LAGI setengah jam Butik Warna akan dibuka, bermakna sudah setengah jam juga dia sampai ke sini. Pagi ini tenang hidupnya tanpa gangguan Izzhan. Kerja yang dibuat pun rasa lancar. Kalau macam ni hari-hari mahu dia sujud syukur. Pasti lelaki itu sibuk sampai tidak sempat datang butiknya. Bagus, kalau boleh biar Izzhan sibuk 24 jam, sampai dia dilupakan.
Rina mengerut dahi apabila melihat seorang remaja lelaki sedang berdiri di pintu masuk butik. Pantas dia membuka langkah.
"Ini ada bunga untuk Cik Rina. Tolong sign ya." Kertas dan pen dihulurkan.
"Siapa bagi ni?" Soalnya kurung senang apabila melihat bunga mawar yang dibawa oleh remaja lelaki itu. Kali pertama seumur hidup dia mendapat bunga.
"Tak tahu, saya hantar je."
Usai tandatangan, Rina mengambil jambangan bunya ros merah. Sempat matanya melilau melihat sekeliling. Seperti biasa, tiada apa yang pelik. Bunga wawar dipandang dengan pandangan kurang senang. Lebih kurang ada 10 kuntum. Dia mencium perlahan. Beberapa saat kemudian dia melarikan bunga itu daripada hidung.
Lupa pula dia seorang gadis yang tidak menyukai bunga. Wangi atau cantik macam mana pun bunga memang dia tidak suka. Bau bunga boleh menyebabkan dia bersin tanpa henti. Sekali bersin sampai merah hidungnya. Jambangan bunga diletakkan atas kaunter. Tisu diambil apabila dia bersih entah kali berapa. Bencinya pada pemberi bunga ini. Tengok tak pasal-pasal dia sudah bersin.
Matanya tertancap pada sehelai kad yang terselit di antara bunga. Macam mana dia nak perasaan, kalau warna kad dan bunga hampir sama. Tak pandai memilih betul si penghantar bunga ni.
Assalamualaikum, sorry sangat-sangat pasal semalam.
Saya tak sengaja. Jangan marah ya....
Yang sentiasa merindu....Izzhan
Terus Rina kembali bersin. Bukan sebab bunga tapi sebab ayat terakhir lelaki itu. Yang sentiasa merindu? Gelilah baca ayat jiwang-jiwang. Tidak menunggu lama, terus dia sumbat jambangan bunga dalam tong sampah.
Telefon butik yang berdering pantas diangkat. "Butik Warna."
"Suka bunga tu?"
Rina mencebik. Tak datang butik, main telefon pula. "Tak suka."
"Kalau tak suka kenapa cium?"
Terus Rina memandang pintu masuk. Tiada orang di situ. Mana Izzhan tahu dia cium bunga itu? Pasti lelaki itu ada di sekitar sini.
"Kalau saya cium, maknanya saya sukalah? Mana awak belajar ni?"
"Perempuan kalau cium bunga maknalah dia sukalah. Bau bungakan wangi, dapat melembutkan hati yang tengah marah, sedih, atau kecewa. Harap awak suka."
Rina mengetap bibir apabila melihat Izzhan yang berdiri di muka pintu. Gagang telefon diletak kasar. Muncul juga.
"Kenapa hidung awak merah?"
"Kenapa awak tanya? Ni semua pasal bunga awaklah. Saya tak suka bunga tau tak. Siapa suruh awak gatal bagi saya bunga?" Marah Rina apabila Izzhan sudah berdiri depan kaunter.
"Bunga semua perempuan suka bunga ke?"
"Ayat awak tu salah. Bukan semua perempuan suka bunga. Saya tak suka bunga. Awak ingat girlfriends awak suka bunga, jadi pun saya suka bunga? Jangan samakan saya denga perempuan yang awak kenal." Sengaja dia menyebut perkataan 'girlfriends'.
"Sorry saya tak tahu..." Pinta Izzhan. Ingat bila bagi bunga, Rina sudah tidak marah. Tapi nampaknya gadis itu makin angin. Dia sudah buat silap. "Mana bunga yang saya bagi?"
"Saya dah buang..."
"Buang?" Dia tidak marah bila Rina tidak suka pemberiannya, tapi janganlah sampai tahap membuang. Macam tidak hargai apa yang diberi. Dia pilih bunga mawar itu dengan sepenuh hati, tanda kemaafan. Tapi kenapa dia kecewa? Jauh disudut hatinya memang dia sudah jangka nasib yang akan menimpa bunganya. Tapi tak sangka apa yang difikirkan betul. Kerasnya hati gadis ini.
"Takkan saya nak simpan bunga yang boleh menyebabkan saya bersin?" Padan muka Izzhan. Pasti hancur luluh hati lelaki itu melihat bunga yang sudah selamat landing dalam tong sampah. Tisu pantas ditekupkan ke hidung apabila dia kembali bersin. Bukan sekali tapi lima kali serentak.
"Rina, awak okey ke?" Soal Izzhan apabila melihat wajah Rina yang sudah merah. Terasa berdosa pula. Memang Rina tidak main-main. Fikirnya hanya alasan saja gadis itu tidak suka bunga. Memang patut bunga yang diberi dibuang dalam tong sampah. Takut makin disimpan akan memudaratkan diri.
"Awak nampak saya okey ke?" Air hidung yang mahu meleleh keluar dikesat kasar. Suaranya juga sudah berubah sengau. Nampaknya beberapa jam kemudian baru dia kembali pulih.
"Jom saya bawa awak pergi klinik."
"Tak nak. Awak tolong keluar sekarang. Saya betul-betul tak ada mood."
Izzhan terpaksa melangkah keluar walaupun berat hati. Bukan tidak mahu bertanggunggjawab, tapi melihat keadaan Rina sekarang baik dia mengalah. Kalau dia berdegil masih di sini, tak mustahil gadis itu makin naik angin.
"Tak ada masalah kau bagi aku masalah pulak." Keluh Rina sendirian. Dia tidak peduli kalau Izzhan mahu terasa hati dengannya. Bukan dia minta, lelaki itu yang sengaja cari masalah. Kenapa kalau perempuan mesti dikaitkan dengan bunga? Mesti lelaki itu selalu pujuk teman wanitanya dengan memberi bunga. Taktik lapok!
YOU ARE READING
Dia Janjikan Setia
Romansa ❤️Kau yang pertama untuk selamanya❤️ "Papa tu tak setia dengan ibu. Berbelas tahun ibu hidup bermadu. Ibu sanggup tahan dengan papa. Tolonglah ibu minta cerai dengan papa. Rina tak suka tengok ibu hidup macam ni. Ada laki macam tak ada. Ibu te...