Bab 21

3.1K 133 15
                                    

Nuha mendaki anak tangga untuk menuju ke bilik tidur Ammar. Dia mahu lihat keadaan bilik tidur rumah itu. Rasa ingin tahunya begitu kuat. Sementara Ammar belum pulang ni, baik dia cepat-cepat menyelinap. Langkah diatur mendekati bilik di hujung ruang itu. Kelihatan seperti bilik utama kerana ada lampu hiasan di dinding. Tombol pintu diputar perlahan.

"Bagus, pintu tak kunci. Kan aku dah agak, bilik tidur dia luas. Cantik pula tu. Bersih dan kemas aje." Puji Nuha dengan wajah teruja. Dia menghampiri katil bercadar kelabu dibilik itu lalu merebahkan tubuhnya. Matanya dipejamkan sekejap. Lantas itu dia bangkit untuk memeriksa bilik itu dengan lebih dalam lagi.

"Wah, ada penghawa dingin. Seronoknya. Mesti syok kalau tidur ni. Bilik aku tu ada kipas aje. Tak adil betul." Omel Nuha. Biasanya kalau malam-malam dia terasa panas, dia akan basahkan badannya. Kalau siang pula, dia akan pasang penghawa dingin di ruang tamu semasa ketiadaan Ammar.

Mata Nuha meliar lagi dipelusuk bilik itu. Tiba-tiba pandangannya tertacap pada bingkai gambar yang terletak diatas meja ditepi katil yang dia baring tadi. Bingkai gambar itu dia capai. Bibirnya diketap kuat.

"Ammar masih simpan gambar Nurani?" Gumam Nuha sendiri. Dahinya berkerut tanda marah. Dia bukan cemburu, tapi lebih kepada menyampah. Kenapa Ammar masih menyimpan gambar Nurani? Padahal Nurani tu sudah membenci Ammar.

"Kau buat apa dalam bilik aku?" Sergah Ammar sambil menepuk kuat pintu biliknya membuatkan Nuha terkejut. Bingkai gambar itu terjatuh kelantai. Habis pecah berderai kaca bingkai menjadi serpihan kecil. Mata Ammar membuntang besar.

"Am-Ammar..." panggil Nuha tergagap-gagap. Dia kecut perut melihat wajah Ammar memerah kerana marah.

Ammar segera mendekati Nuha lalu tubuh Nuha ditolak kuat sehingga terjatuh diatas katil. Ammar mencangkung untuk melihat bingkai gambar yang pecah dek kerana Nuha. Dia mendengus kasar lalu mengutip gambar Nurani. Dia bangkit dari cangkungannya. Gambar Nurani diletakkan diatas meja itu. Wajah Nuha yang pucat itu direnung lama dengan pandangan tajam.

"Siapa bagi kau keizinan untuk masuk bilik aku?" Tengking Ammar membuatkan bahu Nuha terhenjut kerana terperanjat. Dia betul-betul takut dengan lelaki itu.

Ammar seperti hilang arah tuju. Dia tak boleh berfikir dengan waras ketika itu. Hatinya betul-betul marah. Sudahlah Nuha masuk kedalam biliknya tanpa pengetahuannya. Dia memang tak suka orang luar sesuka hati menerjah biliknya tanpa izin. Tak cukup itu, gambar Nurani pun rosak angkara Nuha. Memang membuatkan dirinya bengang teramat.

"Ammar, aku minta maaf. Aku tak ada niat nak-"

"Diam! Perempuan tak sedar diri!" Maki Ammar dengan nada tinggi membuatkan air mata Nuha lekas menuruni pipi.

Ammar meraup rambutnya. Nafasnya turun naik. Tali pinggang yang dipakai itu dilonggarkan sedikit. Entah kenapa perutnya terasa senak pula bila dia tengah marah. Jadi sukar untuknya bernafas.

Nuha yang memandang lantas merangkak menuruni katil bilik itu. Dia duduk berpeluk lutut ditepi katil sambil menutup wajahnya. "Abah, jangan pukul Nuha. Nuha minta maaf." Jerit Nuha sambil menangis teresak-esak. Sungguh dia fobia melihat tali pinggang. Serta-merta dirinya teringat peristiwa dia dipukul Pak Yussof sehingga berbirat belakang tubuhnya itu.

Ammar mendekati Nuha sambil berkerut.

"Nuha janji tak buat lagi. Mak, tolong Nuha. Nuha takut abah..."

Ammar semakin pelik melihat Nuha. "Kau kenapa ni Nuha?" Soal Ammar. Tak jadi pula rasanya mahu memarahi Nuha yang sudah seperti histeria itu.

