TELEFON butik yang berdering mengejutkan Rina. Dicari Kak Isma. Wanita itu sibuk melayan pelanggan. Shifa pula dicari. Juga sibuk melayan pelanggan. Laju dia menuju ke kaunter untuk menjawab panggilan."Butik Warna..."
"Assalamualaikum..."
Rina mendengus. "Nak apa?"
"Awak kenal suara saya?" Izzhan dalam talian ketawa kecil.
"Saya banyak kerja ni." Tegas suara Rina. Makin dia melayan, makin Izzhan ini dekat dengannya. Silap hari bulan kepalanya akan dipijak nanti.
"Sorry kalau mengganggu. Saya nak ajak awak lunch. Nanti saya ambik awak kat butik." Beritahu Izzhan niatnya yang sebenar. Dia sekadar cuba nasib. Kalau Rina terima dia juga yang untung. Dia perasan sejak semalam penerimaan gadis itu terhadapnya nampak makin baik.
"Saya sibuk, tak boleh keluar." Alasan munasabah diberi.
"Kalau macam tu, saya beli nasi bungkus, makan kat butik awak. Kita makan sekali." Izzhan tidak putus asa.
"Tak payahlah. Saya sibuk."
"Takkan nak makan pun tak ada masa?"
"Awak ni kenapa? Tak faham ke saya cakap sibuk? Jangan sesekali call saya guna telefon butik lagi. Saya tak suka." Gagang terus diletakkan. Izzhan, Izzhan tak melayan dia sakit hati, kalau melayan pun dia juga yang sakit hati.
"Kenapa ni Rina? Sekejap okey, sekejap tak? Pelanggan tengok pun takut." Tanya Kak Isma sebaik selesai melayan pelanggan.
"Izzhan ni nak ajak lunch. Saya nak tak nak, dia paksa pula. Tak sukalah macam ni. Mengada-gada betul." Adu Rina lalu duduk di kerusi. Kalau ada masalah dia lebih gemar cerita pada Kak Isma berbanding Shifa mahupun Qasya. Kak Isma orang yang boleh dipercayai. Walaupun begitu tak semua dia cerita pada Kak Isma. Dia lebih suka memendam.
"Lah, takkan dia ajak makan pun Rina nak marah? Bukannya dia ajak kahwin." Kak Isma mengeleng kepala. Kalau dah bosnya cakap tak suka, itulah jawapannya. Tak akan boleh diubah. "Kak Isma tengok dia macam suka je kat Rina. Siapa nama dia? Izzhan, kan? Kalau Rina tak nak lunch, cakaplah baik-baik. Jangan marah macam tu. "
"Saya dah cakap baik-baik dia tak dengar. Dia ingat saya ni baik sangat."
"Rina...Rina, pantang jumpa lelaki mesti nak buruk sangka. Akak tengok Izzhan tu baik orangnya. Dia macam betul-betul nak kawan dengan Rina. Bagilah peluang kat dia. "
"Itu pandangan akak. Saya lain. Lelaki jangan bagi muka sangat. Tak semua yang mereka nak, mereka akan dapat. "
"Rina..." Panggil Kak Isma lembut. Bertahun bersama dengan Rina dia sudah sedia maklum perangai gadis ini yang anti lelaki. "Kak Isma tak tahu sejarah hidup Rina yang sebelum ni. Sejarah yang menyebabkan Rina benci lelaki. Tapi akak nak pesan, jangan disebabkan lelaki lain Rina hukum Izzhan. Dia tak salah."
"Saya cuma nak hati-hati."
"Tak salah kalau Rina nak berhati-hati. Kenangan silam buatkan Rina memilih dan berjaga-jaga. Tapi ingat jangan sampai sakitkan hati orang yang betul-betul ikhlas dengan kita. Susah nak jumpa orang ikhlas zaman sekarang. Kalau Izzhan tu tak ikhlas dengan Rina. Mesti dia tak akan jumpa Rina, ajak keluar lunch. Akak yakin mesti Rina dah banyak kali sound dia, kan? Tapi tengok dia masih nak dekat dengan Rina. Kalau lelaki lain, entah-entah dah berdendam dengan Rina." Baginya Rina boleh dinasihati tapi kena guna cara yang lembut.
Rina memandang Kak Isma. Wanita itu tidak faham apa yang pernah dilaluinya. Tapi betul juga kata-kata itu. Dia bukan saja-saja mahu berdendam, tapi disebabkan apa yang pernah dilalui, jadi dia perlu berhati-hati.
"Macam ni kalau Rina betul-betul tak nak layan Izzhan tu cakap baik-baik kat dia. Bagi dia faham. Jangan bagi harapan kat dia. Mungkin bagi kita biasa-biasa je. Tapi pada dia? Kita tak tahu apa yang dia fikir."
"Kalau dia tak faham jugak?"
"Bagilah dia peluang kenal-kenal dengan Rina. Kawan je. Tak salah pun. Hati budi orang kita tak kenal. Rina tak minta, tapi dia sendiri yang datang. Allah hantar Izzhan untuk jadi kawan Rina." Kak Isma menepuk paha Rina beberapa kali. "Oh ya, lupa pula nak tanya, siapa lelaki yang datang jumpa Rina semalam?"
Rina mengangkat bahu. Lelaki itu pun masalah buatnya.
Jangan lupa vote⭐️ dan tambah cerita ni dalam playlist reading anda😘
*Novel sudah terbit pada Disember 2019 under penerbit KarnaDya. Untuk pembelian boleh wassap 0196174353 (penerbit)
Shopee : KarnaDya
YOU ARE READING
Dia Janjikan Setia
Romansa ❤️Kau yang pertama untuk selamanya❤️ "Papa tu tak setia dengan ibu. Berbelas tahun ibu hidup bermadu. Ibu sanggup tahan dengan papa. Tolonglah ibu minta cerai dengan papa. Rina tak suka tengok ibu hidup macam ni. Ada laki macam tak ada. Ibu te...