BAB 29 | WMTZ

1K 211 25
                                    

"KAK ODAH... jomlah tinggal dengan Seroja. Nanti siapa yang nak teman Seroja bergosip? Seroja sunyi kalau Kak Odah tak ada." Lengan Saodah dipaut sambil mulut tak berhenti merengek manja seperti anak kecil.

Menggeleng kepala Zariel melihat tingkah kebudak-budakan isterinya. Macam ini rupanya perangai Seroja di sebalik wajahnya yang sentiasa dipamerkan bersahaja. Keperibadian isterinya ini sebenarnya penuh dengan sisi manja. Zariel saja yang baru tahu.

"Hang ni pun, Seroja... Takkanlah Kak Odah nak duduk sebumbung dengan hang suami isteri?" Kan dah keluar loghat utara Saodah. Matanya dijegil ke arah Seroja. Adik angkatnya itu sibuk menempel dengannya dari tadi. Zariel pula dibiarkan termangu-mangu. Bertuah punya Seroja!

"Kalau macam itu, Seroja duduk dengan akak ajelah. Boleh tak?" Seroja lupa agaknya dia dah bersuami. Boleh pula dia meminta izin daripada Saodah, bukannya Zariel.

"Hang lupa ka hang dah ada laki, Seroja oii! Dah, tak payah mengada-ngada nak ikut akak balik. Ingat, awak tu dah bersuami. Tempat seorang isteri di sisi suami. Berdosa tinggalkan suami tanpa izin." Mulalah Saodah nak berleter. Kalau tak ditegur nanti, Seroja makin buat keras kepala.

Seroja memuncungkan bibir tanda protes. Matanya melirik ke arah Zariel yang sejak tadi hanya memerhati. Lelaki itu bersandar santai di keretanya bersama tangan disilang ke dada. Ada segaris senyuman sinis terukir di bibir Zariel. Sukalah tu bila Saodah berpihak kepadanya. Huh, menyampah!

"Biasalah, Kak Odah... Kirana tak biasa lagi agaknya dengan Zariel. Nanti dah terbiasa, mahu dia kurung aje Zariel dalam bilik." Zariel bersuara seraya melangkah menghampiri Saodah dan isterinya. Pinggang Seroja dirangkul meskipun gigih Seroja menolak. Sudahnya, Seroja membiarkan perbuatan Zariel. Ekor mata Seroja sempat menangkap sengihan miang si suami. Gatal!

"Akak setuju dengan Zariel. Seroja ni mula-mula je macam ni. Jual mahallah kononnya. Tapi bila dia dah sayang, 24 jam kerjanya nak melekat saja. Betul tak, Seroja?" Saodah pun tak kurang nakal mengusik.

"Kak Odah!" Bulat mata Seroja mendengar cerita rekaan Saodah. Pandai-pandai je Kak Odahnya itu menambah rencah. Elok sangatlah sekepala dengan Zariel. Dua-dua kuat menyakat!

"Lagipun, Kak Odah dah nak pindah duduk Kedah. Akak dapat kepercayaan daripada bos untuk uruskan satu lagi cawangan restorannya di Alor Setar."

Mendengarkan perkhabaran itu, terus berubah air muka Seroja. Segera dia melepaskan diri dari rangkulan Zariel lalu berjalan mendekati Saodah. Tangan wanita itu dicapai.

"Akak tak bagitahu Seroja pun?" Suaranya mula kedengaran serak. Kalau Saodah pindah ke Kedah, bermakna, mereka tidak boleh lagi bertemu seperti selalu. Seroja akan kehilangan satu-satunya insan yang selama ini menjadi tempat dia bercerita, bergantung harap dan berkongsi suka duka.

"Ini akak bagitahulah ni." Saodah tergelak-gelak, terhibur melihat wajah cemberut Seroja.

Makin panjang muncung Seroja. Dia langsung tak peduli jika riak wajahnya kelihatan hodoh di mata Zariel. Lantaklah kalau Zariel nak cakap dia buruk sekalipun. Seroja selesa menjadi diri sendiri daripada berlakon semata-mata untuk kelihatan sempurna di mata orang.

"Akak bukannya tak nak bagitahu Seroja awal-awal... Masa itu, akak pun tengah fikir masak-masak. Kalau akak terima, macam mana dengan Seroja? Siapa yang nak tengok-tengokkan Seroja dekat sini? Tapi, syukurlah. Sekarang, akak dah tak perlu risaukan Seroja lagi. Sebab Seroja sekarang dah berada di bawah tanggungjawab Zariel. Dia lebih layak untuk menjaga dan melindungi Seroja. Akak yakin, Zariel boleh jaga Seroja lebih baik daripada akak."

Pandangan Saodah terarah kepada Zariel, membawa satu makna yang hanya mereka berdua mengerti.

Penuh yakin, Zariel menjatuhkan kepalanya beberapa kali. Dia faham apa yang Saodah mahu sampaikan melalui tatapannya itu.

4.0 | WANITA MILIK TUAN ZARIELWhere stories live. Discover now