ROH MENYINGGAH ?

172 9 0
                                    

Assalamualaikum FS dan pembaca. Saya Hawa (nama samaran) Pertama sekali, saya nak ucapkan terima kasih dekat FS sekiranya perkongsian saya ni disiarkan. Dan buat para pembaca, saya harap pengalaman ringkas saya ni sedikit sebanyak ‘menghiburkan’ dan memberi pengajaran kepada diri kita. Selamat membaca :).

Tahun 2017.. Adam.
Waktu ni saya masih lagi seorang pelajar tahun 2 semester 2 di universiti awam selatan tanah air Malaysia. Mungkin ada diantara pembaca yang dari Uni selatan yang tahu kisah ni bila baca keseluruhan cerita nanti. Biar saya berikan sedikit pengenalan. Saya seorang gadis biasa yang selama ni tak pernah terkena mana-mana gangguan. Bukan nak bercakap besar, tapi Alhamdulillah Allah lindungi saya. Namun, dalam keselesaan ini, pasti akan diuji walaupun sedikit. Pada tahun tersebut, secara tiba-tiba naluri dan situasi seram tu tiba. Mungkin teguran dari Dia. Hanya Dia Maha Mengetahui.

Baiklah, mari mulakan pembacaan untuk kisah saya. Setiap uni akan ada kumpulan-kumpulan atau batch yang dah ditetapkan bilangan dan namanya. Untuk situasi saya, kami batch multimedia kursus IT tak lebih dari 40 orang. Saya pun ingat-ingat lupa berapa orang jumlahnya. Hehehe.. maafkan saya. Tapi, kumpulan multimedia ni paling sedikit antara kumpulan yang lain. Ada kumpulan lain seperti software (50 orang), hardware (50++), web dan sebagainya. Yang mana pelajar IT, dia akan fahamlah kumpulan-kumpulan ni. Jadi, dalam satu kumpulan, saya shortformkan sebagai BIM saja lebih mudah faham. Dalam kumpulan BIM ni, ada seorang pelajar lelaki yang peribadinya lembut, peramah, mudah berkawan, ringan mulut (suka menegur), happy selalu, anak orang senang.. Senang kata dia perfect. Muka pun hensem walaupun dia putih dan agak jambu sedikit. Hehe. Tapi jujur katakan, kami satu kelas sangat suka berkawan dengan Adam (nama samaran) disebabkan peribadinya yang elok dan sejuk mata memandang.

Diringkaskan cerita, kami dapat satu berita ada seorang pelajar jatuh dari hostel pelajar perempuan di salah sebuah universiti utara tanah air. Berita ni tersiar di BH pada Julai 2017 musim perayaan Deepavali. Dikatakan arwah tidak pulang ke kampung malah melawat rakannya (perempuan) di hostel wanita di uni utara malaysia. Dan pelajar tersebut adalah Adam. Ya, Adam. Adam yang kami lihat peribadinya lembut, ramah dan baik pergi dalam keadaan mengaibkan tersebut. Adam masih muda dalam lingkungan 20an. Sebaya saya la maksudnya. Lepas dapat berita ni, group kelas kami mula kecoh bercerita kenapa Adam boleh ada dekat hostel pelajar perempuan tersebut. Untuk makluman, kejadian ni berlaku semasa cuti perayaan Deepavali. Dan waktu itu saya tidak balik kampung atas sebab nak fokus study. Yelah, waktu-waktu tak cuti macam ni la biasanya saya akan gunakan untuk fokus belajar.

Julai 2017.. Saya dirumah sewa.
Pada Julai 2017, selepas dapat berita pemergian Adam dalam situasi yang kami sekelas tak dapat bayangkan sedikit sebanyak menyedarkan saya. Saya ambil pengajaran dari insiden itu untuk terus dekatkan diri dengan Tuhan dan sedar bahawa m**i tak mengenal usia, masa dan tempat. Berdoa agar diri kita pergi dalam keadaan yang baik dan diredhaiNya. Amin. Berita ni berterusan selama 3 ke empat bulan, kami seramai 8 orang yang duduk satu rumah dan juga satu kelas juga tak lekang dari berkongsi maklumat mengenai Adam.

Perayaan Deepavali tentunya disambut meriah oleh bangsa India. Dan pada waktu itu, housemate saya semua pulang ke kampung kecuali saya dan 2 orang yang tinggal dirumah sewa atas alasan yang sama untuk belajar. Dan kejadian yang saya nak kongsi ni berlaku dua hari selepas pemergian arwah Adam. Kejadian ni berlaku pada waktu malam selepas isyak. Seorang housemate yang tak balik kampung tu adalah kawan sebilik saya dan seorang lagi bilik yang lain bukan rakan sekelas. Jadi saya dan Emi (nama samaran) berdua di dalam rumah, seorang lagi housemate Mira (nama samaran), keluar makan bersama kawannya. Jadi tinggallah saya dan Emi berdua dalam rumah.

