*USAMAH BIN ZAID*
Hitam kulitnya putih hatinya di sisi RasulullahPada hari peperangan Uhud, beberapa sahabat yang masih kecil datang meminta izin untuk berjihad di jalan Allah. Sebahagian mereka diterima dan yang lain ditolak oleh Rasulullah kerana usia mereka yang sangat kecil. Antara yang tidak diterima oleh Rasulullah adalah Usamah bin Zaid. Beliau beredar dengan linangan air mata kerana sedih tidak dapat berjihad di bawah panji Rasulullah.
Dalam peperangan Khandaq pula, sekali lagi Usamah bin Zaid yang ketika itu telah meningkat remaja datang bersama-sama sahabat sebaya nya meminta izin untuk berperang. Beliau berdiri sambil kakinya terjinjit-jinjit agar nampak lebih tinggi dan nanti supaya diberi keizinan kepada beliau. Akhirnya nabi Muhammad bersimpati kepadanya dan memberi keizinan kepada beliau. Dengan itu, Usamah bin Zaid telah membawa pedang berjihad di jalan Allah ketika baru berusia 15 tahun.
Siapakah Usamah bin Zaid yang sebenarnya? Beliau adalah anak kepada Zaid bin Harithah dan ibunya bernama Barakah Al Habasyiyah yang juga dipanggil sebagai ummu Aiman. Dahulunya ummu Aiman adalah hamba perempuan yang dimiliki oleh ibu Rasulullah dan beliau lah yang menguruskan Rasulullah sewaktu ibunya masih hidup dan menjaga Rasulullah selepas ibunya meninggal dunia. Rasulullah sangat mengasihi ummu Aiman.
Baginda juga selalu menyebut, "Dialah ibuku selepas ibuku, dan ahli keluargaku yang lain." Beliau itulah ibu Usamah bin Zaid. Manakala ayah Usamah bin Zaid, Zaid bin Harithah adalah 'hibb' iaitu orang yang dikasihi Rasulullah. Usia Usamah adalah lebih kurang usia cucu Rasulullah, al Hassan. Al Hassan berkulit cerah, cantik dan amat menyerupai Rasulullah. Manakala Usamah bin Zaid berkulit gelap, kemek hidungnya dan sangat menyerupai ibunya yang berasal dari Habsyah. Namun begitu, Rasulullah tidak sekali-kali membezakan antara mereka berdua dalam memberikan kasih sayang. Baginda akan mengambil Usamah dan meletakkan pada salah satu pahanya, kemudian mengambil al Hasan dan meletakkan pada paha yang satu lagi. Rasulullah akan memeluk mereka berdua ke dadanya sambil berkata, "Ya Allah, sesungguhnya aku mengasihi mereka berdua, maka kasihanilah mereka."
Apabila Usamah bin Zaid memasuki usia dewasa, sifat yang mulia dan akhlak yang terpuji terserlah pada peribadi beliau. Semua itu sememangnya melayakkan beliau mendapat kasih Rasulullah. Ternyata beliau seorang yang sangat cerdik, berani, bijaksana meletakkan urusan di tempat sepatutnya, menjaga maruah, bencikan perkara keji, mesra dan disukai orang ramai serta bertakwa lagi warak. Dalam peperangan Mu'tah pula, Usamah berjihad di bawah panji ayahnya, Zaid bin Harithah. Usianya ketika itu belum mencecah 18 tahun. Dalam peperangan itu, tentera Rom yang seramai 200000 orang dengan kelengkapan ketenteraan yang cukup. Sedangkan tentera islam hanya 3000 orang.
Ketika berperang, Usamah menyaksikan dengan kedua matanya sendiri melihat kematian ayahnya. Namun beliau sedikit pun tidak merasa lemah dan hilang semangat. Sebaliknya beliau terus berperang di bawah panji Ja'far bin Abi Talib sehingga Ja'far juga turut terbunuh di depan matanya. Kemudian beliau terus berjuang di bawah panji 'Abdullah bin Rawahah sehingga Abdullah juga terbunuh. Akhirnya, Khalid al Walid memegang panji sehinggalah tentera yang kecil ini dapat diselamatkan daripada cengkaman tentera Rom dan Usamah bin Zaid dapat menyaksikan dan merasai kejayaan tentera Islam itu.
Petikan daripada ustaz Mohamed Wahid Abd Hanif
*ABDULLAH IBN HUZAFAH AL SAHMI*
Parsi dan Yaman memeluk islamEnam orang sahabat telah dipilih oleh Nabi untuk menyampaikan surat dakwah kepada para pembesar ketika itu. Antara sahabat yang terpilih termasuklah Abdullah Al Huzafah Al Sahmi. Beliau diutus untuk menyampaikan surat nabi kepada Raja Kisra Parsi. Perjalanannya ke sana hanya bersendirian. Setibanya di Parsi, beliau meminta izin pengawal istana untuk bertemu Raja Kisra. Raja Parsi tersebut mengizinkan Abdullah Ibn Huzafah datang mengadapnya. Dengan hanya berpakaian sederhana, beliau bertemu Kisra untuk menyampaikan surat dakwah Baginda tanpa rasa gentar. Biarpun dalam keadaan sederhana, susuk tubuh dan perwatakannya sudah cukup menunjukkan karisma beliau yang mempesona.
Ketika berhadapan Kisra, beliau direnungnya dengan wajah yang bengis.