"Jangan pukul aku! Aku minta maaf. Aku janji lepasni aku tak masuk bilik kau lagi."

"Bila masa aku nak pukul kau?"

"Kenapa kau buka tali pinggang tu? Kau nak buat apa kalau kau tak pukul aku?" Air mata Nuha laju mengalir dipipi.

"Kenapa kau takut sangat dengan tali pinggang ni? Aku bukan buka sebab nak pukul kau. Aku buka sebab aku susah nak bernafas."

Nuha meraung perlahan. Dia menekup wajahnya dengan kusut itu. "Aku minta maaf. Nanti aku bersihkan bingkai gambar tu." Ujar Nuha lalu bangun untuk keluar dari bilik itu. Dia mahu mengambil penyapu dan penyodok sampah. Dia takut kalau Ammar akan memarahinya lagi.

Ammar hanya menghantar pandangannya. Dia melepaskan nafas berat. "Apa yang dia takut sangat?" Soal Ammar sendiri. Dia melihat Nuha yang memasuki biliknya kembali sambil membawa penyapu dan penyodok sampah.

Nuha mengutip serpihan kaca lalu diletakkan dipenyodok itu. Air mata yang masih bersisa itu diseka dengan tangannya.

"Dah lah. Biar aku yang buat. Kau pergi buat apa yang patut kat bawah sana." Arah Ammar lalu mengambil penyapu ditangan Nuha.

Nuha mengangguk faham. Wajahnya ditundukkan lalu dia menyusun langkah untuk beredar.

"Lepas ni, aku tak nak kau masuk bilik aku lagi melainkan kalau aku yang suruh. Faham?" Ammar memberi peringatan sambil jari telunjuknya menunding pada Nuha.

"Faham." Nuha akur. Dia menyambung langkahnya untuk keluar dari ruangan itu.

Sebaik sahaja Nuha hilang dari pandangan, Ammar menghembus perlahan nafasnya. Gambar Nurani yang dia letak diatas meja tadi dicapai. Dibelai gambar itu dengan penuh kasih. Apa agaknya yang Nurani buat sekarang. Sungguh dia rindukan Nurani. Masih ada lagikah cinta Nurani untuknya? Dia mahu mendapatkan kembali hati Nurani dan meyakinkan gadis itu yang dia tidak salah.

Ingin sekali dia menelefon Nurani untuk melepaskan rindu yang terbuku didalam hati.

NURANI ralit menggoreng cucur bawang untuk dijadikan makanan petang. Pasti enak kalau dimakan bersama teh panas. Nadim yang menuruni anak tangga kayu dipandang sekilas. Dia tersenyum nipis. Pasti abangnya itu baru pulang dari menoreh.

"Abang Nadim baru balik eh?" Soal Nurani sambil tangannya mencapai penapis minyak sebelum dia mengangkat cucur yang sudah keperangan itu.

"Haah. Lapar rasanya perut ni. Nurani goreng cucur ke?"

"Iya. Abang Nadim suka cucur bawang kan?"

"Betul. Lagi-lagi kalau adik abang yang buat." Nadim tersengih.

Nuha tersenyum lalu menghidangkan cucur bawang itu diatas meja. Tiba-tiba batuknya datang. Dia terbatuk berulang kali sehingga membuatkan Nadim susah hati.

"Nura okay tak ni? Abang Nadim tengok dua tiga hari ni Nura kerap batuk. Muka Nura pun pucat sangat."

"Tak ada apa lah abang Nadim. Batuk biasa aje. Esok lusa eloklah." Nurani melabuhkan punggungnya diatas kerusi untuk menemani Nadim menjamah cucur bawang.

"Abang Nadim risau tengok Nura. Nanti kita pergi klinik ya?"

"Tak ada apalah abang Nadim. Tak perlulah pergi klinik. Bazir duit aje nanti." Nurani menggelengkan kepalanya. Dia tidak mahu pergi klinik. Wang yang ada tu sebaiknya disimpan untuk kegunaan yang lebih penting. Setakat batuk biasa, tak pergi klinik pun tak ada masalah.

"Kalau Nura rasa tak sihat sangat-sangat. Nura bagitahu abang Nadim. Jangan diam aje." Dahi Nadim berkerut.

"Baik abang Nadim. Kalau batuk Nura teruk sangat nanti Nura bagitahu abang Nadim cepat-cepat. Sudahlah, jom kita makan?"

Rintihan Rasa ✔️Tempat cerita menjadi hidup. Temukan sekarang