Bab 6

251 10 0
                                    

Selesai membersihkan diri, Auni terus baring ke atas katil. Tubuhnya sudah penat. Harini saja dari pagi hingga ke petang macam-macam terjadi. Dah boleh buat drama dah. Kepalanya sudah mula pening dan mata semakin memberat. Esok, semua rakan-rakan serumahnya akan pulang awal kerana Auni beritahu mereka yang harini dua kali Hakimi datang berjumpa dengannya.

Baru saja Auni ingin menutup mata, telefonnya berdering kuat meminta untuk dijawab. Terpapar nama "mama" di skrin telefonnya. Auni sudah mula tak sedap hati.

Selepas berbalas salam, Puan Asmah terus menanyakan aktiviti Auni pada hari ini. Dia tahu, Hakimi sudah mula bertindak, jadi dia jujur saja.

"Pagi, kakak pergi sarapan dekat depan fakulti dengan kawan. Makan roti canai. Lepastu tengahari, kakak keluar dengan kawan satu lagi. Teman dia pergi Melawati Mall. Singgah farmasi, Marrybrown, Kaison dengan MPH Bookstore. Lepastu dekat-dekat pukul 6 kakak dah sampai kolej,"

Auni semakin berdebar apabila Puan Asmah lama mendiamkan diri. Dapat dengar juga suara Encik Azmi berleter dari jauh cuma tak jelas butir bicaranya. Yang pasti, nada marah.

"Kawan kakak tu lelaki ke perempuan?" Auni menelan liur. Sungguh dia tak mahu melibatkan kawan-kawan dalam masalah keluarganya tapi apa boleh buat? Dia perlu jujur. Auni yakin, Hakimi sudah jadi reporter tak berbayar untuk Puan Asmah dan Encik Azmi. Sekejap lagi mesti akan cakap pasal gambar dia dengan Hazeem tu.

"Lelaki. Yang kakak sarapan sama-sama tu, nama dia Fitri. Yang kakak teman pergi Melawati Mall tu nama dia Hazeem," Auni gugup tapi dia perlu tenang dalam keadaan sekarang ini.

Ibu bapanya terlampau mengongkong gerak-gerinya dan itu membuatkan Auni bercita-cita untuk mencari kerja yang jauh dari keluarganya. Mungkin di Perlis? kedah? Johor? Terengganu? Entah.

"Mulai minggu depan, setiap hujung minggu, babah nak kakak balik rumah!" Auni memicit kepalanya yang sudah berdenyut-denyut. Telefon Puan Asmah sudah berada di tangan Encik Azmi sekarang ini.

"Letih la, tiap-tiap minggu nak balik. Bukan ada apa pun,"

"Memang tak ada apa pun dekat rumah ni sebab dekat kolej kau tu ada kawan-kawan lelaki kau kan!? Kau jangan nak melawan cakap babah ni eh kakak! Babah dengan mama izinkan kau sambung belajar untuk menuntut ilmu! Bukan untuk kau merayap keluar dengan lelaki pergi sana sini! Maruah tu jaga!"

"Kawan-kawan kakak tu sikit pun tak sentuh kakak. Kenapa babah nak buruk sangka pulak? Tak boleh ke ada sikit rasa percaya dekat kakak ni? Kakak boleh bezakan halal dengan haram lagi lah,"

Betul lah kan? Fitri dan Hazeem lagi bijak menjaga batas berbanding Hakimi. Sewaktu dia ada hubungan dengan Hakimi, bukan sekali saja lelaki itu cuba-cuba untuk memegang tangannya, malah banyak kali. Mujur selepas keluar keputusan sambung belajar, Auni terima tawaran belajar di Pahang. Jadi, sejak itu mereka kurang berjumpa. Mungkin sebab itu juga Hakimi bosan dengannya dan memilih untuk curang. Oh tiada istilah curang. Kan, Hakimi sendiri yang kata mereka tidak ada apa-apa hubungan sejak awal lagi?

"Babah tak kira! Minggu depan hari jumaat, lepas solat jumaat, Kimi akan ambik kau dekat kolej. Hari ahad pun dia akan hantar kau balik jugak! Engkau, kalau babah tahu la ini perangai menjalang kau, baik aku nikahkan aje kau ni dengan Kimi lepas habis diploma haritu, tau tak!?"

"Babah!!" Air mata Auni terus meluncur laju mengalir di pipi. Kata-kata babah cukup menghiris hatinya. Sampai macam tu sekali babah nampak dirinya? Lebih percayakan orang luar dari anak sendiri?

Fikiran Auni sudah mula buruk sangka dengan Hakimi. Entah apa lelaki itu tambah perisa pada Encik Azmi dan Puan Asmah sampaikan bapa sendiri tergamak 'menjalangkan' anak sendiri tanpa selidik.

Mencari Bahagia [OG]Where stories live. Discover now