Bab 30

4.3K 142 10
                                    

Pukul 9 pagi Ammar sedar dari tidurnya. Nyenyak sekali dia lena malam tadi tanpa ada rasa mahu ulang-alik ke tandas. Semuanya sebab minyak angin yang Nuha beri padanya. Mujarab juga penangan minyak angin Nuha. Tak adalah dia berhempas-pulas mahu membuang air besar. Mata dibuka perlahan lalu ruang disebelahnya ditoleh untuk mencari Nuha. Ternyata Nuha sudah bangun lebih awal darinya.

Kedengaran bunyi hilai tawa dari tingkat bawah rumahnya. Jelas sekali datangnya suara itu dari Nuha. Pasti dia bersama Datin Harizah. Ammar mengeliat tubuhnya untuk membetulkan posisi tulang sebelum dia bangkit. Dia menguap seketika lalu menuju ke kamar mandi untuk membersihkan tubuhnya.

"Aireena sihat ke mama? Nuha dah lama tak jumpa dia." Soal Nuha sambil ralit menyendok bihun goreng kedalam pinggan milik Datin Harizah.

"Sihat. Tapi sekarang dia sibuk dengan kelas. Tak boleh mama nak ajak dia datang sini sekali."

"Tak apalah mama. Biasalah kalau belajar. Kalau nak dapat keputusan cemerlang kena rajin. Baru boleh berjaya. Tak adalah jadi macam Nuha ni. Belajar pun tak berapa pandai."

"Apa pula cakap macam tu. Menantu mama ni dah cukup sempurna dah. Rupa ada, perangai pun elok. Pandai jaga Ammar. Senang cakap semuanya baguslah. Kalau belajar pandai tapi tak reti jaga diri pun tak boleh juga. Betul tak? Tapi Nuha jangan lah risau. Kalau Nuha tak berpelajaran pun tak apa. Sekarang ni Nuha tanggungan Ammar kan? Nuha tenang ajelah."

"Tak ada lah mama. Nuha ni cuma risau aje. Zaman sekarang kan semuanya mementingkan kelulusan pelajaran. Mana ada yang mahu orang macam Nuha ni. Silap-silap Nuha ni cuma layak jadi tukang sapu aje kalau Nuha bukan isteri Ammar."

"Sedar pun kau tu macam mana. Kalau bukan aku kutip kau mesti kau sekarang tengah cuci tandas awam." Sampuk Ammar yang baru sampai kedapur. Dari tadi dia mencuri dengar perbualan Nuha dan Datin Harizah.

"Jahat betul mulut Ammar ni. Tak baik cakap dengan isteri macam tu. Cepat minta maaf dengan Nuha. Dia tu isteri Ammar... Kenalah layan dia sebaiknya." Marah Datin Harizah sambil menggelengkan kepalanya.

"Ammar gurau ajelah mama. Tak kanlah isteri Ammar yang tersayang ni nak jadi cleaner pula. Tak layak langsung dengan dia. Dia kan layaknya jadi CEO syarikat dengan pelajaran yang dia ada sekarang ni." Sindir Ammar sambil tersenyum sinis memandang Nuha yang sudah memerah muka. Dia tahu pasti Nuha bengang apabila diperli sebegitu. Puas hati dapat membuat perempuan itu panas hati.

"Sudah lah Ammar. Cukup-cukuplah nak menyakat Nuha. Cepat sikit sarapan. Mama ada sesuatu nak cakap dengan kamu berdua nanti." Ujar Datin Harizah sambil menyuapkan bihun goreng kedalam mulutnya.

"Bincang pasal apa pula ma?" Soal Ammar dan Nuha serentak sambil memandang Datin Harizah.

"Makanlah dulu kalau iya pun nak tahu." Balas Datin Harizah.

Ammar hanya mengangguk perlahan. Dia melihat Nuha yang sedang menyendok bihun goreng kedalam pinggan. Nampak lazat sungguh bihun goreng itu. Aromanya pun sudah menusuk kehidung. Ingin sekali dia menjamah bihun itu sekarang juga.

"Nah." Pinggan berisi bihun goreng dihulur kepada Ammar yang menunggu itu. Nuha tersenyum nipis. Tak sabar mahu mendengar komen Ammar tentang masakannya. Tak pernah-pernah Ammar mahu merasai makanan buatan Nuha. Hari ini akan menjadi pertama kali makanannya dijamu oleh suaminya.

Mata Nuha tidak lepas memandang Ammar menyuapkan bihun goreng kemulut. Dia begitu teruja sekali.

