BAB 7 (b) : Mengekor Crush

406 25 0
                                    

"TERIMA kasih..."

"Sama-sama. Datang lagi ya." Ucap amoi yang menjual alat komunikasi.

Rina hanya mengangguk. Kalau tidak memikirkan telefon yang menjadi satu keperluan memang dia tidak akan menghabiskan duit untuk membeli. Tidak sampai sejam RM 700 sudah terbang. Nak tak nak dia terpaksa beli. Susah untuk dia berhubung kalau tiada telefon. Ibu di kampung juga sudah mula bising.

Niat hati ingin terus pulang dibatalkan apabila melihat logo Populor. Alang-alang sudah lalu baik dia singgah beli majalah. Lagipun majalah yang ada di butiknya majalah lama-lama. Biasanya dia akan membeli majalah yang berkaitan fesyen seperti HIJABISTA, VOGE, MUSLIMAH, dan GLAM. Dia suka melihat fesyen terkini, tapi entah kenapa dia kurang gemar berpakaian mengikut fesyen terkini.

Bahagian majalah dituju.

Beberapa langkah lagi ke tempat majalah, kakinya terhenti sendiri apabila terpandang seseorang yang sedang membaca. Matanya dibesarkan supaya tidak salah lihat. Kenapa mereka boleh bertemu di sini? Sebelum Izzhan perasan baik dia larikan diri dulu.

Baru sahaja mahu berpusing, Rina kaku apabila kehadirannya sudah disedari. Kakinya seperti digam apabila melihat Izzhan melangkah ke arahnya dengan tersenyum manis. Aduh, bencinya apabila selalu berjumpa begini. Ingatkan aman hari minggunya tanpa lelaki bernama Izzhan.

"Buat apa kat sini?"

"Saya pergi butik tadi, tapi Kak Isma cakap awak tak masuk lagi. Saya tunggu tapi awak tak datang juga. Tu yang saya terus balik." Tidak jumpa di butik, di Popular akhirnya mereka berjumpa.

      "Saja datang lambat." Sebenarnya dia ada saja dalam bilik. Sengaja dia pesan pada Kak Isma supaya cakap dia datang lambat. Malas dia mahu menghadap Izzhan. Kereta pula dia sudah parking jauh-jauh. Tidak mahu kantoi. Biarlah dia jahat, janji dia gembira dan puas hati.

"Macam ada jodoh je kita boleh jumpa kat sini. Masa saya tengah membaca, saya dapat rasa kehadiran awak. Rasa awak terlalu dekat dengan saya. Bila saya angkat muka, wajah awak yang pertama saya nampak." Jujur Izzhan berkata.

Baru terjumpa terus cakap ada jodoh. Entah apa-apa. Dia pula bukan rasa pertemuan mereka satu jodoh tapi satu masalah. Mesti bukan sampai sini saja pertemuan mereka. Dia yakin pasti Izzhan akan ajak dia tengok wayang, makan, tak pun saja berjalan-jalan cuci mata.

"Jom makan..."


Kan dah cakap. Sikit-sikit makan, dah tak ada benda lain ke yang nak dibuat? Seminggu kenal lelaki ni dia sudah boleh jangka apa yang akan dibuat oleh Izzhan. Bukan mahu perasan tapi dia tahu lelaki ini asyik mahu dekat dengannya. Boleh naik rimas dia nanti.

"Saya dah kenyang. Saya nak masuk dalam." Tolaknya. Dipandang Izzhan, ini kali pertama dia melihat lelaki itu berpakaian kasual. Seluar jeans dan T-shirt lengan pendek warna hitam. Nampak lain daripada kebiasaanya. Tapi ada satu yang sama, tidak berubah. Senyuman. Ya, lelaki itu masih dengan senyuman manis yang tidak lekang di bibir.

"Tak apa, saya ikut awak." Izzhan mengejar langkah Rina yang sudah meloloskan diri ke dalam Populor. "Nak beli majalah apa?"

"Sukan."

"Awak minat sukan ke? Sukan apa?"

Rina mendengus geram. "Boleh tak tolong senyap?"

"Saya tanya je. Mana tahu minat kita sama."

"Awak ni memang jenis yang suka bercakap ke? 24 jam mulut tu macam bertih jagung. Saya yang perempuan pun tak banyak cakap. Tak penat ke? " Soalnya malas sambil tangan ralit mencari majalah-majalah yang melibatkan fesyen.

"Dengan awak je saya cakap banyak. Dengan orang lain saya senyap sikit." Lagipun kalau dia senyap, Rina senyap, siapa yang mahu memeriahkan suasana? Jadi dia kena merajinkan mulut bertanya itu ini.

"Awak datang sini nak beli buku, kan? Apa kata kalau awak pergi beli buku awak. Jangan kacau saya." Halaunya bosan.

"Kalau saya pergi, mesti awak lari."


Bingo.Alahai, cerdik pula si Izzhan ni. Memang dia nak lari pun. Biarlah tak dapat beli majalah. Yang pasti selamatkan diri dulu. Itu yang paling penting.

"Saya nak nombor telefon awak."

"Kan saya dah cakap saya tak ada tele...." Rina mengigit bibir apabila Izzhan sudah tersenyum memandang plastik jenama Samsung yang ada di tangannya. Tajam betul mata lelaki itu. "

"Awak nak buat apa nombor saya? Kan awak selalu jumpa saya kat butik."

"Itu kat butik. Malam-malam kalau saya rindu awak, saya boleh call."

Rina sudah mahu muntah hijau. "Rindu? Saya bukan wife or kekasih yang awak nak rindu bagai."

"Kenapa, tak percaya ke? Rindu bukan saja untuk isteri atau kekasih. Siapa-siapa pun boleh merindu sebab kita manusia. Tak salah pun kalau rasa rindu tu wujud. Lumrah kehidupan ada sayang menyayangi, rindu merindui. Seorang anak rindu kepada ibu bapanya. Itu perkara biasa. Abang rindu kepada adik. Cucu rindu pada nenek. Pelajar rindu pada guru. Kawan rindu pada kawan. Macam saya rindu awak. Saya tak tipu, memang itu yang saya rasa. Sebab tu saya cari awak kat butik. Tengok muka awak hilang rindu saya."

Rina buat-buat ketawa. "Awak ni memang suka baca novel ke? Jiwangnya...mat bunga...dalam hati ada taman." Ejeknya. "Tak payah nak rindulah. Saya langsung tak rindu kat awak menyampah adalah."


"Saya tak kisah pun. Mula-mula saya sentap juga awak cakap saya menyampah, tapi bila saya fikir balik buat apa saya nak kisah. Yang menyampahnya awak, bukan saya. Saya suka kawan dengan awak."


"Lantak awaklah..." Cakap banyak pun tak guna. Ada je idea untuk membidas kata-katanya. Dia degil, Izzhan pun degil. Tapi kedegilan mereka ke arah yang berbeza. Dia berdegil tidak mahu mereka rapat, tapi lelaki itu berdegil mahu rapat dengannya.

Jangan lupa vote⭐️ dan tambah cerita ni dalam playlist reading anda😘

*Novel sudah terbit pada Disember 2019 under penerbit KarnaDya. Untuk pembelian boleh wassap 0196174353 (penerbit)
Shopee : KarnaDya

Dia Janjikan SetiaWhere stories live. Discover now