"SAYANG!"
Drastik, Amelia memalingkan muka. Riak wajah yang cemberut pada awalnya, perlahan-lahan bertukar ceria. Bibirnya mengorak senyum tatkala matanya menangkap susuk tubuh yang sedang melangkah menghampirinya dengan segaris senyuman lebar.
"Lambat." Tangan dilipat ke dada, berpura-pura menunjuk rajuk.
Zariel menggaru-garu pelipisnya. Ah, sudah! Cinta hatinya merajuk pula!
"Sorrylah, sayang... I lama pun sebab pergi beli popia basah kesukaan you." Plastik yang berisi makanan kegemaran kekasihnya diangkat sedikit. Zariel tahu Amelia amat menyukai popia basah ini. Kerana itu, dia sempat singgah sebentar di gerai seberang jalan dari lokasi pertemuan mereka semata-mata mahu membeli kudap-kudapan kesukaan Amelia sebelum bertemu dengan wanita itu.
Amelia menjeling manja sebelum bibirnya terbit dengan senyuman kecil. Terus ditarik tangan Zariel agar duduk di sebelahnya. Di hadapan mereka, terbentang sebuah tasik yang luas. Angin sepoi-sepoi berhembus tenang, membelai lembut rambut panjangnya yang dibiarkan lepas.
"Ril... you sayang I tak?"
Zariel menoleh, keningnya terangkat sedikit mendengar pertanyaan Amelia itu.
"Kenapa you tanya I macam tu?" Soalan berbalas soalan. Zariel pandang Amelia yang sudah masam wajahnya. Barangkali tidak berpuas hati kerana si teman lelaki tidak menjawab pertanyaannya.
"Jawablah... you sayang I ke tak? I nak dengar sendiri dari mulut you." Panjang sedepa muncung Amelia.
Melihat reaksi keanak-anakan Amelia, tak semena-mena Zariel ketawa. Manja sungguh kekasihnya ini.
"Buat apa I nak jawab benda yang you sendiri dah tahu?" Pucuk hidung Amelia dicuit, sengaja mahu mengusik.
Amelia mencebik. "I nak dengar juga. Kalau tak, I tak mahu keluar dengan you lagi dah lepas ni."
Zariel ketawa kecil melihat muncung wanita itu. Dia memang kalah kalau Amelia sudah begini. Perlahan, jemarinya menyentuh dagu Amelia, mengangkatnya sedikit supaya mata mereka bertemu.
"I sayang you, Amelia." Suaranya merendah, hampir berbisik.
"Lebih dari apa yang you boleh bayangkan."
Sejenak, dunia terasa sepi. Hanya degup jantung yang berdetak mengisi ruang sunyi di antara mereka.
Tersenyum kecil melihat reaksi Amelia, jemari Zariel naik mengusap pipi gebu si kekasih yang sering menjadi kegemarannya.
"I love you."
Kembang kuncup hati Amelia setelah mendengar pengakuan romantis itu. Kemudian, lengan Zariel dirangkul erat lalu kepalanya direhatkan di bahu kekasihnya. Mereka menikmati pemandangan indah di depan mata dalam beberapa detik sebelum Amelia tiba-tiba bersuara.
"Ril... boleh tak you janji dengan I satu perkara?" Amelia mengangkat kepala, memusatkan pandangan pada raut tampan Zariel.
"What is it, sayang?"
"Apa pun yang terjadi antara you dengan I nanti... I nak you sentiasa maafkan I. I nak you setia dengan I, sayang I, walau apa pun yang berlaku."
Zariel diam seketika, merenung dalam ke mata Amelia. Ada sesuatu dalam permintaan itu yang membuat dadanya terasa berat, seolah-olah Amelia sedang menyimpan sesuatu yang Zariel sendiri tidak tahu. Namun tanpa ragu, dia menguntum senyum sebelum menggenggam erat jemari Amelia.
"Boleh you janji?" Sekali lagi Amelia melontarkan pertanyaan yang sama.
"I janji."
─── ⊹⊱✿⊰⊹ ───

YOU ARE READING
4.0 | WANITA MILIK TUAN ZARIEL
Romance*Previously known as HIS POSSESSION* Hidup berdua bersama mak di kampung, cukup membahagiakan Seroja. Adanya Irwan yang tak pernah jemu mengusik, melengkapkan lagi hari-harinya. Namun, takdir hidup tidak selalunya indah. Ujian yang datang bertimpa-t...