Pengalaman seram yang aku ingin kongsikan bersama kalian di sini adalah satu pengalaman yang mungkin tidak akan aku lupa sepanjang hayat. Kejadian itu berlaku ketika aku mengikut seorang kawan aku pulang ke kampungnya yang terletak di satu daerah berdekatan dengan Kota Baru, Kelantan. Kawan aku ni namanya Borhan (bukan nama sebenar).
Waktu itu cuti penggal persekolahan dan kebetulan pula musim durian. Borhan mengajak aku untuk ikut dia balik ke kampung dan menurutnya, dusun datuknya memang banyak pokok durian. Aku terus bersetuju mengikutnya pulang ke kampung kerana aku memang penggemar durian.
Kami tiba di kampung pada petang Sabtu setelah semalaman di dalam perjalanan menaiki keretapi. Sebaik sahaja sampai di rumah, kami telah disambut dengan mesra oleh keluarga Borhan. Mereka sungguh ramah, walaupun pun aku menghadapi sedikit kesukaran untuk memahami setiap patah perkataan yang dituturkan oleh mereka.
Setelah berehat seketika, Borhan mengajak aku mandi sungai yang berada tidak berapa jauh dari rumahnya. Waktu itu hari sudah lewat petang. Ibunya melarang kami pergi ke sungai kerana hari sudah pun hampir gelap. Tetapi kami tetap berdegil untuk mandi di sungai. Lagi pun jarak antara sungai dengan rumahnya lebih kurang 500 meter sahaja. Kalau kami melaung pun boleh didengar. Begitulah kata Borhan kepada ibunya.
Ibunya hanya menggelengkan kepala melihat gelagat kami tetapi beliau sempat berpesan supaya kami balik semula ke rumah sebelum masuk waktu maghrib. Sebaik sahaja kami menuruni tangga rumah, adik Borhan yang berumur dalam lingkungan 9 tahun berpesan kepada kami supaya balik sebelum hari gelap kerana sekarang ini orang kampung tengah heboh memperkatakan tentang hantu tok bidan yang berkeliaran di kampung itu pada waktu malam.
Meremang bulu romaku apabila mendengar pesan adik Borhan itu. Mahu sahaja aku membatalkan niat untuk mandi di sungai. Tetapi lain pula dengan Borhan, dia sedikit pun tidak mengendahkan kata-kata adiknya itu. Dengan berat hati, aku mengekori Borhan dari belakang. Mataku liar memerhatikan semak-samun di kiri-kanan jalan. Ketika itu matahari sudah hampir terbenam. Cahaya kilauannya berbalam-balam di permukaan air. Aku merasa tidak sedap hati.
Terasa seolah-olah ada sepasang mata yang sedang memerhatikan setiap gerak-geri kami. Sesampai sahaja di gigi sungai, Borhan terus terjun. Percikan air sungai mengenai tubuhku. Terasa dingin sungguh. Dengan berhati-hati, aku turun ke dalam sungai. Perasaanku merasa tidak tenteram. Hatiku berdetik bahawa ada sesuatu yang sedang memerhati kami. Aku mengajak Borhan supaya cepat naik dan balik. Tetapi Borhan hanya mengetawakan aku. Katanya aku ini pengecut sangat. Borhan juga kata yang adiknya cuma bergurau.
Sedang kami leka mandi-manda, tiba-tiba terdengar bunyi sesuatu benda jatuh ke dalam air tidak jauh dari tempat kami tengah mandi. Masing-masing senyap dan berpandangan sesama sendiri. Keadaan menjadi sunyi seketika. Yang kedengaran cuma suara riang-riang hutan bersahut-sahutan. Bulu romaku tegak berdiri sambil aku menggigil kesejukan. Tanpa sepatah kata, aku dan Borhan berlari naik ke tebing sungai dan terus mencapai barang-barang dan tanpa berlengah lagi, berlari balik ke rumah.
Ibu Borhan pelik melihat kami yang termengah-mengah apabila sampai ke pintu dapur. Adik Borhan pula cuma tersenyum menyindir. Aku memberitahu mereka apa yang telah berlaku. Ibunya hanya tersenyum mendengar ceritaku. Menurutnya mungkin dahan dari pokok kayu yang jatuh ke dalam sungai tadi. Tetapi adiknya pula mengingatkan kami tentang hantu tok bidan yang diceritakannya sebelum kami ke sungai tadi. Aku sendiri kebingungan. Kalau dahan kayu yang jatuh, tidak mungkin bunyinya sekuat seperti mana yang kami dengar tadi.
Selepas makan malam, aku duduk berehat di ruang tamu bersama adik Borhan. Aku mengambil kesempatan ini untuk mengetahui lebih lanjut lagi mengenai cerita hantu tok bidan yang diceritakannya petang tadi. Menurut ceritanya, ada seorang perempuan tua yang tinggal di kampung berdekatan baru meninggal dunia. Orang-orang kampung memanggilnya Tok Bidan kerana dia seorang bidan kampung. Semasa dia dalam keadaan nazak, keadaannya amat terseksa. Dia sentiasa kehausan. Entah berapa banyak air yang diberi, namun dia tetap kehausan. Sehinggalah dia menghembus nafas terakhir, dia meronta-ronta meminta diberikan air.
ANDA SEDANG MEMBACA
CREEPYPASTA | MALAY
HorrorYakin kau seorang yang berani? Cuba bayangkan. Kau masuk ke dalam sebuah portal mimpi. Sebaik kau melangkah keluar, dunia kau berubah. Kau berjumpa dengan manusia yang telah lama mati. Kau melihat manusia tanpa takut membunuh diri serta tidak kurang...
