Bab 19

142 9 0
                                    

Ariq mengetuk pintu kayu yang kukuh itu dengan lembut, sebelum memutarnya dan melangkah masuk ke dalam bilik. Bilik Tuan Leftenan Komander Syafiq dihiasi dengan perabot yang sederhana tetapi kemas, mencerminkan personaliti pemiliknya. Tuan Syafiq, yang sedang duduk di belakang meja kerjanya, mengangkat pandangan sebaik saja Ariq muncul di ambang pintu.

"Duduk, Ariq," kata Tuan Syafiq dengan nada tegas tetapi mesra, menjemputnya untuk duduk di kerusi di hadapan meja.

Ariq menurut, duduk dengan postur tegak, matanya tertumpu pada Tuan Syafiq. Dia tahu pertemuan ini penting, dan rasa ingin tahunya meningkat. Tuan Syafiq tidak pernah memanggilnya secara peribadi kecuali jika ada hal yang benar-benar memerlukan perhatian serius.

"Ada sesuatu yang saya nak bincangkan dengan awak," ujar Tuan Syafiq, wajahnya serius, menunjukkan betapa pentingnya perbincangan mereka.

Perasaan Ariq berdebar-debar mulai terasa di dadanya. Leftenan Komander Syafiq, yang duduk berhadapan dengannya, menatapnya dengan pandangan tajam dan penuh makna. Suasana dalam bilik itu seakan-akan dipenuhi dengan aura ketegangan.

"Ariq," suara Tuan Syafiq memecah kesunyian, nadanya tenang tetapi sarat dengan keprihatinan.

"Tentang apa yang kita bincangkan tempoh hari, mengenai pengintip dalam pasukan kita. Pihak atasan dah mulakan siasatan terhadap setiap squad mereka."

Ariq mengangguk perlahan, cuba mencerna setiap patah kata yang keluar dari mulut Tuan Syafiq. Perbualan mereka sebelum ini terngiang-ngiang di benaknya, terutama ketika Tuan Syafiq memberitahunya bahawa mungkin ada musuh dalam selimut di kalangan squad mereka sendiri. Berita itu menghantui fikirannya, membuatkan dia terkejut dan keliru. Hubungannya dengan rakan-rakan squadnya begitu rapat, hampir seperti keluarga. Dia tidak pernah terlintas bahawa ada antara mereka yang mungkin mengkhianati kepercayaan yang telah lama dibina.

Sejak itu, fikiran Ariq tidak pernah tenang. Setiap kali dia melihat wajah-wajah rakan seperjuangannya, perasaan was-was mulai menyelinap masuk. Dia cuba menyembunyikan keadaannya, tetapi fikirannya terlalu bercelaru, dan badannya sudah terlalu penat. Dia ingin berjumpa dengan Qasrina untuk menenangkan fikirannya tetapi setibanya dia dihadapan Qasrina badannya terasa lebih penat, belum sempat dia mengatakan apa-apa, pandangannya mula kabur, dan tanpa disedari, tubuhnya jatuh lemah ke lantai, pengsan di hadapan gadis yang paling disayanginya. 

"Ariq, sejak saya beritahu awak tentang kemungkinan adanya pengintip dalam pasukan tempoh hari, ada sesiapa yang awak rasa mencurigakan?" suara Tuan Syafiq mematikan lamunan Ariq.

"Kita perlu kenal pasti siapa dia sebelum dia sempat menghancurkan operasi kita dari dalam. Saya perlukan bantuan awak sebab awak sahaja yang saya boleh percayai." sambungnya lagi.

Ariq terdiam sejenak, memikirkan kembali segala interaksi dan pergerakan dalam pasukan sejak perbualan mereka yang lepas. Wajah-wajah rakan seperjuangan melintas di fikirannya satu per satu.

"Ada beberapa perkara kecil yang saya perasan, Tuan," akhirnya Ariq bersuara, perlahan-lahan.

"Tapi saya tak pasti sama ada ianya cuma kebetulan atau... memang ada sesuatu yang tak kena."

Tuan Syafiq mengangguk perlahan, memahami kebimbangan yang tersembunyi di sebalik kata-kata Ariq.

"Apa saja yang awak perasan, sekecil mana pun, boleh jadi petunjuk. Jangan abaikan. Kita tak boleh ambil risiko."

Ariq mengangguk, tekad di hatinya semakin kuat.

"Baik, Tuan. Saya akan lebih peka mulai sekarang."

Tuan Syafiq tersenyum tipis ketika dia memandang Ariq, ada sinar bangga di matanya.

Istana Pemberian Tuhan  [OG]Where stories live. Discover now