PINDAH RUMAH SEWA

133 4 0
                                    

Assalamualaikum kepada para pembaca Fiksyen Shasha. Pertama sekali, terima kasih pada admin kerana sudi menyiarkan cerita ku ini. Ini cerita kedua yang aku tulis selepas Kebun Opah….

Namaku Ziera. Memandangkan ayah aku baru bertukar tempat kerja, kami sekeluarga juga turut berpindah dan menyewa di sebuah rumah. Rumah sewa ni terletak di sebuah bandar kecil di Kuching, Sarawak.


Masa ayah dan ibu melawat rumah sewa hari tu, aku mengambil keputusan untuk ikut bersama. Kakak tinggal dirumah menjaga adik lelaki ku yang bongsu. Ketika sampai dirumah sewa, kelihatan tuan rumah menunggu di depan pagar rumah sewa. Kami keluar dari kereta dan beramah mesra dengan tuan rumah. Tuan rumah membawa kami masuk untuk melihat keadaan dalam dan luar rumah sewa.


Masa melangkah masuk aku tiba-tiba rasa seperti sedang diperhatikan. Aku menoleh kiri, kanan dan belakang tapi aku tak nampak apa-apa. “Kalau ‘benda’ tu, takkan dia keluar siang hari. Mungkin hanya perasaanku.” Detikku dalam hati. Setelah melihat keadaan rumah sewa dan berbincang, ayah dan ibu bersetuju untuk menyewa rumah tersebut. Aku juga bersetuju memandangkan bayaran sewa rumah itu bersesuaian dengan keadaannya. Rumah sewa ni ada dua bilik, bilik mandi ada satu bersebelahan dengan dapur, kelengkapan perabot dalam rumah tu pun semuanya dah cukup kecuali bahan-bahan mentah.


Lepas selesai berborak dengan tuan rumah, kami meminta diri untuk pulang dan akan pindah ke situ dalam beberapa hari. Masa buka pintu kereta, dari ekor mata aku perasan ada seorang makcik berdiri di hadapan pagar rumah sebelah. Aku menoleh dan senyum padanya tapi dia hanya memberi jelingan tajam. Aku buat tak tahu saja. Mungkin makcik tu sedang marahkan sesuatu, fikirku.

Tibalah pada hari kami sekeluarga pindah masuk ke rumah sewa. Memandangkan ketika itu musim cuti persekolahan, maka adalah masa untuk aku, kakak dan ibu membersihkan rumah tersebut. Pada minggu pertama, tak ada apa-apa gangguan. Cuma kami hairan adik aku susah nak tidur waktu malam. Selama ni elok je dia tidur bila jam dah pukul 9. Semenjak pindah ni,dia asyik berjaga saja. Kadang-kadang tu sampai tengah malam tak tidur lagi. Tapi kami tak ada fikir yang bukan-bukan. Biasalah mungkin faktor budak-budak yang sedang membesar.


Suatu hari tu, masa ni ibu sedang duduk termenung dekat luar dapur. Halaman belakang memang ada disediakan meja dan kerusi oleh ayah untuk aktiviti petang kami sekeluarga. Ibu tersedar dari lamunan bila terdengar bunyi dari dapur. Bunyi seperti orang membuka pintu almari. Ibu sangkakan aku atau kakak mengambil gelas nak bancuh air. Jadi ibu buat tak tahu saja. Lepas tu ibu rasa pelik kenapa takda bunyi gelas, bunyi ambil sudu dan paling penting dapur senyap saja. Aku dan kakak terkenal dengan riuhnya bila berdua. Kami berdua hanya akan senyap bila fokus pada cerita di televisyen atau tidur. Selain dari tu memang jarang senyap. Kalau tak riuh sebab gaduh, akan riuh sebab bergurau. Sibuk menyakat satu sama lain. Kemudian, ibu bangun lalu masuk ke dapur. Sunyi sepi. Yang kedengaran hanya bunyi televisyen dari ruang tamu.


