HGS 16|Bab 16 - Malapetaka

15.1K 1.3K 110
                                    

Membongkar semula sama seperti
menoreh di atas parut yang sama

 

≿━━━━༺❀༻━━━━≾


Nadiya Kasheqa

Aku terjaga pagi itu apabila azan subuh bergema. Terkejip-kejip kelopak mataku cuba mencerna situasi yang berlaku.

Ya Allah, aku tertidur atas lantai rupanya. Dan di depan pintu!

Kepalaku terasa sungguh berat manakala kelopak mata atas dan bawahku seakan melekat antara satu sama lain. Semuanya akibat terlebih menangis malam tadi. Tanpa melihat di cermin pun, aku tahu mukaku pasti sembab dan mataku bengkak yang teramat.

Lemah, aku rasa mahu tersungkur kembali namum aku gagahkan juga kudratku untuk menolak tubuh. Aku terus duduk dan membetulkan pinggangku yang terasa tegang akibat tidur di atas lantai yang keras dan dingin.

Setelah berkira-kira beberapa ketika, aku lantas mengambil keputusan untuk membersihkan diri di kamar mandi yang tersedia di bilik tidur tetamu ini. Jika aku mandi di kamar mandi bilik tidur Afham, aku risau dia akan terjaga. Macam mana aku nak bersemuka lagi dengan dia setelah apa yang berlaku malam tadi?

Selepas mandi dan mengambil wudhu, baru aku sedar yang telekungku semuanya tertinggal di bilik sebelah.

Tiada pilihan lain, aku terpaksa juga menjejakkan kaki ke dalam bilik itu untuk menunaikan solat. Dengan langkah yang berhati-hati, aku keluar dan menuju ke pintu bilik Afham yang terkatup rapat.

Didahului ungkapan basmallah, aku tolak pintu biliknya dengan perlahan untuk tidak mengejutkan dia. Perkara pertama yang menyapa penglihatan, kesuraman bilik yang gelap tanpa sinaran lampu tidur seperti biasa.

Sekeliling aku perhatikan.

Kosong.

Katil juga elok tersusun petanda tiada sesiapa yang menghuni di atasnya.

Awalnya dia keluar. Atau dia keluar dari malam tadi dan tak pulang langsung?

Ke dia pergi jogging awal pagi begini?

Malas aku menyesakkan fikiran lagi, lantas aku bergerak ke arah meja kerjanya dalam keadaan ragu-ragu akan apa yang aku lakukan ketika itu.

Betul ke tindakan aku ni?

Sekali lagi aku teliti ruangan kamar tidur itu untuk memastikan tiada dia di dalam ruang yang sama. Yakin yang bilik itu sememangnya kosong, aku mula mengangkat beberapa fail di atas meja. Tercari-cari helaian kertas malam tadi yang dicampakkan Afham.

Tiada.

Aku membuka laci di sisi meja pula.

Masih tiada.

Pandangan aku tebarkan ke serata tempat dan pandanganku spontan terkaku ke dalam tong sampah berhampiran meja kerjanya. Sambil melutut, aku mengambil gumpalan kertas itu dan perlahan-lahan membuka untuk melihat isi kandungan di dalamnya.

Malam tadi semasa kertas itu ditunjukkan kepadaku, aku cuma dapat melihat sekilas tanpa benar-benar mencerna apa yang terkandung di dalamnya.

Sebaik gumpalan itu kubuka, terbentang di depan mata beberapa keping gambar parut yang kelihatan amat sama dengan parutku. Semuanya dicetak di atas helaian kertas yang berlainan.

Aku menggeleng. Tanganku kembali merenyukkan kertas-ketas tadi dan pantas mencampakkan ianya semula ke dalan tong sampah.

Parut saya ni tak seperti apa yang awak fikirkan, Am!

Her Greatest Secret [ C ] | Her Scar Series #1Tempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang