Angkara Sayang, Cemburu Dan Dendam Part 2

196 8 0
                                    


Jam menunjukkan hampir 1 pagi. Kakak dan abang sudah sedar sepenuhnya walaupun masih lagi dalam keadaan yang lemah. Ibu menghidangkan air teh bagi melegakan sedikit keletihan dan meredakan tekanan.

“Macamana rambut tu boleh ada di sana ustaz? Rambut tu memang rambut kakak? Apa perlu kita buat pada orang yang hantar ‘benda’ tu ustaz?”

Ibu tidak sabar mahu tahu.

“Wallahualam, saya pun tak pasti. Cuma saya nak pesan, syaitan ni boleh saja menyerupai wajah sesiapa. Dia akan cuba perdaya kita dengan segala tipu helah dia.”

“Maksudnya bukan Asri?”

“Saya tak tahu, kak. Wallahualam. Kita tak boleh tuduh sesiapa. Kak Su kenal bayangan tadi?”

Ibu mengangguk.

“Saya pun jelas nampak, ustaz. Memang abang Asri! Dulu abang Asri pernah suka kakak tapi kakak tak suka dia.”

Aku menyampuk, memberi penjelasan.

Giliran Ustaz Ali dan sahabat-sahabatnya pula mengangguk.

“Ustaz, sebenarnya 2 hari lepas Asri ada balik sini.”


Dalam kepayahan abang tetap bersuara. Bibirnya bengkak, namun sudah tidak lagi berdarah.

“Saya jumpa dia di tempat biasa kitorang lepak. Katanya cuti seminggu. Dia ada tanya khabar Hawa, tanya khabar adik sekali. Tapi setakat tu ja la, ustaz. Saya pun tak fikir apa-apa.”


“Tapi pagi tadi masa nak pergi kerja, saya jumpa Asri dekat bus stop. Pucat dia ustaz. Saya tanya dia nak ke mana, saya boleh tolong hantarkan. Tapi dia tolak. Dia cakap dah nak balik ke seberang, tiba-tiba cuti dipendekkan.”

Abang menyambung. Kata-kata abang menimbulkan lagi pelbagai persoalan. Betulkah Asri?

Memandangkan sudah lewat malam, Ustaz Ali mengambil keputusan untuk menangguhkan rawatan.

“Assalamualaikum..”

Kedengaran suara ustaz Ali memberi salam diluar rumah. Seperti dua malam sebelumnya, mereka datang berenam. Ayah menyambut mereka di depan pintu. Malam ini ustaz Ali sebolehnya ingin membersihkan segala ‘benda’ yang tinggal dalam tubuh kakak. Rawatan ustaz Ali sangat mudah. Dimulakan dengan 3 orang melaungkan azan disetiap pelusuk rumah, 2 orang lagi mengelilingi luar rumah sambil menaburkan garam kasar, manakala ustaz Ali membacakan ruqyah diruangtamu, berhadapan dengan kakak. Kakak pula hanya duduk bersila sambil diminta untuk berzikir dan bertenang.

Usai sahabat ustaz Ali melakukan tugas masing-masing, mereka duduk mengelilingi kakak. Aku, ayah, ibu dan abang hanya memerhati. Memohon agar dipermudahkan sesi perubatan demi kesembuhan kakak. Ayah yang baru saja balik dari kerja luar daerah telah diceritakan segalanya. Terkejut ayah melihat keadaan kakak pagi tadi. Kakak hanya baring dibilik. Dia sedar, tetapi keadaannya sangat lemah. Seluruh tubuh dan wajahnya bengkak, pucat sekali. Ayah yang terkenal dengan sikap tegas dan garang tidak berjaya sembunyikan airmatanya kali ini. Tewas melihat kesakitan yang ditanggung anak sendiri.

“Assalamualaikum..”

Sekali lagi kedengaran suara memberi salam. Siapa pula ni? Ayah bangun melihat keluar. Ternyata Isa, tunang kakak yang datang. Sudah beberapa hari Isa tidak kemari. Kejadian dua malam lalu juga tidak diketahui Isa. Namun ibu ayah faham kerana Isa punya tugas hakiki. Mungkin kerana tidak mendengar khabar kakak beberapa hari menyebabkan Isa datang kerumah. Ayah menyambut dan mempelawa Isa masuk kedalam.

“Maaf pakcik, saya tak tahu ada ramai tetamu disini. Saya saja datang melawat Hawa.”


“Tak mengapa. Hawa kurang sihat, sebab tu pakcik makcik panggil ustaz kemari. Duduklah.”

Koleksi Fiksyen ShashaWhere stories live. Discover now