HGS 11|Bab 11 - Tangkap basah

17.6K 1.2K 129
                                    


Tak boleh ke awak bersangka baik
dengan saya walaupun sehari

  

≿━━━━༺❀༻━━━━≾

 

Nadiya Kasheqa

Sudah hampir seminggu juga aku dan Afham kembali dingin. Kalau sebelum ini sememangnya hubungan kami dingin, tapi kali ini aku rasakan sudah di tahap sejuk beku.

Semuanya bermula selepas kejadian dia ternampak parutku minggu lepas. Entah kenapa, dia seakan-akan mengelak. Aku tahu, mungkin ada berkepul-kepul persoalan berlegar dalam mindanya tapi tidak disuarakan. Kadang-kala aku sempat menangkapnya berkerut memandang namun apabila mata kami bertentangan dia mula menoleh.

Aku mengeluh seraya bersandar di kerusi. Kepala aku dongakkan memandang siling dengan fikiran yang begitu sarat dibebani.

Sampai bilalah nak berterusan macam ni?

Mengingatkan kembali apa yang berlaku minggu lepas, aku mengeluh lagi.

Mujur mimpi yang kembali muncul itu juga sudah tidak lagi aku alami. Cuma kadang-kala kekejangan otot di bahagian perut itu datang terutamanya apabila aku mengalami tekanan dan kepenatan selepas bertugas. Sungguhpun begitu, bukan itu alasan untuk aku menjalankan kerja sambil-lewa sekaligus mengorban kerjaya yang aku cintai ini semata-mata mahu mengelak dari tekanan yang aku alami. Berbanding duduk di rumah, sebenarnya aku lebih rela duduk di klinik. Kalau tak kerana Wina, memang aku dah bungkus kain baju dan check-in di sini.

Sedap apa bau ubat ni.

Tanpa sedar, nafas panjang kusedut sedalam-dalamnya.

Cakap berkenaan Wina, terus wajah comel itu terlayar di depan mata. Masih kuingat raut wajahnya yang merayu-rayu aku menjadi mamanya selepas baru beberapa kali kami berjumpa. Entah macam mana, aku boleh jatuh sayang terhadap dia sehingga sanggup terjun ke dalam ikatan tanpa makna bersama bapanya.

Semua demi dia.

Demi Wina yang aku sayangi tak ubah seperti anakku sendiri.

Wina juga begitu.

Setelah aku masuk ke dalam hidupnya, segala kasih buat seorang ibu sepenuhnya tercurah kepadaku. Kalau ibu kandungnya masih ada, sudah tentulah rasa itu tiada buatku. Bahkan mungkin, aku tak akan wujud langsung dalam hidup mereka sekeluarga.

Tentu bahagia.

Tanpa ada orang luar seperti aku yang mengganggu.

Kalau arwah Sofia masih ada, mesti Wina membesar cukup lengkap dengan kasih sayang ibu bapa.

Aku mengeluh lagi.

Menyentuh hal Sofia, aku jadi tertanya-tanya.

Agaknya, macam manalah rupa paras Sofia?

Mesti cantik, sama seperti Wina. Aku percaya, Wina mewarisi kebanyakan gen dari Sofia kerana apa yang aku perhatikan, Wina tiada langsung mewarisi ciri-ciri yang dimiliki Afham. Dari hujung rambut sehingga ke hujung kaki, apa yang dimiliki Wina bertentangan depan apa yang dimiliki Afham.

Afham tinggi lampai, sedangkan Wina boleh dikira kecil bagi kanak-kanak sebayanya.

Afham berambut hitam pekat, sedangkan Wina berambut keperangan.

Bukan itu sahaja, warna anak mata keduanya juga berbeza...

Sedang aku mengelamun, pintu bilikku dikuak tiba-tiba. Muncul Izzaty, terjengul dari balik daun pintu.

Her Greatest Secret [ C ] | Her Scar Series #1Where stories live. Discover now