BAB 32

6 2 0
                                        

Pintu gudang besi ditolak kuat. Bunyi berderit bergema dalam ruang besar itu. Beberapa lelaki yang sedang bekerja terus berhenti bila melihat Isaac melangkah masuk. Bau bahan kimia dan serbuk dadah memenuhi udara. Isaac berjalan perlahan di antara meja-meja kerja.

Di atas meja panjang itu ada plastik besar berisi serbuk putih, penimbang digital, dan paket kecil yang sudah siap dibungkus.
Dia berhenti di hadapan satu meja. Tanpa berkata apa-apa, Isaac mencubit sedikit serbuk putih itu menggunakan jari kelinkingnya. Dia menggosok serbuk itu perlahan di hujung kuku. Matanya menyipit. Kemudian dia menghidu sedikit.

Sunyi.

Semua pekerja memandangnya dengan gelisah. Isaac memandang serbuk itu lama sebelum menjatuhkannya semula ke atas meja. Dia mengetuk meja perlahan dengan jarinya.
"Ini saja?" katanya dengan nada perlahan tetapi tajam. Seorang lelaki yang bertanggungjawab di situ cepat mendekat.

"Boss... batch baru sampai sikit dulu." Isaac memandangnya.
Dia mencubit lagi sedikit serbuk dengan jari kelinkingnya.
Kemudian dia ketawa kecil. "Sikit?" dia mengulang perlahan.
Dia mengangkat jari kelinking itu di depan muka lelaki itu.
"Lu tahu ini apa?" Lelaki itu diam membisu. Isaac mendekat sedikit. "Ini barang paling mahal gua jual."
Dia menepuk meja kuat.

PAK!

Beberapa paket kecil jatuh ke lantai. "Dan lu kasi gua jumlah macam ini?!" Lelaki itu cepat tunduk. "Maaf boss... lori kedua belum sampai lagi." Isaac menolak satu kotak dari meja. Kotak itu jatuh dengan bunyi kuat. "Lu ingat gua datang sini untuk tengok lu orang bungkus gula?" Semua pekerja terus diam.
Tiada siapa berani bergerak. Isaac berjalan perlahan di antara mereka. Langkahnya santai tetapi aura marah jelas terasa.

Dia berhenti di hadapan seorang pekerja lain yang sedang membungkus paket. Isaac mengambil satu paket kecil itu.
Dia timbang dengan tangan. Kemudian dia menghidu sedikit lagi serbuk yang melekat di jarinya. Dia menjeling pekerja itu.
"Lu kerja berapa lama dengan gua?"
"Tiga tahun, boss." Isaac mengangguk perlahan.

"Tiga tahun..." Dia menjatuhkan paket itu semula ke meja.
Kemudian dia berkata perlahan dengan nada dingin.
"Tapi kerja macam budak baru." Sunyi.
Seorang anak buah senior cepat datang. "Boss, lori kedua dalam perjalanan." Isaac memandangnya. "Berapa lama?"

"Setengah jam." Isaac menyedut rokoknya panjang sebelum menghembuskan asap ke udara. Dia menggeleng kecil.
"Kalau setengah jam lagi gua masih nampak jumlah macam ini..." Dia mengetuk meja perlahan. "Lu orang semua boleh cari kerja lain." Tiada siapa berani menjawab. Isaac memusingkan badannya dan berjalan ke pejabat kecil di dalam gudang itu.

Pintu ditutup.Pejabat kecil dalam gudang itu kembali sunyi selepas Isaac mematikan panggilan tadi. Asap rokok berlegar perlahan di udara. Isaac masih duduk di kerusi kulitnya sambil meneliti skrin komputer di hadapan. Di skrin terpapar laporan keuntungan dan kerugian. Graf naik, kemudian turun. Kemudian naik semula. Isaac mengetuk meja dengan jarinya perlahan. "Tak stabil..."

Isaac bersandar ke belakang kerusi. "Bisnes macam roller coaster. Baik aku buka funfair kalau macam ni." Tiba-tiba pintu pejabat diketuk dua kali. Seorang lelaki Cina muda masuk selepas pintu dibuka sedikit. "Boss."
Isaac tidak menoleh. "Why?" Sean berjalan masuk sambil membawa sebuah tablet. Dia berhenti di depan meja Isaac.

Sean mula bersuara.
"Lao ban, zhe shi zuijin ji ge yue de zhangmu."
(Boss, ini laporan kewangan beberapa bulan kebelakangan.)

Sean menekan skrin tablet lalu memaparkan graf.
"Malaixiya zhe bian youdian bu wending."
(Bisnes di Malaysia agak tak stabil.)

Dia menukar paparan. Graf lain muncul.

"Danshi Taiguo he jianpuzhai de lirun geng gao."
(Tapi keuntungan di Thailand dan Kemboja jauh lebih tinggi.)

AMPUNKAN AKUTempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang