“Zryan, aku nak tanya,” ujarku apabila kami berdua diam buat beberapa ketika.
“Apa dia?”
“Kau kenal ibu dan ayah aku?”
Terus terhenti langkah lelaki itu apabila mendengar soalanku. Tubuhnya kaku. Perlahan-lahan dia memusingkan badan menghadap ke arah aku.
Perlahan-lahan dia anggukkan kepala.
Walaupun aku sudah agak dengan balasannya, tapi apabila dia mengaku aku tetap terkedu. “Tapi, kenapa kau tipu?” Kenapa dia pura-pura tanya tentang ibu dan ayah kalau dia kenal mereka?
“Aku minta maaf Euria.”
Aku geleng kepala. “Aku tak nak dengar kata maaf kau. Aku nak dengar cerita sebenar. Apa yang berlaku dua tahun lepas? Siapa kau? Macam mana kau boleh kenal ibu dan ayah aku?”
Zryan menarik nafas dalam sebelum dilepaskan perlahan-lahan. Dia menatap dalam wajahku sebelum memulakan bicara.
“Ayah kau. Dia adalah doktor dan salah seorang ahli daripada organisasi kami.”
Jantungku seakan terhenti. Terkebil-kebil aku memandang Zryan. Apakah? “Sejak bila? Macam mana ayah boleh terlibat dengan perkara ni?”
“Kau cerita kebolehan kau wujud masa umur 15 tahun kan?”
Angguk.
“Selepas dia dapat tahu kau ada kebolehan tu, ayah kau merantau untuk mencari lebih dalam maklumat tentang kuasa kau. Dari situ, dia jumpa dengan organisasi kami yang juga sedang mengkaji perkara yamg sama ayah kau cari.”
“Sejak daripada itu, ayah kau dah jadi sebahagian daripada organisasi ni. Urusan kami pun dipermudahkan sebab ayah kau banyak membantu. Kita orang dapat kenal dengan lebih dalam personaliti manusia yang ada kebolehan ni sebab ayah kau selalu ceritakan tentang kau.”
Jadi... ini perkara yang ayah sorokkan daripada aku selama ni?
Tiba-tiba Zryan ukirkan senyuman.
“Aku banyak terhutang budi dengan ayah kau. Masa tu aku masih belum rasmi menjadi ejen. Pihak atasan asyik merendahkan kebolehan aku. Mereka tak beri peluang untuk aku buktikan kemampuan yang aku ada.
Tapi ayah kau sanggup tolong aku. Dia ajak aku untuk jadi pembantu dia dan dari situ, barulah pihak atasan nampak kemampuan yang aku ada. Akhirnya aku dapat menjadi seorang ejen. Semuanya atas bantuan ayah kau.”
Aku tersenyum hambar mendengar cerita Zryan. Ayah memang berhati mulia. Sanggup tolong orang dalam kesusahan. Ayat yang selalu ayah akan ulang, kalau kita tolong orang, nanti Allah pula yang tolong kita.
“Sebab tu lelaki topi tadi kata khidmat kau dah tak diperlukan lagi, tapi diselamatkan oleh doktor?” soalku ulang semula kata-kata lelaki bertopi tadi.
Zryan angguk.
“Sebab itu jugalah kau asyik kata terhutang budi dengan aku, sebab aku anak doktor?”
Dan dia angguk lagi.
Aku hela nafas perlahan. Aku duduk sambil memeluk lutut. Banyak perkara yang baru aku tahu tentang ayah.
“Kemalangan tu... apa yang jadi?” tanya aku perlahan. Walaupun aku masih tak bersedia untuk dengar semuannya, tapi aku perlu tahu apa yang jadi.
“Masa tu, pihak musuh dah dapat kesan orang berkebolehan ni wujud. Kami banyak habiskan masa untuk tutup bukti kau dari di ketahui musuh. Tapi pihak sana lebih cekap. Lepas mereka tahu lokasi kau, terus mereka nak dapatkan kau.
Malam tu, kereta yang ekori kau tu musuh yang sama tangkap kau hari ni. Malam tu aku ditugaskan untuk gagalkan misi musuh. Dan aku berjaya. Tapi apa yang kami semua tak sangka, ayah dan ibu kau terkorban. Kumpulan kami bertindak pantas untuk sembunyikan bukti kau berada di situ.”
Dahiku berkerut seribu. “Maksudnya?”
“Kau pengsan selepas kemalangan, untuk elakkan musuh cari kau dalam kereta tu, jadi kami dengan pantas bawa kau lari dan tutup bukti. Tapi kau mungkin tak sedar. Sebab kami tak nak kau tahu kewujudan kami.”
Aku jeda. Tak tahu reaksi yang perlu ditunjukkan. Aku pernah dibawa lari dan langsung tak pernah tahu. Masa tu pun aku sedar di hospital dan dapat tahu ibu dan ayah dah tiada.
Aku menundukkan wajah. Aku berharap itu semua adalah hanya mimpi. Tapi apakan daya, itu semua dah berlaku. “Siapa lelaki tadi?”
“Dia adalah ketua dalam misi pencarian kau. Malam tu, kereta yang ekori kau semua atas rancangan dia. Sebab tu dia marah aku tadi sebab aku punca misi dia gagal dan hampir dibuang kerja.”
Zryan pandang aku seketika. “Kami semua buntu lepas dapat tahu tentang kematian doktor dan isteri dia. Selama ni ada mereka yang jagakan kau. Kami terpaksa palsukan kematian yang kau terkorban dalam kemalangan supaya mereka tak lagi memburu kau.”
Agak terkejut aku mendengarkan cerita Zryan. Tak sangka selama ni aku menjadi sasaran orang. Dua tahun pula tu!
“Kami bersyukur bila kau mula sembunyikan diri. Kau turut membantu kami agar musuh tak dapat mengesan kau. Kita orang cuma perhatikan kau dari jauh dan akhir-akhir ini saja terpaksa tunjuk muka setelah lelaki tadi akhirnya dapat tahu kau masih hidup.”
Aku meraup wajah. Terlalu banyak maklumat yang diterima. Rasa nak pecah kepala bila fikirkan semula.
YOU ARE READING
target
FantascienzaMenjadi buruan. Rahsia terbongkar. Semuanya berlaku dalam sekelip mata. "Jangan beritahu siapa-siapa tentang apa yang ada dalam diri kamu."