BALAN-BALAN..

142 6 0
                                    

Assalammualaikum…salam hormat pembaca.

Aku telah kembali ke Sabah atas nasihat keluarga. Masa ini Malaysia digemparkan dengan peristiwa kehilangan pesawat MH370 disusuli dengan pesawat MH17 yang ditembak jatuh di Ukraine. Aku dan Sera adalah antara petugas yang menyambut jenazah mangsa-mangsa pesawat yang dihantar pulang ke tanah air. Sedih kerana ada antara mangsa adalah petugas yang pernah recruited kami semasa belajar dan bertugas dalam pesawat.
Ayah adalah orang yang paling risau atas keselamatan kami ekoran banyak pesawat yang terhempas dan hilang pada masa itu.

Jadi aku kembali ke Sabah , ke kampung sebelum sempat diserap masuk sebagai petugas tetap.
Rumah mak dan ayah ni dibina lebih dari 10 tahun, hampir 20 tahun rasaya..Dahulunya cuma hutan bakau yang diteroka. Tiada jalan raya,elektrik dan air pada mula kami pindah. Jauh sikit ke hadapan ada perkampungan lain yang juga masih mundur dalam kemudahan seperti air dan elektrik pada ketika itu. Ada sisi mistis di sekitar penempatan kampung.
Penanggal, bola api, atau di Sabah kami panggil Balan-balan, Shortform “B.B” atau BB kuasa dua. Aku rasa di mana-mana pun ada makhluk syaitan ini cuma nama panggilan saja berbeza. Kami di Sabah takkan sebut direct namanya, konon-konon dia boleh dengar kalau disebut. Sinonim seperti kita gelar cik ponti, cik kunti.
Rumah kami ni ada 3 bilik, satu bilik bilik aku dengan achik dan kak long. Sebelah bilik mak ayah, sebelah lagi bilik abang dan kak ipar aku.Satu malam,sepupu aku Ira tidur di rumah sebab suami dia tengah outstation.Ira ni tengah sarat mengandung anak kedua. Satu kebiasaan di sini jikalau hamil,perut akan dibalut dengan kain hitam dan di lumur dengan satu serbuk dipanggil Iggu. Aku tak pasti apa namanya yang sebenar, tapi bentuknya hitam , berbau busuk sikit boleh didapati di kedai-kedai India. Mak bidan jelaskan ini untuk mengelakkan benda -benda halus dapat menghidu bau-bau janin, kain hitam pula untuk melindungi perut yang sarat dari dapat dilihat oleh mata-mata halus.


Malam itu Ira tidur dengan aku dengan achik. Achik dah tidur nyenyak menelentang. Tinggal aku dan Ira belum tidur. Umur kami lebih kurang sebaya, cuma dia kahwin awal.Jadi selesa bercerita. Cerita dari zaman kanak-kanak hinggalah remaja. Satu pertiga malam, atap zink rumah terasa dihempap sesuatu. Ada benda berseret di sekitar atap rumah. Bau busuk kuat, masam seperti bau cuka menusuk hidung. Ira membetulkan posisi kain diperut seperti sudah mengagak, tapi diam membisu, mukanya cemas. Kembang kempis hidung, kami terhidu bau hanyir. Bunyi seretan di atas bumbung berhenti di bahagian perantaraan bilik kami dan mak. Serentak deruan angin menerpa bilik kami , terdengar satu dentuman seperti benda jatuh di sebelah bilik mak. Lekas-lekas aku menutup daun tingkap yang terbuka selakannya. Ira yang baring berdekatan dinding sebelah diam tak berkutik.
Bunyi menderam jelas terdengar saling bertingkah dengan dengkuran ayah yang macam kapal pecah. Bulu roma meremang mendadak. Bau hanyir menyeruak menusuk hidung. Aku paling tak suka bertembung dengan benda ni. Sebab benda ni manusia yang sudah bergabung dengan syaitan. Dan aku tiada sebarang kudrat pun untuk menghalang apa pun kuasa halus dari mencederakan manusia, kecuali berserah kepada Maha Kuasa Allah s.w.t.


Di bilik sebelah, ayah sudah hanyut dalam mimpi tidur terbelingkar, sambil perut memboyot ke hadapan. Mak sedari tadi rupanya belum tidur. Sejak dahulu begitu. Sesiapa saja yang mengandung, mak takkan pernah sedap tidur. Sedikit ilmu perbidanan yang di warisinya masih ada mengalir dalam badan. Mulut mak kumat kamit membaca sesuatu. Dalam kelam suram bilik, dia sudah dapat meneka apa yang ada di atas bumbung. Bunyi berseret dan mencakar, serta bau pedih seperti bau cuka cukup untutk menandakan kehadiran makhluk manusia syaitan itu. Sejak dari tadi mak sudah dapat melihat kepala tanpa badan mengintai dari atap rumah cuba menerobos masuk. Tergolek kepala tanpa badan itu di sisi ayah yang masih nyenyak tidur. Kembang kempis perutnya senada dengkuran. Mak masih membaca ayat-ayat sambil memerhati makhluk itu. Lidahnya terjulur panjang kemerahan. Kulit menggerutu kehitaman dangan bola mata yang terbelalak. Menyeringai, sejalur cecair merah menitis dari bibirnya yang merekah.
Makhluk itu berlegar-legar di sisi ayah. Terdongak-dongak melihat perut buncit ayah. Dia menderam,. Lama dia perhatikan perut ayah. Cuba-cuba menghidu. Ira yang baring di sebalik dinding dapat rasa makhluk itu hampir sangat dengannya. Mak cerita, kepala makhluk itu terteleng-teleng kiri dan kanan melihat perut ayah, cuma menghidu bau-bau janin yang sudah terlindung dari derianya.Lama dia perhati ayah,makin nyenyak dengan dengkuran, tak perasan langsung ada makhluk jadian tengah asyik memerhati perut boroi ayah. Agaknya dia keliru. Siapa yang mengandung sebenarnya. Lama dalam keadaan begitu,makhluk itu menerobos keluar dari sebalik atap. Kami menarik nafas lega. Mak kata,kalau tak tahu ayat pengusir, boleh jugak baling dengan garam halus. Tapi 7 keturunan mu dia akan ingat. Nauzubilaminzalik.Hanya Allah sebagai pelindung.

Koleksi Fiksyen ShashaWhere stories live. Discover now