HGS 14|Bab 14 - Sampai mati

14.8K 1.2K 178
                                    

Biarlah ia kekal sebagai satu rahsia.
Mungkin sehingga aku mati.

 

≿━━━━༺❀༻━━━━≾

 

Nadiya Kasheqa

Televisyen yang terpasang hanya sekadar peneman. Siaran yang terpapar tidak langsung berjaya mencuri perhatianku yang kini lebih tertumpu terhadap sesuatu.

Aku melirik jam di dinding yang sudah melepasi hampir jam sebelas setengah.

Hatiku dijentik gelisah.

Teringat kembali kemalangan kecil yang dilalui Afham minggu yang lalu. Kalau difikirkan, tak lah kecil mana kemalangan tersebut. Mana taknya kalau sehingga empat jahitan yang diterima di dahinya. Mujur juga tiada kecederaan lain yang diterimanya.

Anak mataku jatuh semula ke daun pintu utama yang masih terkatup rapat, tiada tanda-tanda akan muncul seseorang di sana.

Hish, mana dia ni tak balik-balik lagi?

Macam mana kalau ada sesuatu yang buruk menimpa lagi?

Serentak itu aku tersedar dari lamunan.

Astaghfirullah al-azim...

Cepat-cepat aku beristighfar panjang minta dijauhkan dari sebarang keburukan. Tanggapan negatif yang cuba meracuni ketenangan kuusir dari berkampung di sudut fikiran.

Kenapalah dengan hati aku hari ni?

Selalunya aku gembira je kalau dia balik lambat tapi hari ini dah macam isteri mithali pula. Isteri mithali yang tertunggu-tunggu kepulangan suami tercinta.

Suami tercinta?

Ish, geli-geleman aku!

Di klinik selama seminggu ini, Izzaty juga tak habis-habis mengusik. Semuanya sebab aksi terlajak romantik tak bertempat Afham, sehinggakan kami tertangkap basah tempoh hari.

Entah ada jin apa yang merasuki dia sewaktu kemalangan tersebut agaknya yang buat dia bertindak sedemikian rupa.

Dia lupa agaknya aku ini perempuan yang dia paling anti dalam dunia.

Sedap-sedap je peluk aku tanpa kebenaran!

Tak semena-mena, pandanganku jatuh tunak melihat Wina yang sudah terlentok lena di atas riba. Anak rambutnya yang menutupi muka itu aku selak lembut.

Penat agaknya menunggu papanya pulang dari tadi, sehinggakan dia terlena sendiri. Lama aku perhatikan dan belai rambut perangnya. Perangnya, bukan perang hasil dari diwarnakan. Perangnya, perang asli.

Lain sungguh dengan rambut hitam pekat milik Afham.

Mungkin betul telahan aku yang rupa paras Wina diwarisi dari gen arwah Sofia.

Tapi betul ke semua itu?

Betul ke arwah Sofia memiliki rambut perang, sama seperti Wina?

Semakin aku berfikir, semakin aku ingin tahu rupa mamanya. Rupa paras arwah Sofia yang disayangi dan dirindui semua.

Pasti cantik dan menawan orangnya.

Kalau tidak, tak mungkin Afham begitu sukar mahu melupakan arwah si isteri.

Sedangkan dalam tidur juga dia boleh termimpi-mimpi.

Pandanganku berpindah ke almari sudut kaca yang tersusun di dalamnya album-album gambar lama milik Afham.

Her Greatest Secret [ C ] | Her Scar Series #1Where stories live. Discover now