36 ; PENANGGAL

1.7K 175 17
                                    

Dari jauh kelihatan dua beranak; ibu dan anak sedang melintasi jambatan kayu di pinggir kampung. Jambatan itu sudah berzaman menjadi alat penghubung buat penduduk-penduduk kampung dengan pekan. Dengan adanya jambatan kayu itu mudahlah urusan orang kampung untuk membeli barang-barang di pekan.

Malam itu, Rohayu dan anak sulungnya, Jamil terpaksa keluar ke pekan untuk membeli barangan dapur yang kehabisan. Esok pagi-pagi, suami tercintanya yang bekerja sebagai tentera akan pulang, jadi dia mahu masak yang enak-enak untuk suaminya.

Rohayu yang sedang bunting enam bulan itu sanggup bersusah-payah mengayuh basikal untuk ke pekan sambil ditemani anaknya yang membonceng di belakang. Malam semakin gelap, bulan tidak mengambang seperti selalu. Jamil memeluk erat tubuh ibunya sambil menikmati permandangan malam. Malam itu sungguh dingin sekali.

KREEKK... KREKKK...

Pedal basikal memainkan irama saat dikayuh. Sedang leka Rohayu mengayuh, tiba-tiba Jamil bersuara, “Ibu, benda bulat apa yang bercahaya di dalam hutan sana, bu?”

Jantung Rohayu berdebar-debar, dia menoleh ke kiri untuk seketika. Ekor matanya menangkap cahaya bulat yang sedang terbang terawang-awangan. Rohayu terkejut, dia terus melajukan kayuhannya. Malam yang sunyi dua beranak ini rupanya mempunyai ‘teman’ yang mengekori.

Rohayu nampak terketar-ketar memegang pemegang basikal, pada masa yang sama dia cuba menenangkan Jamil.

“Tak ada apalah tu, nak. Mungkin itu lampu dari rumah orang. Sudah, peluk ibu kuat-kuat.”

Basikal tuanya dikayuh laju, bergegar jambatan kayu itu saat basikal yang dinaiki Rohayu dan anaknya melintas melaluinya. Peluh dingin sudah membasahi dahi Rohayu. Dia tak mahu anaknya nampak dia dalam keadaan cemas. Harap-harap cahaya bulat tadi tidak mengekorinya. Rohayu terpaksa menipu Jamil tentang cahaya itu.

“Jamil, peluk ibu kuat-kuat nak. Kita lagi sikit dah nak sampai rumah ni.”

“Iya, bu. Tapi kenapa cahaya putih itu macam mengekori kita, bu?”

Rohayu semakin resah mendengar kata-kata yang keluar dari mulut Jamil. Sudahlah di laluan ini tiada rumah, hanya hutan belantara yang ada. Jika ada bolehlah dia tumpang singgah dahulu.

“Jamil. Ibu nak Jamil peluk ibu kuat-kuat dan tutup mata! Jangan pandang ke belakang walaupun sekali!”

Jamil hanya menurut arahan ibunya. Dia tahu ibunya sedang resah dan gelisah. Aura cemas memang benar-benar dapat dirasai sekarang. Ibunya tidak pernah mengayuh basikal selaju ini. Ini mesti ada kaitan dengan cahaya bulat yang berada di belakang mereka. Laluan kecil yang di kiri dan kanannya kebun getah diredah dengan bantuan lampu dinamo di basikal. Lampunya agak terang memandangkan Rohayu mengayuh dengan laju.

Di pertengahan jalan kebun getah itu. Suara nyaring Jamil kedengaran.

“Ibuuuu!” Jamil merengek. “Selipar Jamil terjatuhhh!”

Rohayu tersentak. Dia jadi serba salah, dilema buatnya. Selipar baru yang dihadiahkan oleh bapa mertuanya kepada cucunya Jamil telah terjatuh di pertengahan kebun getah. Jamil amat suka dan sayang akan selipar tersebut. Walaupun dalam keadaan cemas, Rohayu terpaksa berhenti mengayuh dan turun. Semuanya demi untuk mengambil selipar Jamil yang tercicir.

“Jamil tunggu sini, jangan ke mana-mana! Ibu pergi ambil selipar Jamil.”

Jamil sudah teresak-esak menangis. Bukan kerana seliparnya terjatuh, tetapi kerana melihat ibunya sanggup bersusah payah berhenti dan berlari ke tempat selipar Jamil terjatuh tadi.

Perut Rohayu yang semakin membusung tidak menjadi penghalang buatnya untuk berlari.

Malam semakin larut. Jamil ketakutan melihat sekelilingnya yang hanya ditemani gelap-gelita. Pokok getah semuanya tinggi-tinggi.

“Ibuuu! Cepat, Jamil takut!!”

Dia melihat ibunya berlari laju ke arahnya. Tangannya memegang selipar Jamil yang tercicir tadi. Termengah-mengah membawa kandungan di dalam perut. Jamil menarik nafas lega.

Setelah mendudukkan Jamil di belakang, Rohayu terus mengayuh. Kayuhannya lebih laju daripada tadi. Jamil semakin risau melihat keadaan ibunya yang sangat cemas. Sepanjang perjalanan, ibunya diam membisu sehinggalah sampai di rumah.

Pintu kayu ditutup rapat, selak besi dipasang di belakang pintu. Tingkap ruang tamu, tingkap dapur semuanya ditutup, dikunci. Rohayu tak sangka yang dia terserempak juga dengan ‘benda’ itu sewaktu dia mengambil selipar Jamil tadi. Dia terlihat kelibat hitam berbentuk kepala yang sedang terapung-apung di atas jambatan kayu yang dia lalui tadi. Wajahnya tak nampak, ditutupi samar malam. Rohayu tahu cahaya putih di dalam hutan tadi merupakan milik seekor penanggal seperti yang dilihatnya tadi.

 Rohayu tahu cahaya putih di dalam hutan tadi merupakan milik seekor penanggal seperti yang dilihatnya tadi

Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.

36 ; PENANGGAL

"Thanks for reading. Do vote and comment."

CREEPYPASTA | MALAYWhere stories live. Discover now