Bahuku terinjut kerana terkejut dengan bunyi tembakan. Aku mengerling ke belakang. Mataku membulat saat salah seorang daripada mereka menghalakan pistol ke arah kami.
Terdengar Zryan berdecit perlahan. Wajahnya kembali tidak beriak. Dia seakan sudah biasa lalui situasi sebegini. Tidak seperti aku. Masih berdebar dan terkejut apabila mereka mula mengganas.
Zryan membawa aku untuk berlindung di sebalik dinding putih di situ. Jarinya diletakkan ke mulut mengarahkan aku supaya tidak mengeluarkan bunyi.
Aku pejam mata. Peluh mula merintik di dahi. Dada turun naik kerana penat berlari.
“P-pistol. Dia orang guna pistol,” kataku perlahan. Masih terkejut dengan bunyi tembakan tadi. Tak boleh bayang jika aku menjadi mangsa peluru senjata api itu.
“Ya, Euria. Kau betul, 20 markah untuk kau.”
Aku menampar bahu Zryan sekuat hati. Dalam keadaan macam ni dia masih nak buat lawak?
“Sakitlah,” rungutnya perlahan. Kemudian, dia keluarkan sesuatu daripada belakang poketnya. Tangannya lincah melakukan persiapan oleh barang tersebut.
“Apa tu?” soalku ingin tahu. Bentuk seperti pistol, tetapi tak mungkin seperti sekumpulan penjahat itu guna.
“Taser. Berfungsi untuk lumpuhkan musuh sementara dengan arus elektrik. Yang penting, tidak membawa maut,” terang Zryan seakan tahu aku tak suka akan pembunuhan.
Zryan mengintai keberadaan musuh di sebalik dinding. “Tunggu isyarat aku, kemudian kau terus lari keluar daripada pintu tu. Tunggu aku datang lepas aku tumpaskan yang lain,” arahnya seakan seorang ketua pasukan.
Mulutku terkumat-kamit membaca doa. Berharap tiada benda serius akan berlaku. Aku tak tahu apa yang perlu direspon. Hanya angguk dan tunggu isyarat daripada Zryan.
Bang!
Bunyi tembakan bergema lagi. Setelah itu, Zryan keluar dan mara berlawan dengan musuh. Tumbukan demi tumnukan Zryan lepaskan pada musuh.
Aku mula gelabah apabila Zryan sudah mulai jauh daripada aku. Saat itu, kepala teringatkan sesuatu. “Apa isyarat kau?” Dia tak beritahu apa isyaratnya. Macam mana aku nak tahu dah boleh lari atau belum?
“Sekarang, Euria!” jerit Zryan, dan aku pasti itu adalah isyaratnya.
Aku keluar daripada tempat berlindung di sebalik dinding. Kaki hanya menuju ke arah pintu keluar. Sempat mataku memandang situasi Zryan yang sedang melawan musuh.
Dia sedang berlawan dengan tiga orang manusia. Aku tak tahu bagaimana, tapi aku tak pasti Zryan boleh menang memandangkan lawannya semua berbadan tegap.
Taser milik Zryan juga sudah berada di lantai. Mungkin terlepas daripada pegangan Zryan saat berlawan dengan musuh.
Aku bergilir memandang ke arah pintu dan Zryan yang masih berlawan. Akal masih berkira-kira untuk membantu.
“Euria? Kenapa tak keluar?” soal Zryan separa menjerit. Dia masih sibuk tumpaskan musuh. Sesekali wajah Zryan menjadi mangsa tumbukan oleh pihak lawan.
Tanpa berfikir banyak, aku mara ke arah Zryan. Mendekati musuh yang cuba menyerang Zryan.
“Apa kau buat Euria?”
Soalan Zryan aku abaikan. Sempat aku tangkap wajahnya yang seakan marah dengan tindakan aku yang luar daripada rancangan.
Sebuah bekas tong sampah bersaiz besar menjadi sasaran aku. Tangan diangkat menghala ke arah tong sampah tersebut. Mataku tajam menumpukan perhatian kepada objek yang aku cuba untuk kuasai.
Beberapa saat kemudian, perlahan-lahan tong sampah itu terapung di awangan tanpa sentuhan fizikal. Objek itu berada seratus peratus di bawah kawalan aku. Apabila tanganku bergerak, diikuti dengan tong sampah tersebut.
Aku menggunakan tenagaku untuk membaling tong sampah itu ke arah sekumpulan lelaki yang cuba mendekati Zryan.
Seperti yang dikawal, tong sampah itu terus begerak laju seakan dibaling lalu menghentam dua orang lelaki. Mereka terbaring mengerang kesakitan.
Zryan yang melihat situasi itu tergamam. Aku dengar suaranya bergumam perlahan. “Cool.”
“Zryan!” Aku menjerit memberi amaran apabila terlihat seorang lelaki cuba menerkam Zryan dengan senjata tajam dari arah belakang lelaki itu.
Biji mata aku terus menangkap taser yang terdampar di atas lantai. Dengan pantas, aku menggunakan kebolehan aku untuk mengawal senjata itu agar diterapungkan.
Lincah tangan aku bergerak melepaskan objek itu sekuat hati ke arah wajah lelaki yang cuba menyerang Zryan. Lelaki itu terjelopok jatuh. Dapat aku lihat hidungnya mengeluarkan cecair merah. Mungkin akibat hentakan kuat daripada taser yang dibaling olehku.
Nafasku turun naik. Mata dikerdipkan berkali-kali. Kepala tiba-tiba berdenyut. Itulah yang akan aku rasai setiap kali mencuba kelebihan yang satu itu.
Lututku jatuh menyentuh lantai. Tak dapat menahan rasa sakit di kepala. Mataku semakin kabur. Terasa badanku sudah jatuh terjelopok. Perlahan-lahan penglihatan aku semakin malap.
Sehinggalah benda terakhir yang aku dengar ialah suara Zryan menjerit namaku sebelum mata tertutup rapat.
“Euria!”

ANDA SEDANG MEMBACA
target
Science FictionMenjadi buruan. Rahsia terbongkar. Semuanya berlaku dalam sekelip mata. "Jangan beritahu siapa-siapa tentang apa yang ada dalam diri kamu."