Gangguan Kehidupan 2
Assalamualaikum semua. Buat yang belum mengenali, nama saya Cahaya Yang Utama. Cahaya kembali kerana ramai yang ingin tahu kesudahan tentang masalah kesihatan Cahaya, dan Cahaya akan sambung sedikit tentang mimpi Cahaya tentang nenek yang menyebabkan Cahaya percaya masalah ini merupakan masalah saka keturunan. Sebelum itu tidak lupa Cahaya ingin berterima kasih kepada Fiksyen Shasha kerana sudi menyiarkan ceritera Cahaya. Cahaya juga berterima kasih kepada anda yang telah mendoakan Cahaya, Cahaya juga mendoakan anda semua sejahtera dunia dan akhirat.
Bagi yang memberi nasihat supaya berjumpa pskiatri, Cahaya sendiri dah beberapa kali ulang ujian DAS sewaktu Cahaya kerja jururawat dahulu. Alhamdulillah.. normal.. Pada mulanya Cahaya risau juga tentang kesihatan mental Cahaya, tetapi akhirnya terjawab jika benar Cahaya ini ada masalah mental (halusinasi dan sebagainya), Cahaya terfikir kenapa orang-orang sekeliling Cahaya turut terganggu juga.. tidaklah Cahaya takut kepada benda ghaib sehingga melupakan Allah SWT.. cuma kita perlu berusaha untuk sembuh dan memberi peringatan kepada yang lain.. :).. Kali ini Cahaya menggunakan kata ganti nama ‘aku’ atas permintaan pembaca.. Jom start…
Tidak habis sekali itu rawatan aku bersama Ustaz Man, aku disuruhnya datang beberapa kali supaya dapat dia sembuhkan aku sedikit sebanyak. Katanya, dia cuma berusaha, selebihnya aku perlu usahakan sendiri untuk perkuatkan imanku, dengan izin Allah SWT. Rawatan yang aku lalui ada dua, satu untuk buang syaitan (syaitan ada dua, satu syaitan jin, satu lagi syaitan manusia. Masalah aku dengan syaitan jin) yang mengganggu kehidupanku dan yang kedua untuk merawat tulang belakangku. Kata ustaz, dua-dua itu berkaitan, aku memang punya masalah tulang belakang, tapi yang menambah rencah pahit maungnya adalah yang sibuk menumpang sudah sekian lama.
Aku perlu datang bersama suami kerana badanku akan lemah selepas rawatan, pernah sekali datang bersama ibu bapa, percubaan pertama kedua dan ketiga agak perit kerana badanku masih lemah, setiap kali ustaz cuba merawat badanku jatuh terjelepok, terkunci walau sedar dan dengar perbualan orang sekeliling. Ada sekali ustaz suruh kami bawa anak kerana dia turut terkena tempiasnya, nanti ku ceritakan dilain waktu tentang anakku yang terbuka hijabnya.
Aku tidak putus asa, apa sahaja yang ustaz suruh amalkan di rumah aku buat, aku perlu lumurkan tubuhku dengan tepung beras yang dicampur air ruqyah setiap hari, berlengas dan tidak selesa, ku turutkan sahaja walaupun kadang-kadang menangis. Kata ustaz itu untuk melembutkan tubuhku sendiri sebagai persediaan membaiki tulangku nanti. Aku turutkan sahaja selagi tidak bercanggah dari hukum agama. Selama ini pun kita menelan ubatan demi mendapatkan kesihatan tubuh yang baik, tetapi berharaplah kepada Allah SWT dalam setiap usaha.
Akhirnya rawatan itu berjaya, tetapi tidaklah sepenuhnya berjaya. Sekurangnya aku mendapat hidup yang lebih selesa, Alhamdulillah. Kata ustaz padaku, “benda ini sudah sebati denganmu, hendak tidak hendak ada waktu kemungkinan kamu didatanginya sekali sekala. Itu biasa.. jadi dirimu lah yang kena mengawal ianya sendiri dengan mendekatkan diri pada Allah SWT”.. apabila aku sudah sembuh, aku mula mencari ilmu tentang saka dan sihir. Alhamdulillah, walau tidak banyak tetapi boleh membantu untuk diriku sendiri.. Aku suka melihat rancangan halaqah di youtube pada awal pencarianku dahulu. Baru ku tahu mimpi menyusukan bayi itu bermakna kita sudah menerima saka, sedangkan mimpi itu sudah beberapa kali aku lalui.. Juga baru ku tahu maksud ustaz kenapa masalah ini boleh terjadi semula, ia kerana badan kita ibarat kuali, andai kuali terbocor, memanglah boleh menampalnya, tetapi bocornya tetap ada, tidak hilang.. maksudnya tubuh kita ini asalnya tertutup dan dilindungi, tetapi andai sudah ada pintu untuk dimasuki oleh jin, maka mereka mudah untuk memasuki badan yang sama di lain hari walau sudah dihalau.
Oleh itu, hanya satu caranya untuk elakkan ia berlaku kembali, iaitu perkuatkan rohani dengan iman. Sekarang aku tidaklah pulih sepenuhnya, tetapi perubahan itu ketara. Aku kini mudah tahu bila mana seseorang itu juga terganggu oleh jin, tapi tidaklah semuanya. Jika Allah SWT izinkan, dengan menyentuh mereka yang diganggu jin yang kuat, badanku memberi signal umpama renjatan elektrik dan bulu roma yang meremang. Namun aku tidak hiraukan, bukan semua aku boleh tentukan, kuasa Allah belaka. Aku pun tidak pandai merawat. Namun asbab semua ini, aku bersyukur aku sekarang lebih berilmu dari aku yang dulu. Aku dulu seorang yang tidak percaya penyakit itu boleh disebabkan oleh jin, sebab itu umur 25 tahun yang lepas baru aku cuba rawatan Islam, sebelumnya aku sedikit pun tidak terfikir.. nah sekarang sudah aku rasakan langit itu tinggi atau rendah.
YOU ARE READING
Koleksi Fiksyen Shasha
HorrorYou locked your doors and windows to prevent me from entering. Too bad i'm already inside. Peminat fiksyen shasha ? Tempat yang betul 😆😁 Hati hati nanti tak dapat tidur malam kekekekekeke Seram tak seram bacalah dulu MUAHAHAHAAHAHA Credit to some...