SEPASANG mata tajam bak helang itu tidak berkalih dari menatap wajah ayu Seroja yang tampak begitu anggun dalam sepersalinan busana nikah berona putih mutiara. Gaun moden yang tersarung di tubuh langsing Seroja kelihatan terletak indah, dihiasi renda halus dan sulaman manik-manik kecil yang berkilauan setiap kali dipantul cahaya. Tudung layang dari fabrik tulle lembut menjurai anggun, melingkari wajah jelita Seroja yang telah disolek nipis.
Seroja ibarat jelmaan bidadari dunia. Nafas Zariel seakan tersekat seketika, menyaksikan wanita yang bakal menjadi suri hatinya hanya dalam beberapa detik lagi.
"Amboi, pengantin lelaki! Tak berkelip mata tu pandang pengantin perempuan. Bawa bersabar sikit..." Salah seorang saksi berseloroh. Tertawa mereka yang berada di situ.
Drastik, Zariel melarikan tumpuannya. Dia berdehem kecil bagi menyembunyikan riak wajah yang mungkin sudah berubah. Segan pula apabila ditegur begitu. Itulah, gatal sangat mencuri pandang Seroja, kan dah malu?
Seroja pula tunduk saja sejak ketibaannya tadi. Perlahan kakinya mengatur langkah. Kemudian, dia mengambil tempat di sisi Zariel yang duduk menghadap tok kadi. Beberapa orang saksi juga bersedia di posisi masing-masing.
Debaran jantungnya tak usah ditanya. Berkompang bagai nak gila. Telapak tangannya yang sejuk menggigil dikepal erat di atas riba. Sekilas, ekor mata Seroja mengerling Zariel di sebelah.
Lelaki itu kelihatan sangat tampan dengan sepersalinan baju Melayu putih gading, lengkap dengan sampin tenunan halus yang melilit kemas di pinggang. Air wajahnya pula nampak tenang, langsung tak menunjukkan sebarang tanda keresahan.
Lain dengan Seroja, kalau ditoreh mukanya saat ini, memang tak ada setitis darah pun yang akan mengalir. Pucat! Akalnya masih cuba menghadam kenyataan bahawa sebentar lagi, dia bakal menjadi isteri Zariel dengan hanya satu lafaz akad.
"Tiada unsur paksaan ya dalam perkahwinan ini?"
Huaaa Seroja rasa nak meraung sekarang juga! Nak saja dia bersuara, mengaku bahawa hatinya tidak rela disatukan dengan Zariel. Namun, suara hatinya itu langsung tidak mampu meniti di bibir. Lidahnya seolah-olah dipasak di lelangit.
"Baiklah, mari kita mulakan."
Jelas di mata Seroja tangan Zariel sedang digenggam kemas oleh jurunikah, bersedia untuk melafazkan akad yang bakal mengikat mereka dalam satu ikatan yang suci.
"Seif Zariel bin Seif Zuhairi."
Lub dup. Lub dup bunyi rentak jantung Seroja. Macam dia pula yang nak melafazkan akad.
"Ya, saya."
"Aku nikahkan kau dengan Seroja Kirana binti Saiful yang berwakil walikan aku, dengan emas kahwinnya lima dinar emas, tunai."
Zariel menarik nafas panjang.
"Aku terima nikahnya Seroja Kirana binti Saiful dengan emas kahwinnya lima dinar emas, tunai."
Seroja menahan nafas tanpa sedar. Mata-mata di sekeliling tertumpu ke arah mereka, menunggu keputusan saksi dan jurunikah.
"Sah?"
"Sah!"
Bagaikan palu gendang bertalu-talu memukul di dada Zariel dan Seroja.
"Alhamdulillah..." Semua yang berada di situ mengucap syukur dan tersenyum, meraikan ikatan yang baru terjalin.
Seroja memejamkan kelopak matanya rapat. Selesai semuanya. Dengan satu lafaz, dia kini sudah sah menjadi isteri kepada Seif Zariel bin Seif Zuhairi.
Suaminya.

YOU ARE READING
4.0 | WANITA MILIK TUAN ZARIEL
Romance*Previously known as HIS POSSESSION* Hidup berdua bersama mak di kampung, cukup membahagiakan Seroja. Adanya Irwan yang tak pernah jemu mengusik, melengkapkan lagi hari-harinya. Namun, takdir hidup tidak selalunya indah. Ujian yang datang bertimpa-t...