BABAD 1

1.1K 40 22
                                    

Sorot lampu kenderaan yang bertali-arus menumpangi binaan konkrit yang merentangi sungai itu sama sekali tidak diperdulikannya. Malahan,seorang dua pemandu yang barangkali sedikit hairan akan apa yang sedang dilakukannya di tengah-tengah amukan langit itu menekan hon tetapi sehingga ketika itu tidak ada pula yang cukup lugu untuk keluar dari perut kenderaan masing-masing.

Langit malam yang gelap menumpahkan hujan sekehendaknya. Mencurah-curah dari atas sementara petir sesekali membedil beberapa penjuru alam.

Dari sambaran lampu kenderaan yang lalu-lalang, air laut yang bergelora akibat dibadai angin yang membawa hujan itu tampak hitam. Pekat berolak-olak tidak ubahnya seperti gumpalan gelap yang menjadi gerbang aneh ke dimensi antah berantah yang dihuni kaum raksasa.

Sesekali, cahaya lampu dari rumah api yang tegak di hujung tanjung melintasi penglihatannya. Berputar mengikut talaan tertentu dan menjadi petunjuk kepada kapal-kapal pembawa barang yang berlayar memasuki teluk tersebut agar tidak berlanggar sesama sendiri ataupun menjadi penanda bahawa ada daratan yang boleh disinggahi oleh mereka setelah berbulan-bulan berlayar meredah lautan. Lengkingan siren sayup-sayup kedengaran dibawa angin yang berhembus kasar.

Nun di hujung tanjung yang satu lagi, seluruh daratan dipenuhi neon pelbagai warna.Tegak.Senyap dan berbalam-balam di dalam curahan hujan yang tidak kunjung reda.

Dia tidak pun berusaha untuk mengelakkan butiran hujan kasar yang berlumba-lumba menimpa kepalanya ketika itu. Fikirannya gelap sepekat air laut yang berombak di bawah sana. Kilat yang sabung menyabung langsung tidak menghantar gerun di dalam hatinya.

Baju yang membalut tubuhnya sudah basah dengan titis-titis hujan menyinggahi setiap inci tubuhnya.Menitik dari dahi,meleleh ke mata dan wajah lalu menyusuri bingkai rahangnya.Mengalir bersama air mata yang merembes tidak tertahankan.

Malam itu .Di situ. Dia akan menoktahkan segala-galanya!

Sejujurnya, dia merasakan tidak ada yang lebih buruk berbanding takdir yang kini sedang berasakan menimpa ubun-ubunya sekaligus. Pahatkan itu. Sekaligus wahai kalian! 

Dan jika benar seperti apa yang pernah dibacanya sebelum ini entah di mana bahawa kehidupan manusia sebenarnya adalah tidak ubah seperti sebuah graf yang sentiasa menaik ataupun menurun,maka ketika ini-dia sedang berada pada titik paling rendah dalam kehidupannya.Malah,ia merupakan titik negatif barangkali.

Aneh sekali bagaimana kehidupan tidak pernah melayannya dengan manis seperti orang  lain.Walhal,dia bukanlah tergolong dalam kalangan anak yang gemar membuat rusuh dan menyusahkan kedua-dua ibu bapanya.Sejak dari kecil lagi dia yang juga secara ajaibnya merupakan anak satu-satunya daripada pasangan itu merupakan anak yang penurut dan tidak terlalu banyak tingkah.Malahan dia juga membesar dalam lingkungan rakan-rakan sebaya yang baik dan tidak suka melakukan hal yang bukan-bukan sehingga perlu menerima hukuman sedemikian rupa.

Tetapi tidak ada yang lebih membingungkannya selain daripada bagaimana dia benar-benar menjadi orang yang terpilih untuk menjadi mangsa dalam kemalangan jalanraya yang meragut nyawa ayah dan ibunya sekaligus itu dan meninggalkan dia sendirian terkontang-kanting tidak tentu arah.

Berita gembira yang diumumkan ketua jurulatih pasukan memanah kebangsaan itu disambut dengan riang gembira oleh seluruh pasukan.
Daripada pengurus sehinggalah kepada para atlet yang telah mengerah kudrat mereka menjalani latihan sebagai persiapan menghadapi kejohanan dunia dengan meletakkan prospek pingat kepadanya selaku atlet paling berpotensi dan menunjukkan prestasi membanggakan di dalam beberapa buah kejohanan sebelum ini.Dan tidak ada yang lebih berharga bagi mereka selain diberikan dua minggu kelepasan sebelum menghadiri latihan intensif di luar negara bulan hadapan.

Babad Saribu BhyangkaraWhere stories live. Discover now