Hanin 7 tahun, Haziq 10 tahun, Harith 13 tahun.
"Haziq, kejutkan adik pergi sekolah cepat. Kamu bertiga dah lewat dah ni." Haziq tersentak ketika mendengar suara umi dari dapur. Dia mengeluh apabila ditugaskan mengejutkan adiknya setiap pagi. Selesai memakai stoking, dia masuk ke bilik Hanin dan melihat Hanin yang masih lena tidur. Tiba-tiba idea nakal tercetus di mindanya.
Haziq mendekati Hanin yang lena dan mula mencubit muka adiknya. Hanin cuba menepis tangan yang mengacaunya, tapi lama kelamaan makin kuat pula cubitan. Lalu tangisan kedengaran dari dalam bilik. Harith yang masih memakai stoking di luar masuk ke bilik dan melihat Haziq yang menjauhi Hanin yang menangis.
"Haziq tak buat apa-apa dekat adik." Katanya sambil mengangkat kedua tangannya dan menjauhi Hanin. Di belakang Harith, dia menjelirkan lidah kepada Hanin membuatkan adiknya menangis lebih kuat. Harith datang dan mendukung adiknya.
"Hish, Haziq!!! Kita dah lewat ni, jangan nak main-main. Dah, jangan nangis. Nanti along pukul angah ye." Harith mendekati Haziq dan berpura-pura memukulnya. Itu membuatkan Hanin berpuas hati dan berhenti menangis.
"Ni apa kecoh-kecoh pagi-pagi ni. Along, angah cepat siap. Nanti abah lewat nak pergi kerja. Meh sini adik tu." Harith meletakkan adiknya ke bawah dan keluar dari bilik bersama Haziq. Hanin siap memakai baju sekolahnya ketika mereka sedang bersarapan pagi. Pantas dia duduk di tepi Harith dan menyentuh roti bakar.
"Haziq, nanti tengokkan adik kat sekolah. Jangan nak main je." Tegur Rashid ketika bersarapan. Haziq berpura-pura tak mendengarnya tetapi Rashid tahu anaknya mendengar.
Sampai sahaja ke sekolah, Haziq memimpin adiknya ke kelas dan melihat Hanin duduk di tempatnya sebelum dia menuju ke kelasnya. Apabila waktu persekolahan telah tamat, Hanin akan menunggu Haziq di pondok pengawal sehingga abangnya datang menjemput.
Hanin duduk di kerusi seperti biasa menunggu Haziq selesai kelas apabila beberapa budak perempuan menghampirinya. Dia tersenyum tapi muka masam yang dibalas mereka.
"Awak ni adik Haziq kan?" Hanin mengangguk keliru. Tidak lama kemudian, salah seorang dari mereka muncul ke hadapan memegang kertas seperti surat.
"Bagi ni pada Haziq ye. Cakap Laila 3B bagi dia." Hanin mengambil saja kertas di tangan perempuan bernama Laila itu. Sudah menjadi kebiasaan pelajar perempuan di sekolah itu mengirim kertas tersebut kepada abangnya. Dia sendiri tidak memahami kenapa abangnya mendapat banyak surat sebegitu dari perempuan lain.
"Lailaa!!!" Suara panggilan seorang mak cik di tepi pagar sekolah mengejutkan mereka. Perempuan bernama Laila tadi segera berpaling dan cepat-cepat mengambil beg sekolahnya dan menuju ke arah wanita tadi. Hanin perasan tajam pandangan yang diberikan wanita itu kepadanya.
"Berapa kali mak cakap jangan bergaul dengan budak tu. Dia anak tak baik. Kamu ni degil betullah." Acap kali juga dia mendengar ramai mak cik - mak cik yang menjemput anak mereka mengatakannya anak tidak baik. Dia tidak faham kenapa dia digelar anak tidak baik. Serasanya, dia sentiasa berkelakuan baik, sentiasa menolong umi, abah, along dan angah. Dia hanya memerhati kedua orang tadi berlalu dari pagar sekolah.
"Jom balik, Hanin." Hanin berpaling melihat Haziq yang berjalan ke arahnya. Dia bangun dari kerusi dan memimpin tangan abangnya.
"Angah, nah ada orang nama Laila bagi angah." Haziq mengambil surat tersebut dan meneruskan berjalan sehingga ke luar pagar. Sampai sahaja di sebuah tong sampah, Haziq membuang surat tadi sebelum dibacanya. Selalu dia melihat Haziq membuang semua surat yang diberi sebelum membacanya.
"Angah, kenapa buang? Angah tak baca lagi apa ada dalam tu." Hanin ingin memungut kembali surat tersebut tapi Haziq menghalangnya.
"Lain kali kalau ada orang bagi angah surat, jangan terima tau. Kalau adik terima jugak, angah tak nak kawan adik. Nak macam tu?" Terkebil-kebil Hanin melihat Haziq. Tetapi apabila yakin Haziq serius, laju Hanin mengeleng. Haziq mengusap kepalanya perlahan sambil menunggu abah datang menjemput.
Sampai saja ke rumah, ketiga-tiga beradik tadi mandi dan bersiap untuk makan. Hanin ingin menanyakan kepada umi dan abahnya tentang apa yang didengari dari mulut mak cik tadi, tapi dipendamnya. Hari itu, kali pertama dia bertanya soalan itu, dia membuat umi terdiam kemudian disusuli dengan menangis. Sejak pada itu, soalan tadi disimpannya.
Hanin mendekati kedua abangnya yang ralit bermain ps2. Dia memegang bahu Harith dan sebelah lagi bahu Haziq lalu dia duduk di tengah-tengah antara mereka.
"Hanin, jangan kacau kitorang main. Along dengan angah nak fokus ni." Tidak dipedulikan suara marah Haziq kepadanya.
"Along, hari ni ada sorang makcik ni cakap adik anak tak baik. Apa maksud dia tu along?" Terhenti Harith bermain game membuatkan mereka berdua kalah. Haziq merungut seketika dan akhirnya fokus juga pada pertanyaan adiknya.
Harith mengangkat Hanin dan meletakkan ke ribanya."Tu maksudnya makcik tu yang tak baik. Kita tak boleh cakap orang lain tak baik suka-suka hati je. So, kalau ada orang cakap Hanin tak baik, Hanin toksah nak peduli. Faham?" Hanin mengangguk.
"Hanin baikkan along, angah?" Harith dan Haziq mengangguk mendengar soalan Hanin lalu mencium dahi Hanin. Aisyah yang mendengar perbualan anak-anaknya terdiam. Setitik air mata keluar dari tubir. Belum masanya lagi dia menjelaskan hal yang sebenar kepada Hanin. Jika diberitahu sekarang, dia pasti puteri bongsu itu tidak memahami. Rashid memahami kesedihan di hati isterinya. Dia meramas tangan isterinya lembut, berkongsi kesedihan. Dalam hatinya bersyukur dikurniakan Harith yang matang daripada usianya. Tidak jemu menjawab segala soalan Hanin walaupun sukar untuk dijawab.
YOU ARE READING
Tolong Jodohkan Aku & Dia (Complete)
Romance"Adik suka abang, adik sayang abang. So adik tak nak abang dating dengan pompuan gedik tu." Nur Hanin Syakira memandang muka abangnya, Muhd Haziq Iskandar. Sejak mengetahui dia anak angkat di dalam keluarga itu, serta-merta dia mengetahui perasaanny...