PROLOG : Mata yang melihat, hati yang berdendam

2K 41 0
                                    

BUNYI takbir yang bergema daripada masjid berdekatan rumah menyebabkan hati Rina menjadi pilu dan sebak. Luangan Allahuakbar...Allahuakbar meresap masuk ke dalam jiwanya. Indahnya takbir raya yang dilaungkan. Inilah bukti kemenangan umat islam selepas sebulan berpuasa.

Tingkap biliknya ditutup apabila melihat sekumpulan kanak-kanak yang cantik berbaju melayu dan berbaju kurung berjalan ke hulu ke hilir. Hari raya bagai tiada makna baginya. Kegembiraan orang sekeliling buatkan hatinya terluka. Melihat ibu dan ayah melayan kerenah anak masing-masing, mengundang rasa cemburu di hati.

Langkah diatur keluar bilik untuk mencari ibu. Aidilfiri kali ini sama seperti tahun-tahun lepas. Hanya ada dia dan ibu. Pintu yang sedikit terbuka ditolak perlahan. Dapat Rina lihat ibunya duduk di birai katil sambil memeluk sehelai baju melayu warna biru. Warna sedondon yang dipakai oleh dia dan ibu sekarang.

"Eh Rina..."

Air mata disekat dengan hujung baju. Sibuk melayan perasaan sehingga dia lupa pada anaknya. Senyuman manis dihadiahkan buat anak tersayang.

"Kenapa ibu peluk baju tu? Rina tak suka tengok ibu peluk baju ni. Papa dah tak ingat kat ibu."

Baju yang dipegang ibu, ditarik lalu dicampak ke lantai.

"Sedarlah ibu, apa yang papa dah buat kat ibu kat Rina. Ibu masih ingat lelaki macam tu? Sekarang ini dia tengah bergembira, ada dia datang jenguk kita? Kalau kita mati pun dia tak kisah."

"Astaghfirullahalazim ya Allah, Rina apa kamu cakap ni? Itu papa kamu. Jahat macam mana pun dia tetap papa kamu."

"Tak, dia bukan papa Rina. Baik tak payah ada papa. Kita ni tak wujud pada dia. Setiap tahun kita beraya tanpa dia. Dia sibuk dengan bini-bini dia sampai lupa pada ibu, pada Rina."

Tangan Rina ditarik, tapi cepat-cepat anaknya menepis. "Sayang, jangan macam ni. Papa tak pernah lupa pada Rina. Papa sayang pada Rina, pada ibu."

"Sayang ibu? Papa sayang ibu?" Rina ketawa sinis. Ibu memang seorang wanita yang tabah. Apa yang berlaku diterima dengan senyuman, langsung tidak melatah. "Kalau papa sayang ibu, dia tak akan kahwin lain. Dia tak akan bagi ibu madu, bagi Rina mak tiri. Itu ibu cakap sayang? Kalau sayang kenapa dia tak beraya dengan kita? Dia beraya dengan isteri muda. Papa apa macam tu?"

"Papa dah janji dengan ibu, nanti lepas sembahyang raya dia akan datang sini. Sekarang ni papa beraya rumah Ibu Imah dulu. Tahun nikan giliran Ibu Imah. " Lembut saja dia berbicara. Sikit pun tidak ambil hati dengan Rina. Anaknya itu masih kecil, masih belum tahu erti kehidupan.

​ "Kenapa ibu macam ni?"

Ibunya yang tersenyum dipandang. Kesian dia melihat ibu. Pura-pura bahagia tapi dalam hati siapa tahu derita yang dilalui. Air mata ditahan daripada jatuh. Membazir saja air matanya kalau jatuh disebabkan lelaki yang bergelar papa.

"Papa tu tak setia dengan ibu. Berbelas tahun ibu hidup bermadu. Ibu sanggup tahan dengan papa. Tolonglah ibu minta cerai dengan papa. Rina tak suka tengok ibu hidup macam ni. Ada laki macam tak ada. Hari-hari makan hati. Ibu terlalu baik, papa yang tak pandai hargai ibu."

"Sayang, macam mana ibu sayangkan Rina, macam tulah ibu sayangkan papa. Mungkin sudah nasib ibu hidup bermadu."

Rina meraup rambutnya. Lama-lama boleh jadi gila dirinya. Nasib...nasib...nasib daripada dulu sampai sekarang telinganya dengar perkataan itu. Kita boleh ubah nasib. Cuma ibunya saja yang tidak mahu ubah nasib. Sanggup menghambakan diri dengan hidup bermadu. Menjadi isteri tua kepada dua madu. Sungguh dia benci. Sangat-sangat benci.

"Sampai bila ibu nak macam ni? Suka sangat ke hidup berkongsi kasih? Hidup bermadu? Kalau papa ikhlas sayangkan ibu, apa pun kekurangan ibu, dia akan terima. Rina tak boleh terima tau, apa yang papa buat. Sampai mati pun Rina tak boleh terima lelaki yang kahwin lebih daripada seorang. Lelaki jenis tak setia...curang."

Tak kisahlah ibu mahu marah, dia hanya mahu meluahkan rasa hati.

"Rina kecil lagi. Nanti bila besar Rina akan faham apa yang terjadi." Sabar saja dia memujuk anaknya.

"Kecil? Rina dah 15 tahun, ibu. Rina tengok apa yang papa dah buat pada ibu. Rina dah mampu nilai. Papa yang sekejap ada, sekejap tak ada. Tapi banyak tak ada. Sampaikan Rina pun kadang-kadang dah lupa ada papa."

Bunyi hon kereta, mematikan perbualan dua beranak itu. "Hah papa dah sampai. Jom kita jumpa papa. Dah lama Rina tak jumpa papa, kan?"

Rina menarik tangannya sambil memandang ibu yang tersenyum. Itulah ibunya, apa yang dikatakan langsung tidak ambil hati. Malah dia akan dinasihati dengan lembut.

"Rina bukan seorang yang penyabar dan pemaaf macam ibu. Rina seorang pendendam. Dendam pada seorang lelaki yang tak tahu hargai apa yang dia ada."

Usai berkata Rina terus melangkah keluar daripada bilik ibu. Panggilan ibunya langsung tidak diendahkan. Pintu biliknya dikunci daripada dalam. Dia terduduk di lantai. Air mata yang ditahan sedari tadi akhirnya mengalir jatuh membasahi pipi.

Menangis kerana mengenangkan nasib yang menimpa ibunya. Kuatnya ibu sampai mampu mengharungi apa yang terjadi dengan senyuman. Kenapa dia tidak mewarisi sikap sabar, lemah lembut dan pemaaf seperti ibu? Sikapnya sangat berbeza.

Mengenangkan apa yang terjadi, Rina mengesat air matanya. Dia lupa. Janjinya pada diri sendiri untuk tidak menangis tapi akhirnya dia tewas di pagi raya. Biarlah ini kali terakhir dia menangis, selepas ini tidak akan ada setitik air matanya yang tumpah.

Jangan lupa vote⭐️ dan ttambah cerita ni dalam reading list anda 😁

Untuk pembelian boleh wassap 0196174353 (penerbit)

Dia Janjikan SetiaWhere stories live. Discover now