Sekali suapan membuatkan mata Ammar membuntang besar. Sungguh tidak dapat dijangka betapa enaknya bihun goreng ni. Ingatkan rupa aje yang menyelerakan. Tapi rasanya pun sedap bagai nak melompat dia dibuatnya.

"Mama beli kat mana bihun goreng ni? Lain pula dengan rasa bihun goreng yang mama buat." Soal Ammar lantas menyuap lagi bihun goreng kedalam mulutnya.

"Kenapa nak beli kalau tukang masak dah ada depan mata? Bihun goreng ni Nuha yang masak lah. Mama bantu sikit-sikit aje tadi."

Dengan pantas Ammar mengerling kearah Nuha. Dia terbatuk kecil seakan tidak percaya. Air kosong dicapai lalu diteguk rakus. Seakan terbantut seleranya apabila mendapat tahu bihun goreng itu Nuha yang masak. Rasa yang sedap pun tiba-tiba saja jadi tidak sedap ditekaknya.

"Macam mana dengan rasanya? Sedap ke? Atau ada kurang?" Tanya Nuha ingin kepastian.

"Banyak juga yang kurang. Tapi apa-apa pun kau dah buat yang terbaik kan. Cuma bagi aku kalau boleh kau upgrade sikit masakan kau ni. Kalau untuk dua tiga hari makan bihun macam ni boleh lah. Kalau hari-hari boleh naik muntah aku dibuatnya. Masak macam tak ikhlas aje." Ujar Ammar membuatkan senyuman Nuha mengendur. Dia cuba merasai bihun gorengnya sekali lagi.

"Ammar, kenapa cakap macam tu? Sepatutnya Ammar kena berterima kasih pada Nuha sebab dia boleh memasak. Sekurang-kurangnya dapat isi perut Ammar kalau Ammar lapar. Lagipun, okay aje rasa bihun Nuha ni. Cukup semuanya tak ada yang kurang. Mungkin lidah Ammar yang salah merasa. Setahu mama Ammar tak pernah memilih pun kalau pasal makan ni."

"Memang lah tak memilih tapi kalau dah rasa pun macam nak bagi haiwan makan macam mana? Takkan Ammar nak puji melambung-lambung pula. Dah lah mama... Ammar tak ada selera nak makan. Mama habiskanlah bihun goreng ala kadar ni dengan Nuha. Ammar tak mahu makan dah. Ada baiknya Ammar naik kebilik buat apa yang patut." Ammar bingkas bangun dari duduk. Langkah diatur untuk menuju kebiliknya.

Nuha hanya mampu menunduk. Marah memang marah tapi dia boleh buat apa? Takkan nak maki hamun Ammar didepan Datin Harizah pula. Dia tidak mahu nampak kurang ajar dihadapan mak mertuanya. Tapi memang betul dia terasa hati. Teruk sangatkah masakannya sampai Ammar menghina sampai sebegitu rupa? Kalau iya pun tidak kena dengan selera rasanya boleh tegur dengan elok kot.

"Nuha, mama minta maaf dengan apa yang Ammar cakap tadi. Mungkin emosi dia tak elok sekarang ni. Tapi, Nuha jangan risau... Bihun goreng Nuha ni sedap sangat. Mama suka. Nanti senang-senang Nuha masaklah lagi lepastu hantar pada mama." Bahu Nuha ditepuk perlahan mahu menenangkan menantunya itu. Kasihan pula melihat riak muka Nuha yang berubah sedih itu. Jadi tak sampai hati pula dia lihat.

"InshaAllah mama. Nanti Nuha masakkan lagi untuk mama. Lagipun sebenarnya resepi ni resepi arwah ibu Nuha. Nuha ikut resepi ibu sebab Nuha suka sangat masakan ibu. Mungkin Ammar belum terbiasa lagi kot dengan masakan Nuha. Tak apa Nuha cuba perlahan-lahan nak pikat perut Ammar."

Datin Harizah tersenyum mendengar kata-kata Nuha. "Dah, jom kita sambung makan. Nanti kalau sejuk tak sedap pula. Tapi kalau Nuha yang masak, sejuk ke tak ke tetap sedap juga." Puji Datin Harizah membuatkan Nuha tersenyum nipis. Ucapan Datin Harizah sungguh menyenangkan hatinya. Dia beruntung sekali dapat mengenali wanita itu. Melihat Datin Harizah membuatkan dia menjadi rindu dengan arwah ibunya.

Rintihan Rasa ✔️Tempat cerita menjadi hidup. Temukan sekarang