Bab 22

132 8 2
                                    

Tiba hari yang dinantikan iaitu hari persandingan mereka yang akan berlangsung dengan penuh adat dan suasana yang meriah. Di dalam dewan yang dihias indah, keluarga dan sahabat kedua mempelai hadir dengan penuh kegembiraan.

"Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang dikasihi sekalian... Panas kering siapakan tahu, hujan rintik di Pulau Pandan. Berjalan seiring bersentuh bahu, samalah cantik samalah padan." Pengacara majlis membuka bicara dengan pantun sebelum pengantin masuk ke dalam dewan.

"Mengumumkan ketibaan pasangan mempelai Qasrina Mikayla binti Arman Idris dan Leftenan Ariq Aryan bin Mohd Fauzi TLDM" ucap pengacara majlis tersebut.

"Anak Cina memasang lukah, lukah dipasang di Tanjung Selasih. Pasangan pengantin segak melangkah, mara menuju mahligai kasih." sambung pengacara itu lagi.

Pasangan pengantin memasuki dewan, Ariq nampak segak dengan pakaian seragam tentera yang sesuai untuk majlis perkahwinan, lengkap dengan lencana ketenteraan yang melambangkan statusnya sebagai seorang pahlawan laut. Dia berjalan dengan penuh keyakinan, tetapi di sebalik ketegasan wajahnya, ada senyuman lembut yang khas buat Qasrina.

Qasrina, dalam balutan busana tradisional yang anggun, kelihatan sangat cantik dan tenang, namun jauh di sudut hati, dia masih belum dapat melupakan perasaannya yang lebih kepada Fayyad. Meskipun begitu, dia melangkah bersama Ariq dengan senyuman palsu yang biasa dia lakukan sepanjang perjalanan hidup mereka.

Enam anggota tentera berbaris membentuk dua barisan di sepanjang laluan pasangan pengantin, pedang mereka diangkat tinggi membentuk gerbang kehormatan di atas kepala pengantin.

"Untuk makluman hadirin tuan-tuan dan puan-puan... Majlis kita pada hari ini akan diserikan lagi dengan istiadat Silang Pedang Sword Bearer... Istiadat ini diketuai oleh Leftenan Zakwan Bin Ahmad Asfa TLDM." 

Langkah Ariq penuh keyakinan, tetapi di sisinya, Qasrina terasa sedikit gugup. Walaupun dia kelihatan cantik dalam pakaian pengantin tradisional, dia masih merasa tidak selesa dengan situasi perkahwinan ini.

Semasa mereka melalui gerbang pedang pertama, salah seorang anggota iaitu Amir yang turut menyertai barisan istiadat silang pedang bergurau kecil.

"Awas, Ariq! Kalau tak jaga baik-baik, pedang ni boleh turun!"

Semua orang tertawa kecil, termasuk Ariq, yang tersenyum tetapi tetap serius memimpin Qasrina ke hadapan. Qasrina hanya tersenyum nipis, cuba menahan debaran di hatinya.

Ketika mereka menghampiri gerbang terakhir, sebuah tradisi khas dijalankan. Anggota tentera yang memegang pedang terakhir iaitu Zakwan dan Thaqif menurunkan pedangnya, menghalang jalan pasangan itu.

"Untuk melepasi halangan ini, pengantin lelaki harus membuktikan cintanya!" kata Thaqif dengan penuh semangat. 

Ariq hanya ketawa kecil sebelum memandang Qasrina. Dengan lembut, dia menggenggam tangan Qasrina dan mengucup dahi isterinya di hadapan semua hadirin. Sorakan dan tepukan gemuruh bergema di seluruh dewan.

Ketika Ariq dengan lembut mengucup dahi Qasrina, di hadapan semua tetamu, tubuh Qasrina sedikit tegang. Dia tidak menjangka momen ini akan terjadi di tengah-tengah Istiadat Selang Pedang, terutama di hadapan begitu ramai orang. Walaupun ciuman itu hanya sekilas, ia terasa lama baginya.

Dalam hatinya, Qasrina terasa sedikit keliru dan bercampur-baur. Di luar, dia tetap mengekalkan senyuman kecil yang manis, berusaha menutup kegelisahan yang menguasai dirinya. Tetapi di dalam, jantungnya berdegup kencang, bukan kerana cinta, tetapi kerana rasa tidak selesa. Dia tahu Ariq sangat mencintainya, tetapi hatinya tidak berada di tempat yang sama.

Dia menghela nafas perlahan, berharap agar tiada sesiapa yang menyedari kegelisahannya. Matanya seketika terpaku pada lantai sebelum kembali bertemu mata Ariq, hanya untuk memberi reaksi yang diharapkan. Namun, dalam senyuman palsu yang dipaksakan itu, hanya Qasrina yang tahu betapa dia merindukan sesuatu yang lain, atau lebih tepat, seseorang yang lain.

Istana Pemberian Tuhan  [OG]Where stories live. Discover now