Saya dan Emi study diruang tamu, ruang tamu kami besar dan ada 12 biji meja untuk 12 orang pelajar dalam rumah ni. Ramai sangat hahaha. Alhamdulillah semua sikap-sikap housemate baik-baik belaka. Rumah yang kami duduk ni adalah rumah teres satu tingkat tapi keluasan dia besar dan cukup tampung 12 pelajar kerana ada 4 bilik untuk satu rumah ni. Semasa saya sedang khusyuk menelaah buku di meja saya, Emi masuk dalam bilik. Lama juga dia didalam bilik tak keluar, tidur mungkin. Jadi saya teruskan belajar sambil pakai earphone dan dengar musik untuk jadi lebih fokus.

Biar saya jelaskan sedikit keadaan rumah. Rumah ni ada porch kereta, muat untuk satu kereta dan 4 buah motor, tapi kami semua satu rumah tak ada yang guna motor jadi kami letak penyidai untuk sidai baju. Kemudian, ada grill pintu masuk dan terus akan nampak telivisyen di belakang grill pintu masuk. Tengah-tengah ruang tamu lapang, meja mengelilingi dingin. Jadi, meja pertama akan berada di depan pintu masuk, macam block grill sikit tapi kami tiada masalah dengan itu. Diikuti dengan meja kedua dan seterusnya. Rumah kami tiada sofa. Iyalah, kalau ada sofa, tak muat nak letak meja belajar. Iye dok?

Kemudian, meja saya menghadap dinding dan diikuti dengan meja yang lain la. Ada jam dinding tergantung depan meja sebelah meja saya. Rakan sebelah saya pulang ke kampung. Jadi dia tiada di rumah. Meja Emi sebelah meja kawan saya yang depan pintu tadi. Jadi Emi membelakangi saya. Okay, harap jelas dan maafkan saya jika kurang jelas.

Malam semasa sedang belajar lebih kurang 9 malam, waktu ni Emi dalam bilik macam saya katakan tadi dan saya keseorangan diluar ruang tamu. Sedang saya belajar, secara tiba-tiba jam yang tergantung elok di dinding depan meja sebelah saya jatuh. JATUH. Dan paku masih elok didinding. Kalau paku dah longgar, dengan paku2 sekali akan jatuh dan kalau jatuh pun, dia akan telangkup. Means, bahagian nombor-nombor tu akan berada di bawah dan bahagian belakang berada diatas. Tapi keadaan dia terbalik, seolah-olah di jatuhkan. Saya tersentak. Earphone saya cabut dan saya memandang jam yang jatuh tu agak lama lebih kurang 5 minit. Dalam masa 5 minit tu saya fikir kenapa dia jatuh, paku tu elok tercucuk, gaya dia jatuh tak logik. Seolah ditanggalkan dari paku dan diletak elok atas buku meja sebelah ni. Sampai berkerut-kerut dahi saya. Waktu ni saya dah berdebar dan saya rasa sejuk satu badan. Sungguh saya tak pernah hadapi situasi macam ni, bila berdepan keadaan macam ni, buat saya buntu.

Saya tak ada la tinggalkan jam tu disitu, saya bangun dan saya pasangkan semula jam tu di dinding. Sambil berdiri di meja kawan dan masih memikirkan kenapa boleh jatuh. Serius, saya memang tak boleh brain waktu tu. Saya fikir macam-macam situasi dan logik akal. Tapi tetap tak make sense. Dan akhirnya saya mengalah dan saya duduk semula sambung study. Pakai earphone dan kembali membaca, waktu ni entah kenapa masa khusyuk tu baru nak datang, saya terasa ekor mata kiri saya seolah nak memandang sesuatu di pintu masuk dapur. Saya rasa meremang dan saya sendiri tak tahu kenapa yang serta merta pandang pintu dapur.

Anda boleh bayangkan apa yang saya alami? Sebelum kejadian jam jatuh dan saya nak memandang ke pintu dapur, saya ada berfikir tentang arwah Adam. Saya fikir kenapa tuhan tarik nyawa dia dalam keadaan macam tu. Dan sekilas memikirkan hal itu, jam jatuh dan saya seolah dapat rasa arwah berada di dalam rumah. Saya cuma harap Emi keluar dari bilik saja waktu tu, sebab saya kaku dekat kerusi belajar. Saya keliru dengan situasi tu, adakah saya berdepan dengan roh atau arwah sekadar menjenguk. Entah.. saya lost idea.

Jadi, pembaca semua anggaplah kisah yang saya kongsi ni sebagai pengajaran dan ‘hiburan’ ringkas supaya diri kita selalu beringat dengan kematian dan situasi atau perkara diluar jangkaan juga boleh berlaku tanpa mengira masa dan tempat. Saya juga harap semua dapat doakan arwah berada dalam kalangan orang beriman.

Disember 2020.. Hawa.
Kini sudah hampir 3 tahun perkara tu berlalu. Dan dah lama saya nak kongsikan tapi tiada kekuatan. Seumur hidup saya yang kini 23 tahun, sekali itu saya hadapi situasi di luar jangkaan saya. Sekecil ujian itu pun saya kaku apatah lagi yang besar. Saya harap pembaca dapat pengajara dan hikmah dari kejadian yang menimpa Adam.

Semoga arwah Adam dicucuri rahmat dan diampunkan segala dosanya. Amin.

Assalamualaikum,
Hawa.

Koleksi Fiksyen ShashaWhere stories live. Discover now