USAI menggunakan mesin ATM, Rina terus pulang ke butik. Niat hati mahu singgah beli nasi, tapi memandangkan orang tengah ramai dia mengalah. Buang masa beratur panjang-panjang.
"Awal balik Rina." Tegur Kak Isma, pekerja yang paling lama berkhidmat dengannya sebaik Butik Warna dibuka.
"Orang kurang kat bank. Shifa mana?"
"Kat belakang tengah makan. Ni ada nasi dan lauk untuk Rina sekali. Pergilah makan. Akak dah makan dah."
"Buat susah-susah je. Saya boleh beli sendiri."
"Eh tak. Bukan akak yang beli. Ada pelanggan bagi. Tu yang akak ambil je."
Rina terus melangkah ke belakang. Ruang yang disediakan untuk makan. Bukan kali pertama ada pelanggan yang memberi makanan. Sudah banyak kali. Biasanya pelangan tetap yang kebetulan singgah.
Katanya ingin berkongsi rezeki. Tak pun, makanan yang dihulurkan oleh pekerja-pekerja deretan kedai ini. Mereka meraikan majlis seperti hari jadi, makanan yang banyak dihulurkan sedikit ke butik.
"Kak Rina kena habiskan sebab banyak sangat ni. Saya dah tak larat nak makan." Tegur Shifa yang tengah makan. Plastik berisi nasi di tolak ke tepi.
Rina membasuh tangan lalu duduk di kerusi. Nasi bungkus dibuka lalu dimakan.
"Kan best kalau hari-hari ada customer hantar makanan. Tak payah keluar dah. Duit pun jimat."
"Ni customer mana pula yang bagi ni? Mesti nak ngurat Shifa." Soal Rina sambil menyuap nasi ke dalam mulutnya. Entah kenapa senang pula dia makan pemberian pelanggan. Mungkin disebabkan dia betul-betul lapar. Dah rezeki depan mata, tunggu apa lagi kunyah masuk mulutlah.
Pantas Shifa meneguk air. "Mana ada orang nak mengurat saya kak. Dia nak mengurat akak, sebab tu belanja makan semua ni."
"Hah?"
"Alah, lelaki yang datang semalam tu. Dia yang bagi nasi ni. Tapi dia cakap jangan beritahu akak. " Shifa mengetap bibir apabila terlepas cakap.
Tidak menunggu lama terus Rina bangun lalu membasuh tangannya. Air mineral dibuka lalu diteguk perlahan. Sumpah, kalau tahu nasi tu pemberian Izzhan dia tidak akan makan. Geli geleman tekak.
"Kenapa akak tak habiskan? Membazir."
"Shifa, dengar sini. Lepas ni kalau lelaki tu bagi apa-apa jangan ambik. Kita tak tahu dia letak apa dalam nasi ni. Entah-entah dah letak jampi. Nak bagi kita tunduk pada dia."
"Eh, tak baiklah akak ni. Abang tu baik, selalu senyum. Langsung tak sombong. Saya tengok dia pun dah tahu dia baik. Cakap pun sopan. Kalau dia jahat tak adanya dia bagi nasi ni."
Rina mengeleng kepala dengan sikap lurus Shifa. Mudah saja terpedaya dengan lelaki. Sebiji macam Qasya."Tu kekasih akak ke?" Soal Shifa tersengih. "Nampak sesuai je dengan akak."
"Oh my god. Pleaselah Shifa, jangan nak merepak."
"Taklah saya tengok dia ambik berat pasal akak. Tadi masa nak bagi nasi siap cakap pastikan bos adik makan tau. Sweet pula dia panggil saya adik."
Rina ketawa sinis. Apalah motif Izzhan? Tak dapat dia, cari pekerjanya pula. Benci pula disebabkan Izzhan, Shifa sudah fikir bukan-bukan. "Shifa, sepanjang awak kerja sini pernah nampak saya layan mana-mana lelaki ke?"
Lambat-lambat Shifa mengeleng. "Akak sombong dengan lelaki. Kadang-kadang budak hantar surat pun selamba je akak jerkah. Kesian dia. Sebab akak garang, semua lelaki tak berani dekat."
Sikit pun dia tidak marah apa yang dikatakan Shifa kerana kata-kata itu memang betul.
"Lepas ni kalau dia datang lagi jangan layan. Setakat bagi nasi ni, apalah sangat. " Terus Rina melangkah masuk ke bilik. Hilang terus rasa lapar.
Jangan lupa vote⭐️ dan tambah cerita ni dalam playlist reading anda😘
*Novel sudah terbit pada Disember 2019 under penerbit KarnaDya. Untuk pembelian boleh wassap 0196174353 (penerbit)
YOU ARE READING
Dia Janjikan Setia
Romance ❤️Kau yang pertama untuk selamanya❤️ "Papa tu tak setia dengan ibu. Berbelas tahun ibu hidup bermadu. Ibu sanggup tahan dengan papa. Tolonglah ibu minta cerai dengan papa. Rina tak suka tengok ibu hidup macam ni. Ada laki macam tak ada. Ibu te...