USAI memarkir Honda Jazz merahnya, Rina melangkah keluar. Kaki diatur menuju ke butik pakaian miliknya. Sebagai pemilik Butik Warna, dia sudah memiliki parking yang dikhaskan untuknya. Jadi tidak perlulah dia bergaduh dengan pemilik kedai kasut, kedai makan, amoi salon, bos hotel bajet dan doktor klinik untuk mendapatkan parking. Butiknya terletak di tengah-tengah antara deretan kedai. Sebaik sampai di hadapan butik, segugus kunci dikeluarkan lalu dia membuka pintu.
Inilah rutinnya setiap hari. Datang pukul 8 pagi dan balik apabila kerjanya selesai. Kadang-kadang butik sudah tutup, tapi dia masib belum pulang. Perangainya yang mudah marah, menyebabkan dia sesuai bekerja sendiri. Lagipun dia tidak suka bekerja bawah orang. Dia tidak suka diarah. Setakat ini dia hanya mempunyai dua orang pekerja yang datang pada pukul 8.30 pagi. Butik Warna hanya beroperasi pada waktu malam hanya hari minggu.
Inilah butik yang dibuka setahun yang lalu ketika dia berusia 23 tahun. Butik yang menyediakan pakaian wanita seperti jubah, baju kurung, kemeja, blouse malah t-shirt turut dijual. Butik inilah sumber pendapatannya untuk hidup. Disebabkan butik ini masih baru, jadi dia perlu berusaha keras untuk memajukan perniagaan sendiri.
Apa yang membanggakan setiap wang yang diguna untuk mendirikan butik semua hasil titik peluhnya sendiri. Kelulusan tertingginya hanya SPM. Dia tiada diploma, jauh sekali ijazah. Habis saja SPM, terus dia berkerja sambilan di Kuala Lumpur. Meninggalkan ibu tercinta di kampung untuk mengejar cita-cita. Sepanjang berkerja dia akan menyimpan sebanyak RM 500 sebulan. Untuk ibu di kampung dia akan menghantar RM 200 walaupun banyak kali ibu menolak. Selebihnya buat belanja sendiri dan sedikit wang untuk diberi pada mak su. Dulu di Kuala Lumpur dia tinggal bersama mak saudaranya.
Enam bulan Rina bekerja sebagai cashier dia Petron. Kemudian dia masuk ke KFC. Tak sampai setahun dia berhenti lalu berkerja sebagai store assistant di Seven Eleven selama dua tahun. Dia berhenti ketika memegang jawatan sebagai management trainee. Selepas itu dia bekerja sebagai pembantu butik di KLCC selama tiga tahun. Cukup segala ilmu dan duit dia cabar dirinya untuk membuka butik.
Dan hari ini berkat kegigihan dan kesabaran, akhirnya dia berjaya membuka Butik Warna. Tidak dinafikan pada awal pembukaan butik, dia hampir muflis. Mana taknya, dalam masa sebulan boleh kira berapa sangat pelanggan yang datang. Dia menanggung rugi. Mana mahu bayar gaji pekerja, sewa kedai, air, elektrik dan lain-lain. Tapi untuk berputus asa, itu bukan dirinya.
Tanpa membuat pinjaman daripada mana-mana pihak dia berjaya atasi masalah kekurangan pelanggan. Alhamdulilah dengan mengadakan promosi besar-besaran butiknya mula menjadi tumpuan. Sekarang ni walaupun masih tidak capai target, tapi dia sudah berpuas hati apabila butiknya masih dikunjungi pelanggan. Malah butiknya sudah ada pelanggan tetap.
"Butik ni dah buka ke?"
Rina berpusing ke belakang apabila mendengar suara yang menegur. Beg tangan diletakkan atas meja cashier. Kelihatan seorang wanita berjubah hitam dan seorang gadis muda terjenguk-jenguk melihat butiknya. Biasanya kalau urusan melayan pelanggan semua diuruskan oleh pekerjanya. Dia kurang pandai melayan tambah-tambah jika melibatkan pelanggan yang cerewet. "Maaf tak buka lagi. Lagi sejam baru buka."
"Kami nak masuk sekarang boleh. Nak beli jubah je. Lagipun kat sini tak ada kedai jual baju. Anak saya jubahnya koyak. Malu kalau orang tengok." Luah wanita itu sambil menunjukkan jubah dipakai anaknya yang koyak.
Rina tersenyum hambar. Betullah orang cakap, pelanggan banyak kerenah. Dia hargai setiap pelanggan yang datang, tapi mereka juga perlu patuhi apa yang ditetapkan. Butiknya buka pukul 9 pagi. Dia datang awal bukan mahu membuka butik, tapi mahu menyemak rekod jualan semalam. Kerjanya hanya dalam bilik. Butik dan pelanggan diserahkan pada pekerja.
"Pekerja saya belum datang. Butik pun belum dibersihkan. Tapi kalau puan dengan cik nak masuk juga, dipersilakan." Terpaksa apabila melihat muka kesian gadis itu. Lampu dan penghawa dingin dibuka. "Pilihlah pakaianya yang berkenan. Insya-Allah harga memang berbaloi."
YOU ARE READING
Dia Janjikan Setia
Romance ❤️Kau yang pertama untuk selamanya❤️ "Papa tu tak setia dengan ibu. Berbelas tahun ibu hidup bermadu. Ibu sanggup tahan dengan papa. Tolonglah ibu minta cerai dengan papa. Rina tak suka tengok ibu hidup macam ni. Ada laki macam tak ada. Ibu te...