Aku tergelak macam orang tak betul ketika membaca komik Under 18 No Fear karya Zint di belakang kaunter cashier. Entah dah berapa kali komik ni aku mengulang baca. Sumpah tak pernah bosan.
Emak pergi solat asar sekejap kat masjid berhampiran. Padahal kat kedai ni ada je bilik untuk solat, tapi mak cakap lagi selesa kalau solat kat masjid.
Jadinya tinggal la aku sendirian kat kedai sekarang ni. Kebetulan pelanggan pun tengah tak ada. Apa lagi, layan komik la oi.
Sedang aku seronok membaca komik kegemaranku sambil mengulum seketul lolipop, tiba-tiba fikiranku boleh pula melayang mengingat kembali perbualan ringkas aku dengan abah lepas balik sekolah tadi.
"Kenapa abah rotan along?"
Aku bertanya secara terus terang. Rasa gugup segera aku ketepikan. Perasaan ingin tahuku membuak-buak.
Abah terdiam seketika sebelum menjawab.
"Dia hisap rokok kat sekolah."
Raut wajahku berubah apabila mendengar jawapan abah. Biar betul along hisap rokok. Tak pernah pun aku nampak dia merokok selama ni.
"Cikgu disiplin call abah pagi tadi. Cikgu tu bagitahu abah, minggu lepas ada junior nampak along dengan dua orang kawan sekelas dia merokok kat belakang blok dekat dengan makmal Kemahiran Hidup," terang abah kemudiannya.
"Tapi bah, betul ke along merokok?" Soalku sambil melabuh duduk di sofa sebelah abah.
Kepala abah mengangguk.
"Ustaz Zamri ada bukti ke, bah? Dia just dengar dari mulut budak yang report kat dia je kan?"
Aku masih tak puas hati. Along merokok? Susah betul aku nak percaya. Aku perlukan bukti kukuh yang boleh meyakinkan aku tentang salah laku along di sekolah.
Walaupun along selalu bersikap dingin terhadap aku, tapi aku tetap sayangkan dia. Sebab hanya dia satu-satunya saudara kandung yang aku ada.
Abah menerangkan bahawa selepas mendapat info, pada hari itu juga Ustaz Zamri melakukan spot check secara mengejut di kelas along. Masa itu la Ustaz Zamri menjumpai sekotak rokok yang sudah tinggal separuh kat dalam beg sekolah along.
Sebenarnya, pagi tadi tu Ustaz Zamri telefon abah hanya nak bagitahu masalah disiplin yang along dah buat. Ustaz cakap kat abah, disebabkan ini adalah kesalahan pertama along sepanjang lima tahun along bersekolah kat sekolah tu, maka dia akan memberi hukuman berbentuk sebatan saja kat along.
"Abah tak bagi cikgu tu rotan along. Abah cakap kat dia, biar abah yang rotan along. Silap abah sebab tak pandai nak mendidik anak." Keluhan terlepas dari rongga mulut abah.
Terpamer riak kesal pada wajah abah kerana merasakan dirinya telah gagal dalam mendidik aku dan along.
"Relaks la abah, entah-entah ada orang aniaya along. Mana la tahu... kawan dia yang letak rokok tu dalam beg dia ke kan?" Kataku memberi pendapat.
Tapi abah cakap, along cuma mengangguk bila Ustaz Zamri tanya betul ke rokok tu dia punya. Kawan along yang lagi dua orang tu pula hanya diam sambil menunduk.
Lepas Ustaz Zamri bagi hukuman rotan di tapak tangan dua orang kawan along, mereka berdua diminta untuk kembali ke kelas. Kemudian, barulah abah merotan along sambil diperhatikan oleh Ustaz Zamri... dan juga aku.
Sejujurnya aku rasa bersalah terhadap along. Dulu ketika masih kecil, aku rapat sangat dengan along. Masuk ke sekolah rendah, hubungan kami mulai renggang. Semuanya berpunca dari aku.
YOU ARE READING
Merah.
Teen FictionKBSM (kenangan budak sekolah menengah). Genre: Teen Fiction Watak-watak: Umairah. Uwais. Juan. Fikri. Yasmin. Fatihah. Faqihah. (aku guna semua nama anak-anak saudara aku) Cover by @lonelykidz95 (IG: garf_shadow) Start: Jun 25,2020 End: -