Pak supir membuka pintu kereta untukku. Aku melangkah kaki dan keluar. Berdiri memandang sekeliling. Tempat ini sangat asing buatku tetapi ianya amat mendamaikan jiwaku. Aku suka pepohon yang menghijau dan bunga-bunga berwarna warni subur di halaman.
" Assalamualaikum papa..!"
Aku terus memeluk lelaki yang menghampiri kenderaan yang aku naiki. Rindunya kepada lelaki ini. Sudah lama tidak menemuinya.
" Waalaikumussalam anakku !" Balasnya sambil mencium dahiku. Lama kami berpelukan melepaskan rindu .
" Papa sihat ?" Tanyaku lagi.
" Alhamdulillah. Papa sihat anakku,"
" Ehem...ehem...!" Seorang wanita yang anggun bertudung labuh dan berjubah berdiri di sisi. Aku melepaskan pelukan papa dan berpaling ke arah wanita itu.
" Apa khabar ummi ?" Tanyaku mesra dan mencium tangannya. Kemudian aku memeluk tubuhnya dan mengucup pipi gebunya.
" Alhamdulillah ! Ummi sihat sayang...!" Jawabnya di dalam nada yang ceria.
" Yuk kita masuk sayang ," ajaknya sambil memimpin tanganku. Aku mengangguk dan mengikuti langkah ke pintu utama.
Ummi wanita kacukan Indonesia Belanda telah berkahwin dengan papaku ketika aku berusia 5 tahun. Papa kini berhijrah ke Indonesia setelah ummi berhenti kerja sebagai pensyarah di Universiti Chulalongkorn. Dia kembali ke Indonesia dan papa juga mengikutinya 6 bulan yang lepas. Sebelum ini sekiranya aku ingin berjumpa dengan papa aku terpaksa terbang ke Bangkok.
Semenjak mereka kembali menetap di sini, inilah pertama kali aku menjejak kaki ke sini. Papa mengusahakan perniagaan perabot jati bersama keluarga ummi.
Aku menikmati masakan ummi tengahari itu dengan berselera. Sudah lama tidak makan sebegini kenyang. Masakan ummi memang menjadi kesukaanku. Kepakaran ummi memasak tidak boleh dipertikaikan lagi. Mungkin itu juga faktor penyebab papa begitu setia dengan ummi.
Tengahari itu juga aku bersyukur sangat kerana dapat solat zohor berjemaah dengan papa dan ummi. Papa yang menjadi imam. Selesai solat papa memberi tazkirah berkaitan dengan sedekah.
Selepas solat zohor aku mengambil kesempatan untuk berehat sekejap. Berbaring di kamar yang telah ummi sediakan untuk aku. Aku rasa senang sangat dengan layanan ummi seolah aku ini anak kecil yang harus dilayan segala permintaan. Mbak Dalima juga diberi kamar asing. Mulanya aku ingat berkongsi dengan Mbak Dalima tetapi ummi menegurnya dengan berhemah. Aku perlu memberi ruang untuk Mbak Dalima berehat.
Kamar aku bersebelahan dengan taman yang ada kolam. Aku boleh melihat Ikan kap jepun berenang riang di dalam air yang jernih. Suasana bilikku yang dihias dengan warna biru lembut dan hijau emerald memberi ketenangan untuk aku bersantai. Di sudut berdekatan tingkap juga terdapat sepasu mawar yang meriah berbunga.
Aku melihat keluar halaman. Pak Jabit, kebun papa yang aku kenali semasa di Bangkok lagi masih bekerja dengan papa. Isterinya ibu Susi juga masih setia menjadi pembantu rumah.
Ummi mempunyai seorang anak lelaki dengan suami pertamanya iaitu Ryqal Huzair Budiman yang berusia 2 tahun lebih dariku. Abang Rykal bekerja sebagai pengurus di kedai perhati jati papa. Semasa kecil kami sangat rapat. Tetapi setelah dewasa disebabkan faktor jarang berjumpa hubungan kami tidak semesra zaman kanak-kanak.
Aku terlelap merehatkan badan sehinggalah ummi mengejutkan aku untuk solat asar. Banyak benda yang aku berjaya lupakan. Aku harap kedatangan aku ke sini dapat menjadi pintu untuk aku memulakan langkah baru.
Aku terasa seolah kembali ke zaman remajaku. Aku punya segalanya tapi aku kehilangan sesuatu. Aku dengan Nenda di zaman Kanak-kanak. Nenda menjagaku dengan baik. Memanggilku dengan gelaran Puteri Siam.
" Nenda kenapa Sya ada dua ibu dan dua ayah ?" Tanyaku sambil memimpin tangan Nenda berjalan di pinggir air terjun dekat rumah. Rumah Nenda tepi kawasan air terjun yang cantik. Berdiri di jendela boleh melihat air terjun yang jatuh dari tempat tinggi. Sebenarnya air terjun Nenda tidaklah tinggi sangat. Tapi ianya sangat cantik.
" Sya sangat beruntung cu. Sya ada bonda , ada ummi. Sya ada papa , ada AyahKu..." ujar Nenda sambil memelukku. Bonda meletakkan sekuntum mawar berwarna merah jambu lembut dan menyelit ke telingaku. Aku suka dengan mawar wangi yang Nenda petik. Aku boleh lupa sekeliling bila Nenda memujukku dengan mawar yang di petik dari halamannya. Orang lain tak boleh petik sebarangan mawar dari kebun Nenda.
Nenda setiap hari menghantar dan menjemput aku balik dari sekolah. Nenda bersama Pak Bashir sebagai pemandunya akan membawa kami ke mana sahaja seperti yang Nenda arahkan.
" Bonda jangan manjakan sangat Sya tu," Aku pernah mendengar bondaku berbicara dengan Nenda. Aku masa tu tak faham kenapa bonda berkata begitu. Waktu itu kami berada di rumah bonda di PC melawat keluarga bonda.
Aku masih ingat bondaku ada baby kecil dan kemudian namanya Imran. Nenda cakap dia adikku. Aku suka lihat wajahnya yang kecil dan comel. Dia menangis bila aku cuit kakinya dengan kuat.
Selepas itu semasa aku di sekolah rendah adikku bertambah sorang lagi iaitu Imanina dan Izara kemudiannya. Bila dingat balik masa kecil walaupun aku rasa tersisih kerana papa dan bondaku berpisah tetapi aku ada Nenda. Bila aku di sekolah menengah aku tinggal di asrama. Nenda , bonda dan papa bergilir menjengukku. Waktu itu aku sudah boleh menerima kenyataan orang tuaku berpisah semasa aku kecil. Semasa aku di USM, Nenda balik ke kampung dan perniagaannya ditinggalkan dengan orang kepercayaannya. Tengku Azhan juga kerap membantu dan memantau..
YOU ARE READING
Serenity Of Love
RomanceCinta adalah satu keterujaan. Adakah bahagia sentiasa mengulit bila kau sendiri alpa? Kisah rumahtangga yang manis dan ada pahitnya. Maaf cerita ini bukan kategori untuk 18Sx atau 21sx tetapi lebih sesuai untuk orang yang dah kahwin dan berfikiran m...