Nasihat

114 19 0
                                    

Nasihat Dr. Aiman Suwaid Kepada Ahli al-Quran.

Aku nak menasihatimu dengan satu nasihat. Demi Allah, sesungguhnya aku lebih berhajat kepada nasihat itu lebih daripadamu. Aku memohon kepada Allah agar membantu aku dan kamu bagi melaksanakannya.

Demi Allah, aku sebenarnya malu kepada Allah sewaktu mengutus nasihat tersebut kerana aku tahu akan keadaan diriku. Namun (aku teruskan juga) supaya kita mendapat syafaat di hari kiamat.

Allah berfirman :

(یُؤۡفَكُ عَنۡهُ مَنۡ أُفِكَ)
[Surah Adh-Dhariyat 9]

Ertinya : dipalingkan daripada al-Quran sesiapa yang telah dipalingkan oleh Allah sebagai hukuman terhadapnya disebabkan dosa-dosanya dan sikapnya yang berpaling daripada Allah.

Wahai saudara-saudaraku!

Sesiapa yang tidak mula lagi menghafal al-Quran, maka mulakanlah!

Sesiapa yang mengabaikan ulangan al-Quran yang dihafal olehnya, maka usaha untuk dapatkan balik!

Sesiapa yang tidak ada wirid daripada al-Quran, maka bersungguh-sungguhlah menjadikan al-Quran sebagai wiridnya!

Sabarlah. Kuatkan kesabaranmu.

Sesungguhnya menghafal al-Quran, menekuninya dan membacanya sepanjang malam dan siang adalah kelazatan yang melupakan kamu keletihan dalam bermujahadah.

Larilah di tengah-tengah kesibukanmu. Rebutlah pulang beberapa minit daripada waktumu. Bangunlah daripada lenamu. Semoga kamu dapat menyertai golongan yang mendahului. Semoga kamu mengecapi kelazatan para abid.

Sujudlah dan dekatilah Tuhanmu. Jadikan untuk dirimu wirid daripada al-Quran. Jangan tinggalkannya walau apa pun berlaku.

Jadikan untukmu tasbih yang berterusan setiap hari. Bertasbihlah. Beristighfarlah. Bacalah La ilaha illallah. Selawatlah ke atas nabi. Ya Allah, limpahkan selawat dan salam kepada baginda.

Bedoalah untuk dirimu, ibu bapamu, orang yang kamu suka dan siapa yang kamu tidak suka.

Jadilah wasilah dalam menyampaikan peringatan kepada orang ramai!

Antara keberkatan al-Quran adalah sesungguhnya Allah memberkati akal dan hafalan pembacanya.

Daripada Abdul Malik bin Umair :

"Telah dikatakan sesungguhnya manusia yang paling lama jangka masa akalnya berkekalan ialah pembaca-pembaca al-Quran"

Dalam satu riwayat :

"Manusia yang paling bersih akalnya ialah para pembaca al-Quran"

Al-Qurtubi berkata :

"Siapa yang membaca al-Quran, dia masih diberikan nikmat akal walaupun usianya telah mencapai 100 tahun!"

Kajian-kajian ilmiah telah membuktikan hafalan dan bacaan al-Quran mampu menguatkan ingatan!

Imam Ibrahim al-Maqdisi menasihati pelajarnya Abbas bin Abdul Daim Rahimahumullah :

"Perbanyaklah bacaan al-Quran dan jangan tinggalkannya. Sesungguhnya apa yang dituntut olehmu akan menjadi mudah bagimu menurut kadar bacaanmu"

Abu az-Zinad berkata :

"Selalu aku keluar di waktu sahur ke masjid Rasulullah Sallahu Alaihi Wa Sallam. Maka aku tidak melalui satu rumah pun melainkan di dalamnya ada seorang yang membaca al-Quran"

Sheikhul Islam :

"Aku tidak melihat sesuatu yang dapat mengenyangkan akal dan roh, memelihara jasad dan menjamin kebahagian melebihi amalan sentiasa merenung kitab Allah Taala!"

Tautkan hatimu pada al-Quran. Kamu pasti menemui berkat.

Allah Taala berfirman di dalam Kitab yang diturunkan olehNya dengan susunan yang rapi dan teliti :

(كِتَـٰبٌ أَنزَلۡنَـٰهُ إِلَیۡكَ مُبَـٰرَكࣱ...)
[Surah Sad 29]

(Al-Quran ini) sebuah kitab yang Kami turunkan kepadamu, penuh berkat (banyak faedah dan manfaat di dalamnya).

Sebahagian ahli tafsir pernah berkata :

"Kami menyibukkan diri dengan al-Quran. Lalu kami diliputi oleh banyak keberkatan dan kebaikan di dunia"

Ya Allah, sesungguhnya kami meminta kepadamu supaya menjadikan hati-hati kami melazimi hafalan KitabMu. Rezekikan kepada kami bacaan hurufnya dan tadabbur maknanya sebagaimana yang menyampaikan kami kepada redaMu. Kurniakan juga kepada kami rezeki untuk beramal dengan al-Quran.

Jangan kamu leka disibukkan daripada wirid al-Quran yang menjadi rutinmu kerana -demi Allah- sesungguhnya al-Quran sumber keberkatan pada harimu, sekiranya kamu mengikhlaskan niat kepada Allah.

Jahiliah To JannahWhere stories live. Discover now