“Happy birthday to you!” Nyanyian lagu happy birthday dinyanyikan oleh dua orang manusia disebelahku. Aku tersenyum lebar menunjukkan betapa gembira aku di saat itu.
Aku menarik kedua tangan mereka untuk memotong kek brownies yang disaluti coklat hazelnut tersebut. Ya, itulah kek kegemaranku dan hadiah daripada mereka berdua. Wajahku dihiasi dengan lakaran senyuman yang bahagia. Setelah selesai memotong, aku menarik mereka ke dalam pelukan.
“Terima kasih, ibu! Ayah!” ucapku gembira sambil mencium pipi mereka.
“Ish, gelilah.” Ibu menolak aku dengan muka kegelian diikuti dengan tawa kecil. Aku mencebik dengan tindakan ibu. Geli? Aku senyum sinis sebelum menarik ibu dengan lebih dekat. Makin kalut ibu jauhkan diri dariku.
“Ibu ni tak baik tau! Bersyukurlah sikit Euria nak bagi pakej bersweet-sweet. Bukan senang nak dapat kasih sayang Euria,” ujarku, dah buat muka acah-acah merajuk.
Pecah ketawa ibu melihat aku seakan merajuk. Dia kembali merapatkan badan setelah hubungan silaturrahim terputus tadi.
“Yalah, gurau je. Sama-sama anak ibu.” Pinggan kek tadi ditarik perlahan.
Aku tayang sengihan. Suka apabila ibu gelarkan ‘anak ibu’ padaku. Sempat aku lihat ayah menggeleng kepala melihat karenah kami. Nak buat macam mana? Ibu suka sangat mengusik, sama macam aku. Memang perangai ibu mengalir dalam diri aku.
“Terima kasih, ayah,” ucapku sekali lagi.
“Sama-sama. Jangan lupa QR duit.”
Senyumanku mati. Mulut ternganga. Hah ini lagi seorang. “Ayah tak ikhlas ke belanja kek ni? Okey takpe, lepas ni tak ada duit belanja setiap bulan. Euria ni bank bergerak ibu dan ayah tau. Tak ada Euria, tak adalah duit belanja.” Aku peluk tubuh. Berani ayah nak suruh aku bayar balik?
Ruang makan di situ dipenuhi dengan gelak tawa orang tuaku. Aku turut tertawa kecil. Malam ini, memang banyak aku mengukirkan senyuman.
Malam ini, aku sekeluarga menyambut hari ulang tahunku yang ke dua puluh. Walaupun tarikh lahir aku yang sebenar sudah lepas tiga hari. Cuma hari ini ibu dan ayah ada masa untuk menyambutnya.
Pada hari lahirku, ayah tak ada di rumah. Ayah keluar bekerja sepanjang hari. Jadi, pada malam ini baru ada masa untuk keluar buat makan-makan.
“Maaflah, baru hari ni ada masa nak sambut birthday Euria,” ujar mama sambil menyuap sesudu kek. Ayah juga turut menikmati kek kegemaranku yang aku pilih.
“Alah, Euria tak kisah pun. Selagi ibu dan ayah sentiasa hulurkan duit kat Euria, dah bersyukur sangat,” kataku bergurau. Kemudian aku ketawa besar. Aku megaduh sakit apabila siku aku dicubit oleh ibu. Aku tayang baris gigi.
“Mengada. Patutnya Eurialah kena bagi duit kat kitaorang. Dah kerja kan?” ujar ibu tak mahu kalah.
“Gurau je. Lagipun memang setiap bulan Euria bagi kan? Tak pernah miss. Kadang sebulan dua kali tau,” ujarku terselit rasa bangga.
Aku pandang kek brownies yang masih berbaki banyak lagi. Nampaknya aku perlu minta bekas untuk bawak balik. Boleh makan untuk hari lain. Tambahan pula ibu dan ayah memang tak berapa minat dengan manisan. Perlu jaga pemakanan dah tua ni.
Deringan telefon milik ayah mengalihkan perhatian kami bertiga. Ayah mencapai lalu melirik nama si pemanggil. Aku nampak dahi ayah berkerut sebelum meminta diri untuk menjawab panggilan tersebut.
“Kejap ya, ayah jawab telefon,” ujar ayah sambil memberi isyarat padaku ‘habiskan, mahal tau kek tu’ sebelum bangkit pergi.
Aku buat muka toya. Setakat kek brownies tu, aku boleh beli sepuluhlah!
Aku sambung bersembang dengan ibu tentang selebriti yang sedang hot diperkatakan. Dengan ibu saja aku boleh bercerita tentang berita terkini. Kalau aku baru nak buka cerita, ibu terlebih dahulu tahu.
Kalau dengan ayah, baru sebut nama selebriti terus di soalnya, siapa tu? Orang mana? Kerja apa? Macam aku dengan ibu ni tahu semua benda tentang selebriti tu!
Kemudian ayah datang kembali setelah habis jawab panggilan tadi. Tapi yang lainnya, ayah kelihatan sedikti gelisah. Sekeliling kafe ini ayah pandang. Seakan mencari seseorang.
Dahiku berkerut. Pandangan dialihkan untuk memandang ibu untuk memastikan ibu juga perasan dengan perubahan ayah.
Dan betul, ibu perasan riak wajah ayah yang agak berlainan. Aku dapat rasakan mereka berdua sedang berkomunikasi melalui pandangan mata.
“Kenapa, ayah?” Aku tanya. Risau apabila mereka seakan tak nak beritahu aku tentang sesuatu. Kenapa ayah tiba-tiba berubah lain?
Ibu seakan-akan faham, terus mengajak kami untuk pulang. Ayah pula minta kepada pelayan untuk bungkuskan kek yang masih berbaki.
Ketika ayah baru saja untuk bangun, pantas aku menggunakan kebolehan aku untuk menarik semula kerusinya. Ayah terduduk kembali sambil membulatkan mata memandang aku.
Aku senyum kecil. Ayah memang tak suka apabila aku gunakan kebolehan aku tanpa beritahunya terlebih dahulu. Aku merapatkan tangan meminta maaf.
“Ayah, okey? Tak ada apa-apa yang berlaku kan?” soalku perlahan meminta kepastian. Aku tak nak fikirkan perkara yang bukan-bukan. Aku cuba untuk berfikiran positif.
Aku tahu ibu dan ayah ada simpan sesuatu daripada pengetahuan aku. Ya, mereka berdua memang banyak perkara yang mereka rahsiakan daripada aku. Tapi aku tak kisah. Selagi mereka rasa aku tak perlu tahu tentang sesuatu perkara, aku okey. Janji mereka setia berada di sisi aku.
Itu sudah lebih dari cukup.
Ayah diam. Kemudian senyuman diukirkan. “Jangan risau. Semua akan okey.”
Mama beri isyarat untuk pulang segera. Ayah kembali bangun daripada kerusi. Baru saja beberapa langkah, ayah kembali pusing menghadap aku. Jari telunjuk di arahkan sambil berkata, “Dan, jangan buat macam tu lagi.” Serius ayah merenung aku.
Kemudian aku ketawa besar. Tangan diangkat tanda bersalah. “Okey, okey, lepas ni Euria tak buat lagi.” Aku pandang ibu minta sokongan, tapi apa yang aku dapat adalah amaran yang sama.
Aduh, ibu dah berpihak pada ayah!

ANDA SEDANG MEMBACA
target
Fiksi IlmiahMenjadi buruan. Rahsia terbongkar. Semuanya berlaku dalam sekelip mata. "Jangan beritahu siapa-siapa tentang apa yang ada dalam diri kamu."