Pelajar semester akhir diberi masa sebulan untuk membuat permohonan ke peringkat ijazah sarjana muda dan Auni adalah orang pertama yang tidak sabar untuk mengisi borang bersama dengan tiga orang lagi sahabatnya, Natasha, Fatihah dan Aina.
"Kau dah fikir ke nak ambik jurusan apa? Kau ada masa dua bulan je lagi ni untuk fikir sebelum intake bulan September nanti," Soal Natasha sambil menyinggung lengannya di bahu Auni yang sedang termenung.
Mereka berempat telah berkawan semenjak dari semester kedua dan dari fakulti yang sama. Tetapi, cuma Auni sahaja yang berbeza kelas dengan rakan-rakannya yang lain. Walaupun tidak sama kelas, mereka tetap cuba meluangkan masa bersama sama untuk menemani Auni memandang gadis itu seorang yang pendiam.
"Aku rasa nak ambil pengurusan sumber manusia. Tapi, aku kena bincang dulu dengan mama babah aku. Kau tolong doakan diorang setuju dengan pilihan aku ni ya?" Ujar Auni dengan senyuman tipis. Manakala Natasha yang mendengar pilihan Auni, terus mengoyak senyum lebar.
Pilihannya sama dengan Auni!
Beberapa hari lepas, Natasha sudah bertanyakan hal ini kepada Fatihah dan Aina, tetapi jawapan mereka berdua membuatkan dia berasa sedikit sedih kerana mereka memilih untuk menyambung jurusan sistem pejabat. Masih dibawah fakulti yang sama, cuma jurusan yang berbeza.
Kini, impiannya untuk sama-sama harungi tempoh pembelajaran ijazah sarjana muda akan tercapai kerana pilihannya sama dengan Auni.
Tugasnya sekarang ini sebagai seorang sahabat, hanya perlu kerja keras mendoakan agar kedua ibu bapa Auni setuju untuk membenarkan dia sambung belajar.
Peperiksaan terakhir sudah tamat dan Auni sudah pulang ke pangkuan keluarganya memandangkan diplomanya sudah tamat. Sedang Auni sibuk mencedok nasi ke dalam pinggan, otaknya ligat memikir bagaimana dia mahu beritahu mama dan babah tentang niatnya untuk sambung belajar? Dia yakin yang ibu bapanya pasti tidak akan setuju, tapi.. cuba sajalah. Pinggan-pinggan yang sudah penuh dengan nasi, diletakkan diatas meja makan dengan cermat. Huluran mangkuk dan pinggan yang berisi lauk-pauk dari Puan Asmah juga diletakkan diatas meja. Selesai sahaja adiknya si Aqeel membaca doa makan, semua mula menjamu selera.
Sedapnya! Syukur, alhamdulillah. Rasanya 3 minggu dia tidak pulang ke rumah kerana sibuk dengan kertas peperiksaan dan sejujurnya dia rindu dengan masakan Puan Asmah.
"Ma, bah. Hmm.. kakak nak tanya sikit boleh?" Soal Auni selepas kunyahan di dalam mulutnya ditelan. Berdebar!
Meja makan yang tadi sunyi sepi, akhirnya dipecahkan dengan suara Auni. Kini, seluruh tumpuan ahli keluarga jatuh pada dirinya.
"Kakak rasa nak sambung degree lah. Sha, Aina, Tihah, semua sambung belajar. Tak puas lagi nak-"
"Kakak kerja jelah. Buat apa nak sambung belajar? Nak tambahkan lagi hutang belajar yang dah sedia ada tu? Jangan nak tambah beban babah lagi ya?" Auni yang baru saja hendak minum air, terus terbatal niatnya.
Itulah jawapan Puan Asmah selepas dia mendengar permintaan anak keduanya itu. Dia tidak dapat menafikan bahawa anak perempuannya itu seorang yang suka membaca dan rajin belajar, tetapi hati seorang ibu berpendapat yang sijil diploma sahaja sudah memadai memangkan anak sulungnya, Amirul Akif, sudah belajar hingga ke peringkat sarjana muda yang kini sudah bekerja sebagai seorang jurutera. Anak bongsunya, Azrul Aqeel pula sekarang sedang praktikal peringkat ijazah di salah satu syarikat swasta dalam bidang kejuruteraan elektrik.
"Bukan nak tambah beban tapi kakak suka. Kakak ingat nak ambil course HR. Mana tahu ada rezeki, mudah dapat kerja," Auni menyambung lagi. Cuba untuk mengubah fikiran Encik Azmi dan Puan Asmah walaupun dia rasa amat tipis untuk berjaya.
YOU ARE READING
Mencari Bahagia [OG]
RomanceAuni Safiyyah, seorang gadis yang sangat tenang seperti makna namanya. Tetapi, disebalik ketenangan yang diperlihatkan, terselit secebis perasaan takut untuk merasa bahagia. satu demi satu perkara yang berlaku pada dirinya sehingga Auni membuat spe...