Suasana pejabat Warta Malaya Press agak riuh ketika itu. Jam di dinding hampir menunjukkan waktu rehat tengah hari. Beberapa staf sudah mula bangun dari meja masing-masing. Ada yang menutup komputer, ada yang mencapai beg tangan. Ain menekan butang shut down pada komputernya sebelum memusingkan kerusi ke arah Ezlin.
"Lin... jom, makan... makan." Ezlin langsung tidak mengangkat muka. Matanya masih tertumpu pada skrin laptop sambil tangannya laju menaip. "Tak nak. Aku nak siapkan report dulu."
Adila yang sedang menyarung beg tangannya terus menggeleng kepala. "Kau ni workaholic la, Lin." Dia menepuk perutnya sendiri. "Perut kena jaga jugak."
Ain menyampuk sambil menyilangkan tangan. "Entah, nanti gastrik baru tahu." Ezlin akhirnya berhenti menaip. Dia menghela nafas kecil. "Okay la, kau bungkus la apa-apa dekat aku. Nanti aku makan." Ain terus tersenyum.
"Tak nak pedas, kan?" Ezlin ketawa kecil.
"Good. Kau dah memahami citarasa aku." Ain buat muka bangga. "Of course. Aku kawan baik kau." Adila tiba-tiba memandang meja di sebelah Ezlin. "Eh, Zamir mana?"
Kerusi lelaki itu kosong, meja kerja dia pula bersih. Tidak bersepah macam selalu. Ezlin menjawab sambil kembali menaip.
"Dia pergi stor kamera. Tadi dia kata nak ambil tripod baru. Ada shoot petang nanti dekat pejabat menteri." Adila mengangguk faham. "Patutlah tak nampak batang hidung."
Ain sudah menarik beg tangannya. "Okay, kita gerak dulu."
Ezlin mengangguk. "Bungkus je apa-apa. Aku tak kisah."
Ain mengangkat tangan. "Yes, boss."
Mereka berdua berjalan keluar dari pejabat. Beberapa staf lain juga sudah keluar. Pejabat itu tiba-tiba terasa lebih sunyi.
Ezlin menarik nafas perlahan. Dia bersandar sedikit di kerusi sebelum membuka satu fail video di laptopnya.
Rakaman interview Ash. Dia menekan play. Video mula berjalan. Rakaman itu diambil dari kamera video Zamir. Sudutnya dari tepi jeriji sel. Wajah Ash tidak jelas kerana memang tidak dibenarkan merakam muka banduan dengan jelas. Namun tubuhnya masih kelihatan.
Rambut pendek dipotong gaya lelaki. Bahu tegap, cara duduknya juga lebih seperti lelaki daripada perempuan. Suara husky Ash kedengaran dari speaker laptop.
"Aku ingat, lepas Danny jual aku dekat tauke judi tu... semuanya akan berhenti." Suara itu kedengaran berat.
"Tapi sebenarnya, hidup aku makin berubah."
Ezlin yang sedang memegang pen terus berhenti menulis. Dia memandang skrin laptop dengan penuh fokus. Suara garau Ash kedengaran lagi.
"Aku bukan sekadar kena layan Danny.... " Beberapa saat sunyi sebelum Ash menyambung.
"Kadang-kadang Danny paksa aku layan orang lain." Ezlin menelan liur perlahan. Rakaman itu diteruskan.
"Kadang-kadang dia paksa aku ambil candy..."
Nada suara Ash semakin kosong.
"Bila tauke-tauke tu kata layanan aku tak puas. Jijik kan aku?"
Suaranya menjadi perlahan. Beberapa saat senyap. Kemudian suara itu kedengaran lagi, hampir seperti berbisik.
"Kadang-kadang aku rasa macam nak bunuh diri." Ezlin terdiam.
"Aku benci diri aku."
Ezlin menghela nafas perlahan. Matanya masih tertumpu pada skrin. Dia berbisik perlahan. "Kesiannya Ash..."
Tiba-tiba satu suara lelaki kedengaran dari belakangnya.
"Lin... belum keluar makan?" Ezlin terkejut sedikit.
Dia cepat menoleh. Haikal berdiri di belakangnya.
Kemeja putih yang dipakai lelaki itu dilipat sedikit di bahagian lengan. Dia kelihatan baru keluar dari bilik editor. Ezlin menjawab ringkas. "Tak lapar." Haikal memandangnya seketika.
"Awak selalu buat kerja sampai lupa makan macam ni?"
Ezlin mengangkat bahu. "Dah biasa." Haikal tersenyum kecil.
"Degil." Dia menyambung dengan nada tenang. "Nanti kalau sakit, abang yang kena marah dengan Pak Cik. Lepas tu, kena bebel dengan Mak Cik."
ANDA SEDANG MEMBACA
AMPUNKAN AKU
RomanceEZLIN SYAFIRA. Seorang wartawan muda yang mempunyai jiwa yang kental dan berdisiplin dalam menjalankan tugasnya. Satu hari, dia terpaksa membuat liputan di sebuah tempat yang mana dia tidak pernah terfikir untuk menjejakkan kaki ke situ. Perkenalann...
