Bab 27

280 14 0
                                    

Ahad.

Auni meminta Fitri dan Airin menghantarnya pulang selepas sarapan. Segan mahu berlama-lama dan menumpang di rumah keluarga orang. Puas Puan Izzah dan Fakhira memujuk Auni supaya pulang selepas zohor, akhirnya semua akur dengan keputusan Auni.

Tiba saja di studio rumah, Auni menutup mengunci pagar pintu dan pintu selepas kereta yang dipandu oleh Fitri meninggalkan perkarangan studio.

Telefon yang langsung tidak berusik sejak selepas subuh tadi, akhirnya dikeluarkan dari dalam beg tangannya. Dengan malas, Auni membaca segala mesej yang diterima. Tiada apa yang menarik. Semua dari group sembang sahaja. Auni mula lihat status.

Matanya terhenti pada status yang dibuat oleh Hazeem. Auni menelan liur. Terasa kesat dan payau tekaknya sekarang ini. Matanya tidak lepas dari memandang gambar yang dimuatnaik oleh Hazeem...

Dan Wardina.

Gambar mereka berdua di restoran. Mungkin pekerja restoran itu yang mengambil gambar mereka berdua. Kedua-duanya tersenyum bahagia. Dapat dilihat dengan jelas yang Wardina merapatkan sedikit sisi tubuhnya pada Hazeem, dan sebelah tangan lelaki itu direhatkan pada penyandar kerusi milik Wardina.

Bahagia.

Itu yang dia dapat lihat pada wajah Hazeem. Lelaki itu tersenyum lebar hingga menampakkan barisan gigi yang teratur.

Faham.

Faham.

Hazeem sudah menjadi teman lelaki Wardina, dan sudah tiba masanya untuk Auni mengundur diri sepenuhnya. Dia perlu menjaga batasnya sebagai seorang kawan dan menghormati Wardina. Sebahagian dari hatinya bersedia dengan situasi ini, tetapi sebahagian lagi hatinya kini sudah hancur lebur. Dia tidak akan ganggu Hazeem lagi selepas ini. Cuma, Auni tetap akan ada, dan tidak akan kemana-mana.

'Ya Tuhan, sungguh aku sukakan lelaki ini...' desis hati Auni. Merintih sedih.

Telefon disimpan ke dalam laci kabinet tv selepas ditukar kepada mod senyap. Komputer riba berjenama Dell dikeluarkan dari beg. Auni mahu sibukkan diri dengan laporan latihan industri.

Terpisat-pisat Auni menggosok mata apabila lenanya dikejutkan dengan laungan azan menandakan sudah masuk waktu zohor. Melihat komputer riba yang sudah gelap dan keadaan meja agak bersepah dengan alat tulis, Auni pun tidak pasti pukul berapa dia tertidur.

Laju saja Auni mengemas meja dan langkah kaki di bawa ke bilik air untuk mengambil wudhuk.

Usai solat zohor, perut Auni sudah berdendang sayang meminta untuk diisi. Kali terakhir dia makan sewaktu dia bersarapan dengan keluarga Fitri pagi tadi. Auni mula membancuh horlicks dan sepaket oat crunch, dibawa ke meja makan. Televisyen dibuka sekadar untuk memecahkan kesunyian. Kebetulan pula siaran astro awani, berita tentang kes pecah rumah.

Kejadian berlaku sekitar kawasan perumahan keluarganya.

Serta-merta memori Auni kembali pada hari kejadian rumah keluarganya dirompak dan keesokan harinya itu dia dituduh mencuri.

"Eh Cik Zai!"

Terhenti kunyahan Auni dan spontan dia berdiri hingga kerusi yang didudukinya tadi jatuh kebelakang. Berita buruk ialah rumah Cik Zai dirompak dan beberapa barang kemas hilang. Berita baik, perompak yang sudah lama dikehendaki itu akhirnya berjaya ditangkap.

Pihak polis juga menyerbu tempat persembunyian perompak itu dan mereka menjumpai barang kemas kira-kira bernilai ratusan ribu ringgit. Auni sudah jatuh terjelepok di atas lantai. Air mata mengalir.

Adakah Allah sedang membantunya??

Adakah berita ini cukup membuktikan yang dia tidak bersalah??

Adakah mama dan babah akan percaya padanya??

Mencari Bahagia [OG]Where stories live. Discover now