Bab 10

460 56 48
                                    

LENGAN baju Hazwan ditarik dan di arah duduk. Dia tidak mahu Hazwan begitu takut dan tertekan di hadapannya. Lagi-lagi dia mahukan penjelasan dari kedua-dua belah pihak. Supaya dia boleh menghadam apa yang sedang terjadi.

"Cikgu nak dengar penjelasan apa yang sedang berlaku sekarang ni? Kenapa kamu boleh dituduh mencuri? Dan lepas tu bertumbuk dengan Haiqal pula?" soal Medina lembut.

"Cuba kamu beritahu, cikgu janji cikgu tak marah." Anak mata Hazwan dipandang lembut.

"Hazwan jika kamu pilih berdiam diri semua ini tak akan selesai. Kamu tahu kan? Cikgu akan tolong kamu selagi cikgu mampu." pujuk Medina penuh prihatin.

Hazwan membalas pandangan Medina.

"Tak percayakan cikgu ke? Pernah ke cikgu mungkir janji sebelum ni? Cikgu selalu tolong kamu kan?" pujuk Medina lagi.

Wajah Medina ditatap lama. Kisah dua tahun lalu terlayar kembali difikirannya.

"Cepat... cepat... nanti cikgu Halim nampak masak kita." Tergesa-gesa tembok sekolah itu dipanjat dan melompat masuk ke dalam.

Sebaik kaki menjejak tanah tidak disangka matanya terpandang wajah Medina yang berdiri betul di hadapannya. Lama wajah cikgu itu diperhati. Sungguh dia tidak sangka ada cikgu lain di belakang sekolah itu. Liur diteguk berkali-kali.

"Wan, Cikgu Medina," Darus mula kalut. Medina yang merupakan guru kaunseling dan terkenal dengan kegarangannya membuatkan Darus kecut perut.

Medina terus berjalan melangkah dengan wajah bersahaja seolah tidak melihat apa yang sedang berlaku di hadapannya.

"Cikgu Medina tak marah ke? Dia tak mengadu ke dengan cikgu Halim?" soal Mazwar yang mula kalut. Takut ditangkap Cikgu Halim.

"Tak tahu..." Hazwan menggeleng. Dia sendiri tidak faham kenapa Cikgu Medina membuat tidak endah pada mereka walhal dia sendiri nampak.

"Apa-apa pun masuk kelas dulu." Sepantas kilat tiga sekawan itu berlari masuk ke kelas.

Loceng yang berbunyi tanda waktu rehat membuatkan semua pelajar berpusu keluar menuju ke kafetaria sekolah.

Anak matanya terpandang wajah Medina yang melangkah ke kafetaria. Wajah yang tidak selalu senyum itu membuatkan dia rasa cikgu itu berbeza dengan cikgu yang lain.

"Cikgu Medina," panggil Hazwan.

Medina melihat Hazwan dengan pandangan kosong.

"Terima kasih cikgu," ucap Hazwan sambil menunduk hormat.

"Terima kasih? Dan kamu ini siapa?" soal Medina serius sambil memeluk tubuh.

Hazwan terdiam dengan soalan Medina. Liur diteguk. Tidak pasti apa yang harus dibalas dengan soalan Cikgu Medina itu.

Melihat Hazwan yang terdiam itu membuatkan Medina menarik senyum manis dan bahu anak murid itu ditepuk sebelum melangkah pergi.

"Hazwan..." Medina memanggil lembut.

Mendengar Cikgu Medina memanggilnya terus dia kembali ke dunia nyata. Anak mata jernih yang penuh keikhlasan ditatap. . Wanita yang bergelar guru itu tidak pernah sekalipun mungkir janji. Walaupun dia menggelar wanita itu sebagai singa putih. Wanita itulah yang selalu melindungi dan membelanya setiap kali dia membuat masalah. Malah, bukan dia seorang sahaja yang wanita itu pernah tolong malah ramai pelajar lain juga. Disebabkan itu ramai pelajar suka di sebalik ketegasannya.

"Kalau saya cerita pasti masalah akan jadi besar dan abang Mika pasti akan dipanggil ke sekolah. Saya tak nak menyusahkan abang Mika lagi," tutur Hazwan yang akhirnya bersuara.

🄱🄴🄲🄰🅄🅂🄴 🄸🅃'🅂 🅈🄾🅄! ✔Where stories live. Discover now