- Jangan lupa pakai dress ni. Aku tunggu kau dekat bawah -
NOTA kecil yang ditampal di atas sebuah kotak bersaiz sederhana itu dibaca. Tergagak-agak Seroja mahu membuka kotak tersebut. Kalau ada katak di dalam kotak itu macam mana? Manalah tahu, Zariel mahu pedajalkan dia?
Mulalah bermacam-macam syak wasangka bermain di minda.
Dengan lafaz bismillah, Seroja menarik reben yang menghiasi kotak itu sebelum mengangkat penutupnya. Mata bundarnya sedikit membulat tatkala melihat isi di dalam.
"Cantiknya..."
Sehelai dress satin potongan A-line berwarna merah hati terhampar indah di dalam kotak. Fabriknya licin dan sejuk saat jemari Seroja menyentuhnya. Di sebelah dress tersebut, terdapat sehelai tudung chiffon rona senada yang dilipat rapi.
Tanpa berlengah, segera Seroja menarik keluar dress dan tudung untuk bersiap. Wajahnya disolek nipis, cukup sekadar menambah seri tanpa berlebihan. Bibir pula dioles gincu berwarna merah jambu bagi menaikkan seri. Kemudian, lilitan tudung di kepalanya dirapikan. Setelah segalanya tampak sempurna, Seroja berdiri di hadapan cermin, memerhati pantulan dirinya sendiri.
Cantik! Akal tidak lokek memberikan pujian.
Sekilas, Seroja melirik jam yang tergantung di dinding. Waktu sudah menginjak ke angka sembilan malam. Tidak bertangguh, Seroja mengatur langkah keluar dari kamar. Lif di sudut sebelah kanan dituju. Suasana rumah yang sepi menambahkan debar di dada. Ke mana agaknya semua orang pergi?
Setelah menekan butang lif, pintu logam itu terbuka dengan bunyi dentingan halus. Sebelum melangkah masuk, Seroja sempat menilik penampilan dirinya. Dress satin yang membalut tubuh kelihatan beralun lembut setiap kali dia bergerak. Dalam diam, Seroja memuji citarasa Zariel yang boleh tahan hebat.
Jarinya menekan butang menuju ke tingkat bawah. Seiring dengan pintu yang mula tertutup, debaran yang mengetuk dinding dada semakin kuat. Seroja menarik nafas dalam-dalam. Dia cuba bertenang meskipun kehendak akal tidak selari dengan kemahuan hati.
Saat Seroja tiba di tingkat bawah serentak dengan pintu lif terbuka, ada beberapa kuntum kelopak mawar merah ditabur dalam satu barisan, seolah-olah dijadikan laluan khas buatnya. Seroja menelan liur. Hati semakin berdebar-debar tatkala langkahnya diatur mengikuti jejak kelopak mawar yang membawa di ke halaman rumah. Dari jauh, kelihatan cahaya temaram menerangi satu sudut berdekatan kolam renang. Di situ, sebuah meja makan sudah tersedia, lengkap dengan hiasan bunga segar.
Tanpa sedar, bibir Seroja melengkung ke atas, mengukir senyuman manis melihat persiapan indah itu. Hatinya dijentik rasa terharu. Di tempat kakinya berdiri sekarang, mata Seroja melingas mencari kelibat Zariel.
Tiba-tiba, satu alunan melodi berkumandang, memenuhi ruang malam yang damai. Pandangan mata Seroja langsung tertumpu ke arah pergola yang dihiasi lampu keemasan. Di situ, di hadapan sebuah grand piano hitam berkilat, duduk seorang lelaki yang begitu dikenalinya.
Zariel, suaminya.
Dengan wajah yang tenang dan senyuman manis terlakar di bibir, Zariel membiarkan jemarinya menari di atas kekunci piano. Setiap not dimainkan dengan penuh perasaan. Kemudian, suara bariton milik Zariel mula mengalun perlahan, menyusuli melodi indah yang bergema. Suaranya serak basah, namun cukup merdu menusuk ke relung kalbu.
Seroja terpaku. Dan selepas itu, tangannya menekup bibir. Tidak percaya dengan apa yang dilihat dan didengari olehnya.
Sedalam samudera telah aku selami
Setinggi langit diangkasa tlah kuarungi
Sepanjang kehidupanku aku mencari
Sebentuk kelembutan hati cinta sejati

YOU ARE READING
4.0 | WANITA MILIK TUAN ZARIEL
Romance*Previously known as HIS POSSESSION* Hidup berdua bersama mak di kampung, cukup membahagiakan Seroja. Adanya Irwan yang tak pernah jemu mengusik, melengkapkan lagi hari-harinya. Namun, takdir hidup tidak selalunya indah. Ujian yang datang bertimpa-t...