“Ini ke perempuan yang doktor tu sorokkan dua tahun lepas?”
Suara seorang lelaki bertanya memasuki gegendang telinga. Akibat bau ubat tidur tadi masih memberi kesan padaku sehingga sukar untuk membuka mata.
“Ya, dialah. Dua tahun kita cari lokasi dia dan baru sekarang kita jumpa.” Seorang lagi suara lelaki menjawab.
“Walaupun doktor tu dah tak ada, dia dah rancang dengan teliti untuk sembunyikan perempuan ni.”
Aku agak mereka berada sedikit jauh daripada aku kerana suara mereka yang samar-samar kedengaran.
“Doktor tu bukan orang biasa-biasa. Mungkin banyak lagi benda yang dia dah rancangkan dan kita tak tahu.”
“Dua tahun kita cuba dapatkan dia. Apa prosedur selepas ni?”
Setelah itu, sepi menemani. Lelaki itu mungkin sedang memikirkan balasan kawannya.
“Kita tunggu arahan pihak atasan.”
Dan setelah itu, tiada lagi suara mereka berdua. Mungkin sudah beredar daripada sini.
Perlahan-lahan aku cuba celikkan mata. Terasa lenguh segala urat sendi di tengkukku. Mungkin akibat tertidur dengan posisi yang tak betul.
Aku melihat sekeliling. Cuba memperoses di mana lokasi aku sekarang.
Sebuah bilik kecil. Seluruh bilik ini berwarna putih dan terdapat sedikit dinding yang dicat warna kelabu cerah. Tiada sebarang perabot dan barang di dalam bilik ini. Kosong. Yang ada hanyalah diri aku.
Nafas lega dihela saat aku melihat pakaian tadi masih tersarung di tubuh. Cincin yang diberi Zryan juga masih ada di jari manisku.
Zryan... di mana dia sekarang? Dapatkah dia kesan lokasi aku?
Aku pasti orang yang tangkap aku adalah orang selalu mengintip aku selama ni. Tak sangka akhirnya aku jatuh juga dalam tangkapan mereka setelah banyak kali aku cuba selamatkan diri.
Baru saja aku ingin mendekati pintu besi di dalam ruangan bilik ini, pintu itu sudah terbuka daripada luar. Muncul seorang lelaki bertopi. Yang pasti bukan mana-mana lelaki yang cuba menangkap aku sebelum ni.
Saat melihat susuk lelaki itu, serentak itu juga jantung berdegup kencang. Aku cuba untuk tunjuk berani supaya mereka tidak lihat ketakutan aku.
“Siapa kau? Apa yang kau nak daripada aku?” soalku berani.
Lelaki itu hanya diam. Jelas di wajahnya malas untuk melayan soalan aku yang terang-terangan dia tak akan jawab.
Lelaki itu mula melangkah dan dapat aku lihat dengan jelas wajahnya yang dingin tak berperasaan. Tanpa berkata apa-apa, dia memegang tanganku lalu menyelak lengan bajuku hingga ke siku.
Mataku membulat. Jelas aku tak suka dengan apa yang lelaki itu cuba lakukan. Aku ingin memprotes tetapi lebih kuat dia mengenggam lengan aku.
Biji matanya tertumpu pada kesan parut yang agak panjang di lengan aku. Parut itu terhasil kerana kemalangan dua tahun lepas.
“Jadi kau memang orang yang kami cari selama ni.” Lelaki itu akhirnya melepaskan tanganku. Cepat-cepat aku menutup semula kulit lenganku yang terdedah tadi. Terasa jijik dipegang olehnya.
Aku berdiam diri. Tak faham apa yang dia maksudkan. Sudah lama ke mereka cuba mencari aku? Rasanya baru sebulan yang lalu saja aku perasan kehadiran mereka yang sentiasa memerhatikan aku.
“Kalau dari dulu kita orang dah tangkap kau, tak adanya kami bazir masa nak cari kau sekarang,” rungutnya sendiri.
Walaupun aku tak faham apa yang dia katakan, aku masih berdiam diri. Takut sekiranya ada perkara buruk yang terjadi. Orang jahat ni selalunya tak boleh jentik, nanti keluar keterunan iblisnya.
Tapi pertanyaannya yang baru memasuki gegendang telinga buatkan diriku serta merta mengeras.
“Macam mana hidup selepas tak ada mak ayah?” soalnya seakan menyinis. Jauh sekali sifat simpati.
“Kau... apa maksud kau?” soalku perlahan. Semua yang terjadi ni ada kaitan ke dengan ibu dan ayah?
Apa sebenarnya yang mereka sorokkan pada aku selama ni?
Lelaki itu tersenyum sinis. Dia berdiri tegak bersama tangan disilang ke belakang badan. Tenang saja dia memandang ke arahku.
“Kalau dari awal mereka serahkan kau pada kami, aku rasa mereka tak akan mati. Kesian kan? Kau pula yang kena tanggung rasa sedih. Tulah... berlagak sangat boleh bawa kau lari. Sekarang tengok, ajal siapa yang jemput dulu,” ujarnya bersama tawa kecil.
Aku mengetap rahang. Setiap patah perkataan yang masuk telinga amat menyakitkan hati aku. Lelaki ini memang melampau.
“Jaga mulut kau...”
“Oh, maaf. Kau terasa ke?” Dia ketawa kecil. “Dah lama aku tunggu untuk cakap benda ni. Jadi, apa salahnya kan?”
Aku cuba mencantumkan apa yang aku dengar tadi. Aku masih tak faham, apa pula kaitan ibu dan ayah? Kenapa mereka larikan aku?
Dan paling penting... lelaki inikah yang menjadi asbab kematian ibu dan ayah?
“Apa mereka dah buat sampai kau berdendam macam ni?”
Senyuman sinis lelaki itu mati. Kini berubah dengan pandangan yang tajam menikan anak mataku.
“Sebab mereka, misi yang ditugaskan untuk aku gagal. Sebab mereka juga aku hampir dibuang kerja ni. Lepas aku merayu untuk buktikan yang aku boleh jumpa kau, baru pihak atasan benarkan aku kerja semula.”
Dia dekatkan wajahnya dengan wajah aku. Senyuman sinisnya terukir kembali. “Dan sekarang aku dah buktikan,” bisiknya perlahan.
YOU ARE READING
target
Science FictionMenjadi buruan. Rahsia terbongkar. Semuanya berlaku dalam sekelip mata. "Jangan beritahu siapa-siapa tentang apa yang ada dalam diri kamu."