Zryan dan Eiman.
Sebaik sahaja dia menoleh, aku dapat lihat sepenuhnya wajah Tuan Armand.
Aku senyum kekok tanda menyapa. “Assalamualaikum Tuan Armand.”
Tuan Armand senyum sambil membalas salam aku. “Kamu memang ada iras dengan arwah doktor.”
Aku senyum kecil apabila ketua Zryan menyebut tentang arwah ayah. Pasti sudah banyak sumbangan yang ayah telah beri di organisasi ini.
Zryan turut berdiri di sebelah aku sambil mendengar segala bicara ketuannya. Aku perasan ada segelintir manusia yang sedang bekerja di sini. Dan yang pasti, mereka sentiasa mencuri pandang ke arah aku.
“Macam yang Euria tahu, kuasa telekinesis yang ada dalam diri kamu telah membawa kamu hingga ke sini. Saya yakin banyak perkara yang kamu dah lalui.” Tuan Armand mula bicara.
“Ayah kamu adalah orang yang telah banyak membantu kami dalam misi pencarian manusia istimewa ni. Kamu adalah aset yang sangat penting bagi kami. Itu tugas organisasi ni, untuk menjaga dan melindungi orang yang berkebolehan seperti kamu daripada jatuh ke tangan musuh.”
“Dalam masa yang sama, kami juga mengkaji dan mencari maklumat tentang manusia berkebolehan ini.”
Aku tekun mendengar segala butir bicara Tuan Armand. Terasa istimewa dan dihargai apabila ada pihak organisasi yang sentiasa menjaga aku daripada musuh.
Nampaknya, kehidupan aku tak akan lari dari mereka semua.

ANDA SEDANG MEMBACA
target
Bilim KurguMenjadi buruan. Rahsia terbongkar. Semuanya berlaku dalam sekelip mata. "Jangan beritahu siapa-siapa tentang apa yang ada dalam diri kamu."