bab 18

14 2 0
                                    

Keadaan pagi ini begitu tenang sekali dengan bunyi hujan renyai yang membasahi bumi. Dari subuh lagi hujan masih tidak berhenti turun.

Pagi tadi setelah aku dan Zryan sarapan di hotel, dia beritahu akan keluar untuk dapatkan maklumat tentang misi yang akan dijalankan seterusnya. Sempat aku berpesan pada Zryan untuk ketuk pintu bilikku sebelum pergi.

Baru saja aku ingin mencapai alat kawalan jauh, bunyi ketukan pintu kedengaran. Bukan daripada pintu penghalag bilik kami, tetapi daripada pintu utama. Aku mengintai untuk memastikan orang di sebalik pintu ini sebelum memulas tombol pintu.

“Zryan,” tegur aku. “Kau dah nak pergi?”

Aku melirik pakaian yang dipakai olehnya. Seperti biasa, hanya pakaian casual yang tersarung di tubuh lelaki itu. Cuma sedikit berbeza kerana Zryan menyarungkan topi hitam sehingga menutupi separuh wajahnya.

Zryan angguk. “Aku tak pasti bila aku balik. Tapi yang penting, kau kena sentiasa bersedia. Tunggu kalau-kalau aku beri arahan,” ujarnya dengan suara serius.

Sedikit sebanyak berasa gerun juga aku apabila Zryan mula serius dengan hal sebegini. Lebih-lebih lagi apabila dia sedang berlawan dengan musuh. Macam nak bunuh orang!

“Maaf sebab aku tak boleh bawa kau sekali. Kemungkinan musuh akan dapat jejak lokasi kita. Lagi bahaya sebab kita akan ke pejabat organisasi.”

Aku hanya angguk. Faham. Terlalu bahaya untuk ambil risiko kalau aku berdegil untuk ikut.

“Kalau dah habis, jangan melencong ke mana-mana pula. Aku takut duduk seorang lama-lama.”

Tiba-tiba Zryan senyum mengusik. “Penakut rupanya kau ni...”

“Aku bukan takut dengan hantu, tapi manusia!” Aku merengus. Dia selalu salah faham dengan takut aku. Setakat hantu, aku boleh ajak berzapin sekali. Tapi kali ni nyawa aku bila-bila masa saja boleh melayang. Siapa je tak takut?

Dia buat muka tak endah. “Samalah tu, penakut juga.”

“Dahlah, belah cepat,” halau aku sambil menutup pintu.

Tak dapat aku tutup pintu sepenuhnya apabila tangan Zryan cepat saja menahan. Dia mengangkat tangan memberi isyarat ‘sekejap’ sebelum dia meraba poket seluarnya.

Dia menghulurkan sesuatu yang berada di telapak tangannya kepadaku.

Cincin. Tiba-tiba jantungku berdegup pantas. Uish, dia nak melamar ke?

Aku cuba kekalkan wajah tak beriak sebelum bertanya. “Apa ni?”

“Hadiah birthday kau,” balas Zryan senada. Dia masih menghulurkan cincin tersebut.

Aku terkedu. Brownies semalam pun hadiah juga kan? Ini ada lagi? Perlahan-lahan aku mengambil cincin yang berada di telapak tangannya lalu menilik. Cantik!

Bentuk ukirannya sangat minimalist dan bewarna silver. Terdapat corak berbentuk bujur bewarna hitam di tengah-tengahnya.

Aku buat wajah tak percaya. “Zryan... kau mimpi apa semalam?”

“Aku nak kau sentiasa pakai cincin ni. Kalau boleh, jangan tanggalkan. Cincin ni... bukan cincin biasa.”

Keningku bertaut. “Maksud kau?”

Zryan menunjuk ke arah corak bujur bewarna hitam yang terdapat di cincin silver tersebut. “Dalam cincin ni ada alat pengesan. Dicipta khas daripada organisasi kami. Bila kau dalam bahaya, tekan butang corak warna hitam ni. Automatik alat pengesan ni akan aktif dan aku dapat kesan lokasi kau.”