"Pengawal, rampas surat yang dibawanya dan bawa kepada beta!" keras Raja Parsi memberi arahan kepada pengawalnya.
"Tidak. Rasulullah menyuruh aku menyerahkan surat ini kepadamu. Aku tidak mahu mengingkari perintah Rasulullah," lembut suara Abdullah Ibn Huzafah menjawabnya.
"Baik, biarkan dia memberikannya kepada beta."
Lalu Raja Parsi memanggil seorang penulis berbangsa Arab untuk membaca kan surat tersebut kepadanya."Bismillahirrahmanirrahim, Daripada Muhammad, Rasulullah kepada Kisra yang agung, Raja Parsi. Berilah keselamatan bagi orang yang mengikuti petunjuk."
Ketika mana Kisra mendengar potongan kalimah tersebut, bergelojak api kemarahannya. Mukanya merah padam menahan kemarahan. Lalu merampas surat tersebut dan mengoyakkannya. Dalam nada yang sombong dan marah Raja Parsi tersebut berkata, "Apakah dia berani menulis surat ini untuk beta, sedangkan dia hamba beta!" Abdullah keluar dari istana dalam keadaan hatinya tenang dapat menunaikan arahan Baginda, biarpun tadi nyawanya di hujung tanduk. Abdullah menunggang kuda dan bergegas pulang untuk bertemu Baginda. Beliau menceritakan pertemuannya dengan Raja Parsi kepada Baginda. Pada saat Baginda mendengar surat tersebut telah dikoyak kan oleh Kisra, Rasulullah bersabda, "Allah pasti akan menghancurkan kerajaannya!"
Sementara itu di Parsi, Kisra mula menyusun strategi untuk menangkap Abdullah dan dibawa kepadanya. Raja Parsi tersebut mengarahkan wakilnya dari Yaman, Badzan untuk mengutus dua orang terkuat dari Hijjaz untuk menjejaki Abdullah. Lalu Badzan mengutus dua orang pemuda pilihannya pergi menemui Rasulullah untuk menyampaikan surat amaran supaya Rasulullah mengizinkan Abdullah bertemu Kisra dengan segera.
Akhirnya dua orang tersebut bertemu dengan Rasulullah dan menyampaikan surat daripada Badzan. Mereka berkata, "Raja Parsi, Kisra menulis surat kepada Raja kami Badzan untuk menjemput kembali utusan kamu yang datang kepadanya beberapa hari lalu. Kami datang untuk menjemputnya. Jika engkau mengizinkan, Kisra mengucapkan terima kasih dan membatalkan niatnya untuk menyerang kamu. Jika engkau enggan, Kisra dengan kekuatannya akan memusnahkan kamu dan kaummu!"
Hanya senyuman yang terukir di bibir Rasulullah tatkala mendengar ugutan tersebut. Lalu Baginda bersabda, "Sekarang pulanglah kamu berdua dan esok datanglah kembali."Keesokan harinya, Baginda didatangi lagi pemuda tersebut.
"Apakah engkau telah bersedia membenarkan kami membawa utusan kamu menemui Kisra?" tanya pemuda tersebut kepada Baginda.
"Kamu berdua tidak akan menemui Kisra lagi selepas ini. Allah telah takdirkan dia dibunuh oleh anaknya, Syirawaih pada malam ini," tenang Baginda membalas pertanyaan yang diajukan. Mendengar jawapan daripada Rasulullah, membuak-buak api kemarahan dalam diri pemuda tersebut.
" Kau sedar apa yang kau ucapkan itu? Kami akan mengadunya kepada Badzan," tajam lirikan mata pemuda tersebut kepada Rasulullah dan terus beredar.
Baginda menjawab, "Silakan! Katakan kepadanya, agama aku akan sampai dan tersebar di kerajaan Kisra. Manakala kamu sekiranya masuk islam, aku akan menjadikan kamu raja bagi kaummu."Kedua-dua utusan itu pulang menghadap Badzan dalam keadaan marah setelah mendengar jawapan daripada Rasulullah. Lalu mereka menceritakan apa yang dikatakan Rasulullah kepada Badzan.
" Jika benar apa yang kamu katakan, bererti dia seorang nabi. Jika tidak, kita tunggu dan lihat apa yang akan terjadi," spontan perkataan ini terpacul daripada mulut Badzan.Dalam beberapa ketika, seorang utusan datang menghadap Badzan untuk mengutus surat dari Parsi. Bukan daripada Kisra tetapi anaknya Syirawaih.
Syirawaih mengutuskan surat yang berbunyi, "Aku telah membunuh Kisra kerana membalas dendam untuk kaum kami. Kisra telah membunuh orang yang kami muliakan, menawan para wanita kami dan merampas harta-harta kami. Sekiranya surat ini telah sampai ke tanganmu, maka aku sekarang ialah raja kalian."
Setelah membaca surat tersebut, Badzan terus membuangnya dan menyatakan pengislamannya. Disebabkan Raja Badzan memeluk islam, maka rakyat Parsi dan Yaman juga telah memeluk islam.Petikan daripada ustaz Mohamed Wahid Abd Hanif

ANDA SEDANG MEMBACA
Jahiliah To Jannah
RandomDaripada kita asyik membaca cerita yang lagha, rajinkan diri membaca cerita yang membawa manfaat. Tak semestinya kena baca buku agama sahaja. Tapi apa salahnya kalau membaca itu menyebabkan kita beroleh pahala. Betul tak? Terdapat Quotes dan beberap...