Ibu melangkah ke ruang tamu dan bertanya ada tak aku atau kakak pergi ke dapur. Kami berdua masing-masing menjawab tidak. Air muka ibu berubah sebab ibu yakin dia dengar dengan jelas bunyi almari dibuka. Takkan adik aku, dia mana sampai nak buka almari tu. Ibu hanya mendiamkan diri dan berjalan menuju ke pintu depan untuk keluar ke halaman rumah. Aku dan kakak perasan pada perubahan muka ibu dan membuat keputusan untuk ikut ibu keluar. Sebelum itu, kakak ada menjenguk ke bilik. Kelihatan adik aku sedang tidur lena. Di luar memang riuhlah sebab aku dengan kakak sibuk menyakat ibu. Alhamdulillah wajah ibu kembali ceria. Sedang elok kami bergurau, aku perasan seperti ada yang memerhati. Aku cuba melihat sekeliling tapi tak nampak sesiapa. Aku kembali teringat perasaan yang aku alami masa melawat rumah ni dulu. Tapi aku hanya berdiam diri. Kalau aku bagitau, pasti kakak akan ketawakan aku.


Malam tu aku dan kakak tidur lewat sebab ada filem yang kami berdua nak tonton. Sambil tu bolehlah aku dan kakak menunggu ayah balik sebab ayah balik lambat sikit malam tu. Ibu dan adik sudah masuk tidur. Seperti biasa sebelum cerita bermula aku dan kakak akan membancuh air dan menyediakan makanan ringan. Dari dapur, aku dan kakak boleh dengar ada bunyi seperti budak-budak sedang bermain. Bunyi tapak kaki budak-budak sedang berlari jelas kedengaran. Kami berdua memandang antara satu sama lain.
“Kak, kau dengar tak?” Bisikku pada kakak. “Dengar. Tv kot. Kan tadi akak tak tutup tv.” Kakak menjawab dengan nada tenang. Tapi aku tahu jauh disudut hatinya sama merasakan seperti apa yang aku rasa. Aku cuba menenangkan diri dengan membaca surah-surah yang aku hafal. Setelah selesai di dapur, aku dan kakak kembali ke ruang tamu kerana cerita hampir bermula. Alhamdulillah sejam yang pertama tiada sebarang gangguan.


Sedang aku fokus, tiba-tiba perutku memulas. Haih, masa nilah kau nak buat hal. Marahku dalam hati. Aku mencapai telefonku dan cepat-cepat pergi ke tandas. Masa dalam tandas aku terdengar bunyi air paip singki dibuka. Bunyinya kuat sangat. Aku pelik kenapa kakak buka paip kuat sangat. Marah kena tinggal sorang-sorang ke apa. Detikku dalam hati. Kemudian keadaan bertukar senyap. Sunyi. Tidak semena-mena bulu romaku meremang. Ah sudah, dia buat lagi! Aku cepat-cepat selesaikan apa yang patut dan keluar dari tandas. Benda pertama yang aku perasan, singki kering! Tak basah langsung. Kalau dengar dari air paip yang kuat tadi tak mungkin singki tu kering. Aku mula rasa tak sedap hati. Dengan langkah laju aku berlari ke ruang tamu. Masa ni aku perasan muka kakak aku pucat. Aku tanyalah dia okay ke tak. Dia tak beri apa-apa jawapan. Kalau nak tahu, kakak aku ni orang yang sangat berani. Dia boleh layan cerita seram sepanjang malam. Bagi aku ni kira beranilah nak dibandingkan dengan aku ni. Nak ke tandas waktu malam pun kadang tu minta berteman. Hehehe. Aku betul-betul pelik dengan reaksi kakak masa tu.
“Adik, cuba hubungi ayah. Bila ayah nak balik? Akak rasa tak sedap badanlah.” Kata kakakku yang sedari tadi berdiam diri.

Kemudian, aku hubungi ayah dan ayah mengatakan dia dalam perjalanan. Barulah tenang sikit hati kami berdua. Tidak lama kemudian, aku dan kakak dengar kereta ayah sampai depan pagar. Aku bangun dan ingin membuka pintu namun dikejutkan dengan bunyi ketukan pintu. Aku dan kakak berpandangan. Masa ni lampu kereta ayah hidup lagi. Kenapa ayah tak matikan enjin kereta. Aku cuba menghampiri pintu dan sekali lagi aku terkejut dengan bunyi ketukan. Kali ni lebih kuat. Seolah-olah ‘benda’ tu tengah marah. Kalau itu ayah, kenapa ayah tak bagi salam. Aku mengundurkan langkahku perlahan-lahan dan berdiri disebelah kakak. Ketukan itu berlarutan sehinggalah kedengaran suara ayah memberi salam. “Assalamualaikum, adik. Ayah ni. Benda tu dah takda.” Mula-mula memang taklah nak buka. Manalah tahu ‘benda’ tu menyamar jadi ayah. Lepas tu ayah cakap lagi,”kalau tak percaya juga, sebelum buka pintu ni baca Ayat Kursi dulu.” Aku dengan kakak perlahan-perlahan menghampiri pintu dan ikut seperti apa yang ayah suruh. Lepas selesai baca ayat Kursi, dengan lafaz bismillahirrahmanirrahim kakak membuka pintu. Alhamdulillah, betul ayah. Masa tu Allah saja yang tahu rasa lega yang aku dan kakak rasa. Sebelum masuk tidur malam tu ayah pesan ambil air wudhu dan baca doa. Alhamdulillah aku dan kakak tidur lena sampai subuh.