Mataku membulat. “Alat pengesan?” Cincin cantik macam ni pun ada kegunaan lain? Nampaknya organisasi Zryan boleh mula menjual cincin. Reka bentuk yang mereka buat bukan main cantik lagi.

“Sarungkanlah,” suruh Zryan.

Aku mengikut arahannya. Cincin tersebut aku sarungkan ke jari manisku. Automatik senyumanku terukir.

“Cantik.” Terletak elok di jari aku.

“Sesuai untuk kau,” komennya sambil melihat cincin yang sudahku sarungkan.

“Terima kasih. Banyak benda dah kau bagi aku. Tak tahu macam mana aku nak balas.” Daripada menyelamatkan nyawa aku, menjaga makan minum, dan beri perlindungan padaku.

Macam mana boleh ada lelaki sebaik Zryan?

Zryan ketawa. “Sama-sama. Aku tak suruh pun kau balas. Kau yang sibuk nak balas balik.”

“Yalah, orang dah buat baik, kenalah balas baik semula.”

Bernoktah saja ayatku, riak Zryan berubah. Seakan ada sesuatu menganggu fikirannya.

“Kau okey?”

Zryan pantas mengangguk. “Aku okey.” Dia berdehem seketika. “Aku gerak dulu. Apa-apa call aku. Jangan buka pintu melainkan aku yang ketuk. Aku akan hantar mesej pada kau terlebih dahulu sebelum ketuk pintu. Pastikan itu aku, baru buka.”

Aku guling mata ke atas. Dah macam ayah beri nasihat pada anak. Berjela-jela arahannya.

“Baik, bos.”

Zryan angguk kepala sebelum kakinya mula melangkah pergi.

“Bai,” sempat aku ucapkan sebelum dia hilang dari pandangan.

Zryan menoleh sebelum membalas. “Ya, bai.”

Aku tutup pintu rapat lalu dikunci. Aku lihat waktu di skrin telefon. Masih ada banyak masa untuk aku habiskan sementara tunggu Zryan pulang.

Aku tilik cincin yang diberi lelaki itu tadi. Sangat sepadan apabila disarungkan pada jariku. Renunganku pada cincin terganggu apabila terdengar bunyi ketukan pintu.

Kemudian telefon digenggamanku berdering. Aku lihat nama si pemanggil. Zryan.

Dahiku berkerut. Aik, dia ada ctertinggal barang ke?

Kakiku pantas melangkah ke arah pintu hotelku. Ish, kalau ya pun sabarlah kejap. Ketuk pintu macam nak roboh.

Sebaik sahaja aku membuka pintu, kelihatan seorang lelaki berpakaian serba hitam. Matanya tepat merenung ke arahku. Dan yang paling penting, dia bukan Zryan.

Baru saja aku mahu menutup pintu, cepat saja dia menolak pintu itu dengan lebih luas sehingga aku terdorong ke dalam bilik. Lelaki itu pantas masuk ke dalam bilik hotel aku.

Jantungku berdetak hebat. Macam mana lelaki ni boleh jumpa bilik yang di huni olehku? Tepat pula dia datang pada waktu Zryan baru saja pergi.

Baru saja aku mahu bertindak, terasa mulutku ditekup dengan sesuatu. Aku meraung untuk dilepaskan.

Aku lebih terkesan apabila terhidu ubat yang terdapat di kain tersebut. Serta merta mataku terpejam akibat bau yang tidak enak itu memasuki rongga hidung.

Badanku terasa bagai diseret oleh lelaki tadi. Saat itu juga, aku teringatkan tentang cincin yang mempunyai alat pengesan yang diberi oleh Zryan tadi.

Dengan keadaan yang semakin lemah, aku menekan butang bercorak bujur hitam itu sebelum mata terpejam rapat. Berharap agar Zryan dapat mengetahui lokasi dan selamatkan aku.

targetWhere stories live. Discover now