Hari esoknya ayah ambil cuti. Aku beranikan diri tanya ayah apa yang jadi dekat luar malam semalam. Ayah cerita yang ada ‘benda’ putih berdiri menghadap pintu rumah dan lembaga hitam dekat atas bumbung. Cuak kitorang dengar. Sekali dua yang serang malam tu. Kemudian ayah membaca surah-surah al-quran dan menghalau ‘mereka’ tu pergi. Patutlah ‘benda’ tu makin marah ketuk pintu. Ayah nak halau ‘dia’. Memang dia nak lari masuklah masa tu. Nasib baik aku tak buka pintu. Selepas lama cuba mengusir ‘mereka’, akhirnya ‘benda’ tu pun lari. Nak tahu apa yang aku dan kakak aku tak sangka? Punyalah kuat bunyi ketukan pintu tu, ibu aku langsung tak dengar apa-apa. Itu yang ibu aku pelik dengar cerita aku, kakak dan ayah.

Pagi tu juga ayah hubungi tuan rumah dan bertanya tentang apa yang jadi. Tapi ayah tak cerita pada kami. Dia taknak kami takut dan fikir yang bukan-bukan. Aku dan kakak memang tak berani nak tanya lebih-lebih. Elok tak kena marah, jangan pula minta dimarah. Ayah yakinkan kami yang ‘benda’ tu takkan datang lagi. Ya, ‘benda’ tu dah tak datang tunjukkan diri. Tapi aku dapat rasa dia ada di sekitar rumah. Banyak kali juga aku dan kakak dengar bunyi yang bukan-bukan dari luar. Tapi kami berdua ingat pesan ayah, “‘dia’ cuma lalu sekejap. Jangan jemput ‘dia’ masuk rumah ja”. Kami faham apa yang ayah cuba sampaikan jadi kami buat tak tahu saja kalau dengar apa-apa.

Beberapa hari lepas tu kami berpindah ke rumah sewa yang kawan ayah cadangkan. Mula-mula berat tuan rumah nak lepaskan kami pergi tapi ayah berkeras sebab sampai bila nak duduk dalam ketakutan. Lagipun mengenangkan adik aku yang masih kecil. Tak elok untuk budak-budak keadaan rumah macam tu. Bukan kita nak doakan yang tak baik, tapi eloklah mencegah dari mengubati. Nasib baiklah tuan rumah tu faham dan benarkan kami berpindah keluar.

Kemudian, selang beberapa hari kami pun berpindah keluar dari rumah sewa tersebut. Rumah sewa yang baru ni lebih dekat dengan tempat kerja ayah. Masa nak masuk dalam kereta, aku nampak ada sorang makcik sebelah rumah ni berdiri di halaman rumahnya. Memandang tepat ke arahku sambil tersenyum. Bukan senyum mesra tau, senyum ada makna. Tanpa fikir panjang, aku masuk dalam kereta. Masa tu baru aku terfikir. Rumah sebelah tu ada orang, tapi tak pernah dengar apa-apa suara pun.

Aku tanya pada ibu, “ibu, ibu pernah tak borak dengan makcik sebelah rumah tu?”
“Apa adik mengarut ni. Rumah tu mana ada orang.” Jawapan ayah betul-betul membuat aku susah bernafas. Sampai sekarang aku tak cerita pada keluarga aku apa yang aku nampak pasal makcik tu. Dan apa kaitan makcik tu dengan gangguan-gangguan yang kami alami? Hanya Allah yang tahu.

Sampai sini sahaja cerita aku kali ni. Terima kasih pada yang sudi baca. Segala kekurangan, kesalahan saya minta maaf.

Koleksi Fiksyen ShashaWhere stories live. Discover now